Sunday, March 21, 2010

Saerah yang nakal, Saida yang pemalu




MEREKA debunga kepada si kembang mekar bernama DatukSiti Nurhaliza. Dari satu sisi yang lain, mereka juga ibarat bayang-bayang kepada darah daging sendiri. Sesungguhnya, bahasa ini berbunyi sedikit kejam namun ironinya begitu.

Bahkan putik seni yang tumbuh, segar dan melata di sanubari mereka sebenarnya bersandarkan semangat yang dicuri daripada Siti Nurhaliza sendiri.

Tidak mampu untuk ditepis, percayalah, stigma itu cabaran terhebat buat Siti Saerah dan Siti Saida Taruddin. Ada ketika, stigma itu jugalah yang menjerat dan menyekat aliran impian mereka untuk bergerak lebih pantas.

Kelajuan mereka sedikit terganggu dek siren yang mengacau konsentrasi. Paling menakutkan, segala taruhan, bakat, imej dan kredibiliti mereka menjadi bahan perbandingan bicara.

Itu fakta yang tidak mampu diubah. Kedudukan mereka sebagai adik-beradik kepada penyanyi yang sudah berjaya menjadi ratu di persada seni itu tidak akan berganjak walaupun seinci.

"Memanglah orang melihat saya dan Saerah sebagai tempelan Siti. Sejak awak kemunculan bahkan kebanyakan undangan yang datang kepada kami sebenarnya bersisipan dengan undangan terhadap Siti, tetapi sebagai penyanyi, kami juga mahu berdiri sebagai penyanyi yang dikenali sebagai Siti Saida dan Siti Saerah, bukan lagi tempelan kepada Siti," getus Saida penuh pengharapan.

Mereka membesar dan membawa semangat Siti di setiap laluan untuk bergelar penyanyi. Sungguh, figura itu terlalu kebal sehinggakan banyak percubaan mereka hampir luluh.

Selain kasih dan sayang, menghormati serta memuja, akui Saerah, terdetik juga perasaan cemburu terhadap apa yang diraih kakak kesayangannya itu.


SAERAH mengakui, personalitinya sedikit nakal tetapi hanya dalam situasi tertentu. Dalam seni suara, dia mahu dilihat sebagai penyanyi yang ada stail tersendiri bukan bayangan Siti Nurhaliza yang diperkatakan khalayak.


Cemburu ada baiknya kerana daripada rasa iri itu, dia bertekad tidak mahu berpatah arang sejak menanam tekad untuk bergelar penyanyi.

"Dia idola saya," luah Saerah menguntum senyum.

Pemalu dan nakal

Dua perbezaan personaliti yang disatukan dalam sebuah Apresiasi, album yang digarap bersama ingatan terhadap arwah ayah mereka dan buah fikir bonda tercinta. Saida terserlah bunga malu dan Saerah sudah lali dilihat sebagai anak nakal. Dua sisi ini mengiyakan mereka punya identiti tersendiri untuk dipamerkan.

"Nak tanya soalan cepu maskah?" gelak Saerah yang melanjutkan pertanyaan seterusnya, senakal manakah adik yang cuba menjadi komposer melalui lagu Hero Wayang dalam album duo tersebut.

"Saya sama seperti gadis lain. Sifat saya happy go lucky dan saya tidak pernah menjadi orang lain," ujarnya yang tahu label nakal itu sudah melekat lama pada dirinya.

Formulanya senang, apa orang kata dia biarkan lalu di telinga kanan dan dilepaskan di telinga kiri. Dia tidak ambil pusing.


BERADA di bawah lembayung syarikat milik keluarga, itu bukan jaminan untuk dua bakat baru, Saerah (kiri) dan Saida yang sedarah-sedaging dengan Datuk Siti Nurhaliza ini untuk sewenang-wenangnya tampil dengan sebuah album.


Dalam kenakalan itu, dia punya watak cengeng dalam hatinya. Ketika lagu Kini Dikau Jauh - tribute buat sang ayah diperlagukan, Saerah ialah anak yang menitiskan air mata lantaran terhambat rasa rindu yang amat sangat buat ayahanda yang pergi menemui Ilahi 15 Februari tahun lalu.

Rahsia itu dibuka oleh si kakak, Saida yang turut merasa sayu melihat air mata adik mengalir.

Saerah pula membuka rasa malu dirinya. Ucap ibu kepada empat cahaya mata ini, dia masih menahan-nahan perasaan kerana kadangkala terfikirkan apa pandangan umum terhadap dirinya.

"Di rumah, saya beria-ria praktis tetapi bila di pentas, semua itu tertahan dan tidak dikeluarkan," akuinya yang sering dinasihati Siti Nurhaliza agar melepaskan segala ekspresi di atas pentas.

Sempat menjalani kelas vokal dengan Juliza Adlizan, Saida membuka cerita, dia malu kalau belajar vokal dengan adiknya.

"Alamak. Tak boleh, takut tak serius," jawabnya ketika ditanya kenapa tidak berguru dengan adik yang sudah mencapai portfolio besar dalam industri seni.

Biarpun projek perkenalan ini tertangguh tiga tahun, namun impian mempunyai album sendiri akhirnya termeterai.


Saerah


Teruji

Durasi lama menyiapkan album sahaja sudah membuktikan bahawa mereka bukan anak emas siapa-siapa atau menggunakan ruang dengan sewenang-wenang.

Buktinya, terdahulu mereka menadah bakat mereka diuji dan dikritik beberapa tahun sudah.

Saida ialah bintang keluaran Akademi Fantasia manakala Saerah mencuba peluang di One In A Million.

Biarpun tidak bergelar juara atau mara ke peringkat membanggakan, terpilih sahaja sudah membuktikan mereka pernah diadili pihak profesional.

Kini cuma pengertian khalayak sebagai satu permintaan. Bukan merayu cuma ruang yang selesa diharapkan.

Kedua-dua adik-beradik ini yakin mereka mampu melemparkan sesuatu yang berharga buat dunia muzik.

Apresiasi yang bakal bertemu khalayak diharap menjadi penanda aras keupayaan diri dan bukan hanya kerana berpangkalkan nama 'Siti'. Mereka meminta ruang itu.

3 comments:

  1. poyo la budak gomok xsdar diri ni..da la bdk kg..tp minum arak bagai nk rak kt club..sian mak n arwah abh dia kn...

    ReplyDelete
  2. Tak baik aibkan orang. Doakan mudah-mudahan dia dan kita sama-sama bertaubat

    ReplyDelete
  3. ye ker.. atau tohmahan semata2..

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: