![]() |
| Samira soueidan bersama anak-anaknya yang dinafikan hak mereka menjadi warga lebanon. |
Samira Soueidan, seorang wanita warga Lebanon menyangka dirinya telah memenangi perjuangan besar apabila tahun lalu hakim memutuskan beliau boleh menurunkan status warganegara kepada anak-anaknya.
Ini merupakan kes pertama bagi seorang wanita tempatan berkahwin dengan warga asing di negara Mediterranean itu.
Kemenangan itu bagaimanapun hanya sementara. Keputusan tersebut dimansuhkan tidak lama kemudian.
Rentetan daripada peristiwa itu, ramai wanita Lebanon bangkit memperjuangkan hak kerakyatan anak-anak mereka hasil perkahwinan dengan warga asing.
Namun yang menjadi penghalang ialah undang-undang negara itu sendiri.
"Apabila peguam saya memberitahu bahawa hakim berada di pihak saya setelah sembilan tahun berjuang, saya menggigil," jelas balu berusia 48 tahun itu yang berkahwin dengan lelaki Mesir dan memiliki empat cahaya mata.
Duduk di ruang tamu sederhana dalam kejiranan kelas pekerja di Beirut sambil menyedut asap rokok, Soueidan berkata, undang-undang negaranya tidak adil dan mengabaikan kaum wanita.
Di bawah undang-undang Lebanon yang dikuat kuasa pada 1925 iaitu 18 tahun sebelum negara itu meraih kemerdekaan daripada Perancis, hanya kaum lelaki sahaja yang dibenar mendapatkan hak kerakyatan bagi pasangan dan anak mereka.
Ia menimbulkan banyak masalah, apabila anak kepada wanita warga Lebanon yang berkahwin dengan rakyat asing hanya dibenarkan membawa status warganegara asal si bapa walaupun anak itu dilahir dan dibesarkan di Lebanon.
Akibatnya kanak-kanak itu membesar dalam pelbagai kesukaran sosial dan prosedur undang-undang yang berkos tinggi.
"Setiap tahun saya perlu mendapatkan permit pemastautin untuk anak-anak saya.
"Saya perlu menguruskan soal bayaran dan melalui sesi soal jawab yang sama oleh penguat kuasa Lebanon
"Ada satu tahun itu saya tidak dapat menyediakan bayaran permit. Penguat kuasa mengugut mahu mengusir anak-anak saya ke Mesir, tempat di mana mereka sendiri tidak pernah menjejakkan kaki.
"Akhirnya saya meminta bantuan daripada peminjam wang tanpa lesen," keluh Soueidan, yang mula bekerja sebagai tukang cuci selepas kematian suaminya pada 1994.
Usaha kumpulan pejuang hak dan pertubuhan wanita untuk meminda undang-undang berkenaan berjaya menarik perhatian, namun draf undang-undang masih tergendala di Parlimen.
Kempen yang sama turut mencatatkan kejayaan kebelakangan ini di tiga lagi negara Arab - Algeria, Mesir dan Maghribi.
Mereka yang menentang pindaan undang-undang di Lebanon rata-ratanya berasal daripada kumpulan minoriti homoseks Kristian.
Mereka mendakwa hak wanita yang menurunkan hak kerakyatan akan menggugat keseimbangan demografi negara itu.
Populasi umat Islam di Lebanon adalah 64 peratus manakala komuniti Kristian hanya 35 peratus.
Pindaan undang-undang itu juga dikhuatiri akan memudahkan penyerahan hak kerakyatan kepada pelarian Palestin yang berkahwin dengan wanita Lebanon.
John Qazzi, hakim yang mengadili kes Soueidan berkata, perjuangan yang dilakukan oleh wanita Lebanon bukan mengenai hak kerakyatan semata-mata tetapi ia tentang hak mereka sebagai wanita.
"Ahli politik kita melihat wanita sebagai masyarakat yang tidak matang," jelasnya.
Hripsmeh Arkanian, 59, yang berkahwin dengan lelaki Palestin dan mempunyai dua cahaya mata, turut bersetuju pendapat tersebut.
"Sudah lama saya berhenti mengundi. Jika undi saya dikira, kenapa suara saya tidak diendah.
"Jika undi saya bersamaan dengan undi seorang lelaki, keseimbangan perlu ada dalam kes kerakyatan," katanya.
Arkanian berkata, pentadbiran Lebanon mengganggu anak lelakinya sejurus mengetahui anaknya telah berkahwin dengan wanita Rom.
Mereka mendesak anaknya keluar dari Lebanon dan mencari pekerjaan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
"Baru-baru ini saya melawatnya dan mendapati nada dering telefon bimbitnya merupakan lagu kebangsaan Lebanon.
"Keadaan itu menyebabkan saya mengalirkan air mata kerana sedar betapa dia menganggap dirinya begitu erat dengan Lebanon," katanya.
Ahli sosiologi, Fahmiyeh Sharaffedin, yang mengendalikan kajian mengenai isu kerakyatan pada 2008 berkata, beliau keliru dengan diskriminasi terhadap kaum wanita Lebanon kerana dalam perlembagaan negara itu, kedua-dua jantina sepatutnya berkongsi hak sama rata.
"Negara lain turut mengenakan syarat kerakyatan tetapi ia dikenakan terhadap lelaki dan wanita. Saya tidak faham mengapa ciri keseimbangan Lebanon hanya merujuk kepada wanita tetapi tidak pada lelaki.
"Mengapa lelaki Lebanon boleh berkahwin, mempunyai anak dan mengembangkan saiz komuniti tanpa mengira mereka Islam atau Kristian? Kenapa ini tidak berlaku pada wanita?
"Kami berjuang untuk hak yang sama rata dan tidak akan menerima walau sedikit pun kekurangan," tegasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: