Tuesday, March 9, 2010

PM Denmark cuba sut robot


rasmussen (tengah) menggunakan satu alat pengesan untuk menggerakkan tangan robot di sebuah rumah penjagaan warga emas di Tokyo semalam.


TOKYO - Perdana Menteri Denmark, Lars Loekke Rasmussen semalam tidak melepaskan peluang untuk merasai keterujaan masa depan robotik Jepun dengan mencuba sut robot berkuasa yang diberi nama Hybrid Assistive Limb (HAL).

"Menakjubkan," jerit Rasmussen sewaktu beliau mencuba alat kerangka yang meniru pergerakan dengan tenaga yang diperkuatkan.

Ia boleh digunakan dalam membantu mereka yang lumpuh untuk berjalan atau memudahkan penjaga membawa pesakit.

Perekanya, firma Cyberdyne Inc. pada Jumaat lalu telah menubuhkan satu unit robot itu di Denmark.

Ia juga merancang untuk menyediakan empat unit kaki robotik kepada kerajaan Denmark bagi tujuan percubaan pertamanya di Eropah.

Apabila Rasmussen yang memakai baju tanpa lengan itu membengkokkan tangannya, alat pengesan yang dilekatkan pada kulitnya mengesan pergerakan tersebut menerusi denyutan elektrik.

Isyarat itu kemudian dihantar ke lengan robotik yang akan meniru perbuatan tersebut.

Lengan robotik itu perlu dipakai oleh pengguna.

Bagi 'mempelajari' pergerakan tubuh penggunanya, ia dipamerkan di sebuah rumah jagaan orang-orang tua di Tokyo.

"Ia hampir sukar dipercayai namun saya boleh melihatnya dengan mata saya sendiri bahawa ia memang berfungsi.

"Saya fikir teknologi ini mempunyai banyak potensi. Bagi tujuan pemulihan, ini satu idea yang sangat bagus.

"Pemilihan Denmark sebagai hab Eropah anda adalah satu keputusan yang baik," kata Rasmussen kepada ketua Cyberdyne, Yoshiyuki Sankai, seorang profesor di Universiti Tsukuba, Tokyo.

Rasmussen menyifatkan inovasi itu penting berikutan sektor penjagaan kesihatan di Denmark dan Jepun berdepan masalah kekurangan tenaga kerja.

Sankai pula berharap Denmark akan mengambil langkah pertama dalam mempopularkan penggunaannya.

Cyberdyne berkongsi namanya dengan pembuat robot bagi filem sains fiksyen, Terminator.

Sementara itu, HAL juga ialah nama komputer dalam filem arahan Stanley Kubrick, 2001: A Space Odyssey.

Pada bulan Mei depan, Cyberdyne merancang memperkenalkan sut seluruh badan yang boleh membantu pergerakan lengan dan kaki pada Ekspo Shanghai 2010.

Sut itu didakwa membolehkan pengguna untuk mengangkat beban sehingga 70 kilogram dengan menggunakan satu tangan sahaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: