Thursday, March 4, 2010

Rezeki finalis Raja Lawak 4


PESERTA akhir Raja Lawak musim ke- 4, Alex, Idlan dan Kumpulan Kecik.

Juara atau sebaliknya, semua peserta akhir akan mendapat hadiah lumayan

PROGRAM realiti Raja Lawak musim keempat (RL4) akan melabuhkan tirainya Ahad ini dan siapakah di antara Idlan, Kecik dan Alex yang akan diumumkan sebagai juara serta sekali gus membawa pulang kereta Naza Sorento, wang tunai RM14,000 dan peralatan elektrik?

Pertandingan akhir terbitan Astro itu turut menawarkan habuan menarik untuk pemenang tempat kedua berupa kereta Naza Optima, wang tunai RM11,000 dan untuk tempat ketiga, motosikal Naza Blade 250R serta wang tunai RM8,000.


Ketiga-tiga finalis ini juga menerima peralatan elektrik berupa TV LCD, set teater rumah dan peti sejuk serta trofi, sekali gus menjadi musim termewah penajaan dari segi hadiah oleh pihak penaja sejak empat musim berlangsung.


Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, kepercayaan yang diberikan pihak penaja adalah disebabkan pencapaian yang memberangsangkan dari segi rating musim ke musim.

"Saya percaya penaja kini semakin yakin dengan 'brand' Raja Lawak yang dilihat semakin meningkat dari musim ke musim. Contohnya rating pada Gelanggang Akhir tahun lalu sudah mengatasi program realiti akhir Akademi Fantasia.

KUMPULAN Mamu.

"Alhamdulillah, sejak di awal minggu pertama lagi kami sudah mengemukakan permohonan kepada penaja dan keputusannya diterima dua minggu yang lalu tanda bersetuju menaja hadiah kepada program ini.

"Selain itu juga, peningkatan dari segi mutu persembahan peserta juga dilihat antara penyumbang kepada kepercayaan pihak penaja," katanya yang ditemui selepas berakhirnya episod separuh RL4 Ahad lalu.

Gelanggang Akhir yang akan disiarkan secara langsung dari Dewan MBSA, Shah Alam bermula jam 9 malam Ahad ini turut menjadi musim yang mencabar bagi pihak produksi untuk mengekalkan prestasi mutu persembahan.

"Bermula tahun ini penekanan bukan saja dari segi mutu persembahan peserta dititik beratkan malah masa penyiaran juga menjadi elemen penting bagi kami.

"Seperti tahun sebelum ini, program ini disiarkan selama dua jam dengan pelbagai pengisian di dalamnya. Namun tahun ini kami hanya diberikan satu jam setengah saja dengan mengekalkan pengisian yang sudah dirancang.

"Setiap peserta akan diberikan dua tema iaitu Lawak Bebas dan Komedi Muzikal dalam masa dua minit setiap persembahan. Seperti biasa gimik persembahan adalah antara persembahan yang dinantikan penonton kerana sememangnya harus berbeza daripada tahun sebelumnya," katanya lagi.

Sementara itu, Penerbit bersama Homegrown, Michael Christian Simon berkata, sejak empat musim lalu menerbitkan program RL, tahun ini juga penganjur turut memperkenal lagu tema yang dinyanyikan oleh Ferhad berjudul Selamat Tinggal.

"Sebenarnya selepas melihat program realiti lain yang mempunyai lagu tema, terfikir juga kami mencari sesuatu lagu yang boleh mengingatkan penonton mengenai program ini. Ini juga boleh dikatakan sebagai serampang dua mata apabila usaha sama kami dengan Ferhad untuk memperkenalkan single terbarunya yang dicipta khas untuk program ini.

"Kepada penonton yang ingin mendapatkan single terbaru Ferhad ini boleh berbuat demikian dengan muat turun bermula Selasa ini," katanya yang sudah merancang bersama Ferhad sejak tahun lalu lagi.

Mamu kecewa tak masuk final

KEKECEWAAN jelas terpancar dari raut wajah dua pemuda ini yang menggelar diri mereka Mamu apabila diumumkan peserta terakhir tersingkir dalam RL4 ahad lalu. Hanya selangkah saja lagi tapak yang harus mereka naiki untuk ke Gelanggang Akhir RL4, namun rebah selepas mendapat undian terendah.

Mamu yang terdiri daripada Wan Azrul Azizan, 24 atau (Ajo) dan Abu Musarrif Abu Bakar, 21 (Abu) adalah mangsa undian penonton walaupun terbukti menunjukkan prestasi cemerlang dan mendapat pujian pengkritik setiap minggu.

Menurut Abu, kesedihan itu tidak dapat digambarkan memandangkan hanya selangkah saja lagi bagi mereka untuk mencapai cita-cita sebagai anak seni.

"Kami percaya persembahan yang kami berikan kepada penonton setiap minggu diterima ramai orang, namun sayangnya undian tidak menyebelahi menjadi punca kami tersingkir.

"Walau apa saja keputusan yang diterima, kami harus percaya kepada rezeki kami yang hanya sampai di sini saja dan akan tiba waktu kami suatu masa nanti.

"Kini rancangan saya adalah untuk menyambung kembali pengajian saya dalam bidang Ijazah Sarjana Muda, Seni Halus, Lakon dan Pengarahan di Universiti Sains Malaysia (USM) untuk semesta ketiga tahun kedua yang ditangguhkan kerana menyertai program ini," katanya.

Bagi Ajo yang kini sudah memiliki Ijazah dalam bidang yang sama di USM turut terkilan dan kecewa yang amat sangat apabila gagal ke Gelanggang Akhir RL4.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: