
JIKA pemancing mempunyai lubuknya sendiri, bagaimana pula dengan penggemar dan pengeluar buku? Sudah menjadi satu catatan wajib dalam diari tahunan negara, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) antara acara yang dinantikan ramai.
Menariknya, PBAKL bukan sahaja menjadi medan untuk memasarkan buku-buku terbaru, bahkan sarat dengan pelbagai aktiviti wacana ilmu seperti aktiviti melukis, menulis tulisan khat dan mengupas buku-buku baru.
Menurut Penolong Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Norhayati Razali, penganjuran acara itu yang masuk kali ke-29 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tahun ini adalah kerjasama pihaknya dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
Berlangsung selama sepuluh hari bermula 19 Mac lalu, PBAKL yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan warga Lembah Klang akan berakhir pada 28 Mac ini.
"Kajian yang dilakukan mendapati minat membaca masyarakat kita semakin meningkat jika dibandingkan sedekad lalu.
"Masyarakat kini sudah punya kesedaran bahawa hanya melalui pembacaan, mereka mampu mencapai tahap pemikiran yang tinggi untuk bersaing pada zaman globalisasi ini," katanya.
Apa yang pasti, dengan lautan manusia yang memenuhi ruang pameran di PWTC sama seperti tahun-tahun lalu yang mencatatkan jutaan pengunjung, ia mungkin satu petunjuk jelas bahawa kajian yang mendapati rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun perlu dinilai semula.
Jelas Norhayati, apatah lagi gaya penerbitan buku sekarang telah dipelbagai khususnya dalam penghasilan buku yang bermutu tinggi berbanding bahan bacaan berunsurkan tahyul.
Sejajar dengan itu, PBAKL kali ini menyediakan 856 tapak yang melibatkan 208 syarikat penerbitan tempatan dan luar negara, selain untuk agensi kerajaan.
PBAKL 2010, tambah beliau mempunyai kelainan berbanding tahun sebelumnya. Sebuah Pusat Perdagangan dan Hak cipta dibuka khas kepada peserta dalam menggalakkan hak pertukaran penerbitan dan terjemahan bagi kepentingan industri buku negara.
Di samping itu, pada tahun ini juga penyampaian Anugerah Tokoh Nilam Kebangsaan turut diperkenalkan dalam PBAKL.
Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) sebenarnya telah dimulakan KPM sejak 12 tahun lalu dengan memberi penumpuan kepada pelajar tahun enam sehingga tingkatan lima. Ia adalah satu program memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar sekolah.
"Setiap pelajar akan dinilai dari segi ujian percakapan dan penulisan yang dikendalikan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan KPM. Tokoh yang terpilih akan menerima wang tunai RM500, trofi dan sijil bagi kategori sekolah rendah dan menengah," ujar Norhayati.
PBAKL 2010 juga kata Norhayati, tidak mengenepikan golongan cilik sesuai dengan pepatah meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Kerana itu, Majlis Buku Kanak-kanak Malaysia (MBBY) dan MBKM bersama-sama menganjurkan Persidangan Antarabangsa Buku Kanak-kanak.
Ia menjadi platform kepada individu dan pengeluar buku kanak-kanak bertukar maklumat dalam memperkasakan lagi penghasilan buku untuk golongan itu.
![]() |
| SEBAHAGIAN daripada kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam pertandingan menulis tulisan khat anjuran majalah Al-Islam sempena PBAKL di PWTC. |
Menambahkan lagi tarikan pada PBKAL, selain buku dan novel pengunjung juga boleh mendapatkan gajet-gajet elektronik.
Syarikat Fortech Global Sdn. Bhd. contohnya memperkenalkan i-Quran yang menggabungkan kaedah pembelajaran al-Quran secara elektronik melalui sentuhan.
Penghasilan mesin i-Quran itu mendapat pengiktirafan daripada Pusat Teknologi Pendidikan, KPM.
Mesin itu dapat membantu kanak-kanak agar tidak ketinggalan dalam pengajian al-Quran, tambahan pula ketiadaan guru-guru agama di kediaman mereka.
Mesin tersebut akan dibekalkan dengan 12 memori cip yang mengandungi pembacaan Iqra, taranum dan 30 juzuk al-Quran pada harga promosi sebanyak RM888 berbanding harga pasaran RM1,488.
Pengunjung yang ditemui rata-rata berpuas hati dengan pameran kali ini. Pengelasan peserta PBAKL mengikut zon warna berbanding angka sebelum ini secara tidak langsung memudahkan orang ramai mendapatkan gerai yang ingin dikunjungi.
Menurut salah seorang pengunjung tetap PBAKL, Normah Samsuri, 41, penganjuran semasa musim cuti sekolah memudahkannya membawa anak-anak mendapatkan buku yang berguna.
"Jika dibandingkan tahun-tahun lepas, kami hanya mampu meluangkan masa sekejap sahaja. Namun, kali ini sempena musim cuti sekolah, ia memberikan ruang masa yang lebih banyak untuk kami melawat dari satu gerai ke satu gerai," katanya yang juga merupakan doktor gigi di salah sebuah kem tentera di ibu kota.
Berbeza dengan Shafarina Mohamed Samsudin, 28, ini adalah kunjungan pertamanya ke pesta buku itu.
"Sebelum ini saya hanya membaca atau melihat promosi PBAKL di media. Namun, menjejak kaki buat kali pertama di sini membuatkan saya terkejut dan teruja.
"Terkejut kerana melihat lautan manusia di PWTC untuk mendapatkan bahan bacaan ilmiah dan sudah tentunya saya teruja apabila terdapat banyak novel dan buku ditawarkan pada harga yang berpatutan," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: