Monday, March 8, 2010

S. Amin Shahab merajuk?


S. AMIN Shahab bersama isteri Junaidah Johari dan anak bungsu mereka, Iman.


S. AMIN SHAHAB bukan seniman sembarangan. Namanya sangat masyhur sebagai penulis lirik dan seorang pelukis yang hebat. S. Amin juga bukan seperti individu lain yang senang dengan cahaya kemilau glamor.

Sebaliknya, S. Amin memilih meneruskan hidup sebagai seniman dengan caranya yang tersendiri.

Hanya sesekali kedengaran namanya di dada-dada media. Kalau bukan kerana tulisan liriknya yang sarat dengan makna yang mendalam, S. Amin ditemu bual mengenai lukisannya.

Sebelum ini, populariti yang pernah dikecapi oleh S. Amin lebih terdorong pada penghasilan lirik-lirik popular seperti Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi, Setahun Sudah Berlalu (Alleycats), Keroncong Untuk Ana 1 dan Keroncong Untuk Ana 2 (M. Nasir), Suci Dalam Debu (Iklim) dan Teratai Layu Di Tasik Madu (Fauziah Latiff).

Namun kini, S. Amin lebih selesa dengan kerja-kerja lukisan. Dia lebih senang melahirkan cetusan rasa hatinya di kanvas yang menceritakan 1001 macam perasaannya.

"Bidang penulisan lirik bagaikan sudah tidak ada tempat untuk saya lagi. Secara peribadi saya dapat rasakan saya bagaikan terpinggir dari gelanggang itu," ujarnya meluahkan rasa kecewa mengenai masa depannya dalam bidang penulisan lirik.

Apa yang mendorong S. Amin menyuarakan kekecewaan itu adalah kerana lewat kebelakangan ini, seniman itu menyedari iklim industri hiburan semakin berubah.

Sebilangan besar karyawan muzik khususnya penyanyi indie katanya lebih cenderung menghasilkan lagu dan lirik sendiri.

Kerana itu, S. Amin yang pernah bergelar penulis lirik eksklusif syarikat rakaman Luncai Emas membuat keputusan meneruskan bakat sebagai pelukis selain mengumpul keris.

"Apa lagi dalam keadaan muzik industri kita dah 'mati'. Bidang penulisan lirik juga sudah 'mati'," dakwa S. Amin kepada Hits pada satu pertemuan dengannya baru-baru ini.

Sejarah tersendiri

Untuk rekod, S. Amin atau nama sebenarnya Syed Mohd. Amin Syed Hashim Al-Shahab, 56, telah menulis lebih daripada 500 lirik yang pernah dinyanyikan oleh hampir 30 penyanyi sejak awal tahun 1980-an lagi.

Apa yang menyedihkan penulis lirik tersohor yang juga suami kepada penyanyi Ideal Sister, Junaidah Johari, 48, ini juga ialah amalan kronisme yang begitu ketara dalam industri muzik.

"Di awal karier sebagai penulis lirik, saya tidak pernah terfikir yang bidang ini akan dicemari oleh amalan kronisme.

"Tetapi setelah apa yang saya alami, saya baru sedar rupa-rupanya amalan pilih kasih, mengampu dan sebagainya wujud dalam dunia seni dan dunia penulisan lirik.

"Namun begitu, saya tidak ambil peduli. Bagi saya rezeki saya ditentukan oleh Allah dan bukan mereka. Alhamdulillah sejak mula aktif melukis semula pada tahun 2004 saya nampak rezeki saya masih ada di sini," kata Amin menceritakan situasi kehidupannya hari ini.

Rezeki yang diperoleh juga membolehkannya hidup bahagia bersama isteri dan lima orang anaknya, Khadijah, 21, Sharifah Noor Aisyah, 18, Sharifah Nur Atiqah, 17, Sharifah Nur Anisah, 14, dan Iman, 3.

Sebagai pelukis, S. Amin sebetulnya melibatkan diri secara serius dalam bidang berkenaan pada tahun 2004.

Apa yang menariknya, penyertaan secara serius S. Amin membuahkan kejayaan dan mencatat sejarah tersendiri buatnya apabila dia berjaya menyiapkan lukisan terpanjang iaitu 800 meter yang berakhir pada akhir Ogos tahun lalu.

Dengan lukisan yang ditaja oleh Balai Seni Lukis Negara, Amin menjelajah ke Eropah, Asia Timur, Pakistan dan Makassar membawa lukisan yang dimulakan sejak tahun 2004.

"Walaupun bayaran yang diterima tidak lumayan, saya bersyukur sekurang-kurangnya saya tidak perlu mengampu atau menikam belakang orang lain demi untuk nama dan kemewahan.

"Cuma kini saya tertanya-tanya apakah status lukisan terpanjang saya yang masih saya simpan. Ini kerana di awal permulaan projek ini ia merupakan kerjasama saya dengan Balai Seni Lukis Negara," kata S. Amin penuh tanda tanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: