LONDON: Melainkan jika David Beckham mampu menanganinya sebaik dia melakukan sepakan lencongnya, pemain bola sepak sensasi yang kini cedera akan terlepas peluang beraksi dalam Piala Dunia musim panas ini yang dilihat sebagai satu tamparan hebat kepada penganjur kejohanan, penaja, penonton televisyen dan penyokong biasa.
“Dia perlu bertenang dalam tempoh dua atau tiga minggu berikutnya atau sebulan dan dan kemudiannya menjalani proses pemulihan secara beransur-ansur,” kata Orava. “Kakinya tidak boleh mengalami tekanan untuk tempoh dua atau tiga bulan.” Orava berkata ia akan mengambil masa empat bulan sebelum berlari dan dua bulan lagi sebelum bermain.
Jurucakap Beckham, Simon Oliveira berkata tendon itu sudah dibaiki dan dia menjangkakan Beckham dapat kembali bermain.
“David dijangka pulih sepenuhnya,” kata Oliveira.
Ini bermakna Beckham tidak akan melakukan sepakan percuma melencong atau hantaran cantik pada Piala Dunia yang akan berlangsung pada 11 Jun di Afrika Selatan yang diharapkannya menjadi penampilan keempat bersama England dalam kejohanan itu.
| |
Bagaimanapun kebanyakan pakar bola sepak menjangkakan Beckham akan kembali.
Dia mempunyai personaliti yang hebat dan reputasinya akan menjadi lebih kukuh.
“Biarpun ia sesuatu yang amat mengecewakan pemain itu, semua orang tahu betapa dia cukup disenangi dalam Piala Dunia, masa depannya akan semakin cerah hasil apa yang dilakukannya pada dekad sebelumnya,” kata pegawai seranta selebriti, Max Clifford.
Beckham mengalami kecederaan pada minit terakhir sewaktu AC Milan menang 1-0 ke atas Chievo Verona. Ketika berjalan menggunakan topang, dia menerima sorakan ratusan penyokong ketika dia dimasukkan ke hospital di Turku, Finland, sebaik tiba dengan jet peribadi.
“Saya berharap dapat pulih sepenuhnya dengan segera,” kata Beckham dalam kenyataannya sebelum pembedahan.
Rich Mkhondo, jurucakap jawatankuasa penganjur Piala Dunia menganggap Beckham sebagai “jenama popular” dan berkata jika dia menyertai Piala Dunia di Afrika Selatan, ia pasti meningkatkan kehadiran penonton. Kami mendoakan agar dia segera pulih. Kami gembira jika dia pulih tepat pada masanya dan beraksi dalam Piala Dunia,” katanya.
Biarpun Beckham tidak dapat beraksi, dia mempunyai banyak komitmen di luar padang dan tugasan lain akan membuatkannya begitu sibuk.
Beckham dilaporkan menerima $16.5 juta (RM54.79 juta) menerusi tajaan peribadi dalam musim pertamanya bersama pasukan Major League Soccer, Los Angeles Galaxy. Sebuah syarikat berasingan, Brand Beckham menerima $5.5 juta (RM18.2 juta) gaji asas daripada Galaxy, saham barang dagangan untuk kelab itu, dan tajaan bersama dengan isterinya, artis popular Victoria termasuk rangkaian pewangi keluaran mereka.
Naib Presiden program ESPN, Scott Guglielmino, berkata rangkaian penyiaran itu berminat mendapatkan Beckham sebagai pengantara siaran Piala Dunia.
Beckham turut mempunyai kontrak tajaan antaranya dengan Adidas, Motorola dan Armani.
“Brand Beckham adalah jenama paling popular dalam dunia bola sepak,” kata Clifford. “Dia menjadi bintang di luar dunia bola sepak dari segi pendapatan, pengiklanan, penajaan dan tawaran, maka tiada sebab untuknya menjadi kurang popular dalam tempoh dua atau tiga tahun selepas ini berbanding tempoh sama sebelumnya dengan apa yang dibawakannya.” Bobby Charlton, bintang England yang menjuarai Piala Dunia 1966, berpendapat Beckham akan sekurang-kurangnya menyertai kelab bola sepak.
“Saya tidak tahu sama ada dia akan kembali menyarung jersi England. Saya hanya boleh berharap,” kata Charlton.
“Saya sudah lama mengenalinya dan dia akan menikmati setiap aksinya. Lupakan saja mengenai kewangan atau apa saja yang hadir bersamanya, dia memang suka bermain bola sepak,” katanya.
Hakikatnya: jangan lupakan Beckham. Dia datang dari kawasan timur London dan menjadi atlit paling popular di planet ini. Dia berdepan pelbagai masalah besar sepanjang tempoh itu tetapi berjaya bangkit dan menafikan dakwaan pengkritik.
Patung Beckham pernah digantung penyokong England selepas dia menerima kad merah sewaktu perlawanan dengan Argentina pada Piala Dunia 1998 dan kembali sebagai kapten England pada edisi 2002 kejohanan itu.
Selepas berdepan musim hambar dengan Manchester United, dia diketepikan pengurus Alex Ferguson tetapi berjaya menjuarai liga Sepanyol bersama Real Madrid.
Beckham dilucutkan daripada gelaran kapten England selepas pasukannya tersingkir daripada Piala Dunia 2006 tetapi berjaya menempah tiket bersama pasukan kebangsaan dan melepasi 100 penampilan (kini 115 penampilan).
Beckham tidak lagi disifatkan sebagai anggota utama pasukan England yang kini mempunyai pemain bintang, iaitu penyerang Wayne Rooney. Biarpun Beckham mungkin terpilih menyertai Piala Dunia, dia tidak mungkin akan membarisi kesebelasan utama. Dia dilihat lebih berfungsi sebagai peledak pada separuh masa kedua. “Ada peluang keemasan buat Beckham di Afrika Selatan untuk mewakili England dalam membida Piala Dunia 2018.
“Dia adalah aset penting untuk bidaan itu dan ia tidak perlu dipersoalkan,” kata pengerusi Persatuan Bola Sepak England, David Triesman.
“Dia begitu berkarisma dan seorang yang merendah diri yang sanggup melakukan apa saja untuk membantu negaranya,” katanya.
Jika Bekham pulih sepenuhnya dia akan kembali bersama pasukan England untuk kempen kelayakan Kejuaraan Eropah 2012 dengan perlawanan pertama bermula September ini.
Jika dia mahu dia boleh pulang menyertai AC Milan dan Galaxy.
“Dia akan bangkit daripada kecederaan itu, Saya tidak fikir dia akan bersara disebabkan perkara ini,” kata bekas rakan sepasukannya dari England, Andy Cole. “Dia akan bangkit untuk kembali mencapai kecergasannya.” Sudah pasti Milan akan menerima kepulangannya. Beckham juga menunjukkan minat untuk memiliki pasukan MLS suatu hari nanti.
“Saya mahu menamatkan pembabitan saya dalam bola sepak dalam cara istimewa,” katanya. “Memiliki pasukan bola sepak adalah sesuatu yang boleh dilakukan dan pernah saya fikirkan dan saya fikir ia akan menjadi kenyataan,” katanya.
Perunding jenama Britain, Simon Middleton tiada sebab untuk Beckham gagal dalam apa yang dilakukannya menerusi penampilan dan reputasi hebatnya. “Saya fikir dari aspek bola sepak bertaraf dunia, zamannya hampir sudah berakhir,” kata Middleton. “Bagaimanapun ini tidak bermakna zamannya sebagai satu ikon dan jenama sudah berakhir sama sekali.
“Dia adalah antara atlit yang berjaya mengekalkan integritinya. Kami melihat dia dewasa. Dia melakukan beberapa kesilapan dan sentiasa bangkit. Dia tidak pernah kehilangan sokongan peminat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: