Thursday, March 4, 2010

Salah guna Facebook: Mohamad Tasyrif dibicara 1 November

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 1 November depan bagi perbicaraan pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara), Mohamad Tasyrif Tajudin yang didakwa menggunakan laman sosial Facebook untuk membuat komen yang boleh mengancam keselamatan orang lain pada Januari lalu.

Hakim Aslam Zainuddin menetapkan selama dua hari untuk mendengar kes itu selepas pihak pembelaan yang diwakili Mohd Radzlan Jalaludin menerima kesemua dokumen yang diperlukan daripada pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Ahmad.

Pada 18 Januari, Mohamad Tasyrif mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mohamad Tasyrif, 25, didakwa secara sedar sudah memberi komen di laman Facebook dengan niat untuk mengganggu orang lain dengan menggunakan akaun pengguna, Shahrul Maizam dengan menulis "ke nak aku baling bom petrol di sana plak?...harga boleh runding..."
Pelajar tahun pertama jurusan perfileman itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Desa Mentari 2, Petaling Jaya pada 10 Januari lalu.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: