Wednesday, March 17, 2010

Patrizio mahu takluk dunia


ALBUM ketiga Patrizio Buanne yang berjudul Patrizio kini sudah berada di pasaran.


MISINYA hanya satu iaitu mahu menakluk dunia dengan muziknya sekali gus memperkenalkan namanya di persada seni antarabangsa.

Dengan penuh jujur, Patrizio Buanne mengakui namanya belum cukup kuat untuk menyakinkan masyarakat dunia akan bakatnya.

Kerana itulah, dia tidak pernah putus asa mencari formula dan strategi terbaik untuk menonjolkan diri serta muziknya dalam meraih perhatian khalayak.

Biarpun sudah melahirkan dua album sebelum ini iaitu The Italian dan Forever Begins Tonight pada tahun 2005 dan 2007, namun Patrizio belum puas dengan apa yang telah dilakukannya.

Dia mahu terus membina namanya dan yang utama buat Patrizio adalah menampilkan muzik yang berbeza daripada apa yang pernah ditampilkan oleh penyanyi lain sebelum ini.

Mungkin sudah menjadi rezekinya apabila dia bertemu dengan seorang yang cukup berpengaruh dalam industri seni di Hollywood iaitu Jim Morey yakni pengurus artis yang sudah lama bertahan di Amerika Syarikat.

"Saya selalu berpegang kepada prinsip apabila anda mahu lakukan yang terbaik, pastikan anda berjalan di landasan yang betul.

"Pokok pangkalnya adalah minat dan keghairahan yang akhirnya memberikan hasil yang cukup lumayan serta kepuasan yang maksimum," luah Patrizio penuh jujur saat menghubungi Hits, baru-baru ini.

Itulah gambaran yang diberikan oleh penyanyi berusia 31 tahun ini apabila membicarakan tentang album ketiganya yang diberi judul Patrizio.

Dengan bantuan Morey jugalah, dia akhirnya dipertemukan dengan penerbit album tersohor dunia, Humberto Gatica yang merupakan penerbit albumnya itu.

Sebelum ini, Humberto pernah menyumbangkan kreativitinya untuk album artis-artis ternama dunia antaranya Michael Buble, Celine Dion, Josh Groban, Madonna, Whitney Houston dan Michael Jackson.

Memang sudah lama Patrizio mengidam untuk bekerjasama dengan Humberto yang memang tidak dapat dinafikan lagi kehebatannya dalam memberikan magis kepada setiap sentuhannya.

Tambahnya lagi, saat dia menceritakan kemahuan dan keinginannya untuk album ini, Humberto dengan pantas faham dan tahu apa yang perlu dilakukan bagi menyempurnakan hasrat hati Patrizio.

"Jujurnya, Humberto memang seorang cerewet dan mementingkan kesempurnaan dalam setiap hasil kerjayanya.

"Memang bukan mudah untuk memuaskan hatinya tetapi apabila semuanya berakhir, barulah saya tahu rasional dia mengkehendaki kita berbuat seperti mana yang dimahukan," cerita Patrizio tentang pengalamannya bersama Humberto.

Bukan itu sahaja, album ketiganya ini jelasnya, merupakan luahan isi hatinya menerusi lagu-lagu yang dimuatkan dalam albumnya itu.

"Apa yang boleh saya katakan, album ini juga mencerminkan keperibadian saya yang sebenar dan perjuangan saya dalam bidang muzik.

"Saya tidak mahu lakukan perkara yang bukan lahir dari hati yang tulus dan ikhlas kerana jika kita bersikap pura-pura dalam setiap yang dilakukan, ia tidak mampu bertahan lama," kata Patrizio atau nama sebenarnya, Patrizio Franco Buanne ini penuh jujur.

Biarpun lagu-lagu dalam album ini sebahagian besarnya merupakan lagu-lagu saduran, namun, Patrizio membawakannya dengan gaya dan cara tersendiri.

Ujarnya, dia boleh memilih untuk mengikut jejak langkah Michael Buble yang menyanyikan semula lagu-lagu klasik tetapi itu akan menjadi sesuatu yang klise dan membosankan bukan kepada dirinya tetapi kepada pendengar juga.

Maka dengan itu, dia tampil dengan muzik pop dan gaya penyampaian vokal yang dapat menimbulkan rasa romantis kepada pendengar. Ia merupakan gabungan muzik Amerika dan Itali yang memberikan santapan yang berbeza.

"Kerana itulah juga, saya memilih untuk menamakan album saya ini hanya Patrizio kerana itulah cara saya mahu masyarakat dunia mengenali saya," ujarnya dalam nada bersungguh.

Antara lagu-lagu yang terkandung dalam album ini ialah Have You Ever Really Loved A Woman?, Fly Me To The Moon, Mambo Italiano, Crazy, On The Street Where You Live dan I Can't Say No.

Album ini juga menyaksikan Patrizio merakamkan sebuah lagu berjudul Why Did You Have To Be? ciptaan komposer dan penulis lirik terkemuka dunia, Dianne Warren yang cukup dikenali dengan lagu-lagu cinta romantis.

Berbekalkan vokal baritone yang dimilikinya, Patrizio yang dilahirkan di Vienna, Austria itu juga mahu mengubah skeptikal masyakat dunia yang sering kali salah tanggapan kepada penyanyi Itali sepertinya.

Manakan tidak, jika penyanyi dari Itali sahaja, apa yang terlintas di fikiran mereka hanyalah muzik klasikal dan opera sahaja yang menjadi pertaruhan mereka.

Patrizio secara peribadi memberitahu teknik vokal sebenarnya boleh dipelbagaikan dan tidak semestinya cenderung kepada muzik tersebut.

"Setiap penyanyi ada kecenderungan masing-masing dan begitu juga dengan diri saya. Tidak perlu untuk membanding-bandingkan saya dengan penyanyi lain kerana percayalah, muzik saya adalah tersendiri.

"Apa yang penting, setiap lagu yang saya dendangkan dapat menggembirakan saya. Jika saya gembira, saya juga mahu pendengar serta peminat turut memiliki perasaan itu," ujarnya lagi.

Patrizio turut menambah, untuk album-albumnya yang akan datang juga, dia akan mengekalkan konsep sedia ada kerana mahu terus kekal dengan apa yang telah dilakukannya.

Dalam masa yang sama, Patrizio melahirkan keinginannya untuk berduet dengan beberapa artis wanita yang disifatkannya memiliki mutu vokal yang bagus dan sesuai dengan dirinya.

"Saya amat mengagumi LeAnn Rimes, Celine Dion dan Alicia Keys dan kalau diberi kesempatan berkolaborasi dengan mereka, sayalah orang paling gembira di dunia," katanya disulami dengan tawa kecil.

Kini, Patrizio sudah bersedia untuk menggegarkan pentas seni dunia dan sepanjang tahun ini, dia akan sibuk merantau serta melakukan konsert jelajah untuk melebarkan lagi sayap seninya.

Mungkin peminat di negara ini tidak begitu mengenali Patrizio dan muziknya, tetapi percayalah jika mendengarkan albumnya, pastinya anda akan dibuai rasa romantis selain mahu berdansa mengikut ritma rancak yang dilantunkan.

Untuk itu, penyanyi kacak ini akan menjejakkan kakinya buat pertama kali ke bumi bertuah Malaysia selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Mac ini bagi mempromosikan album ketiganya itu.

Pelbagai aktiviti sudah dirangka oleh syarikat rakaman Warner Music Malaysia untuk memperkenalkan lagi muzik Patrizio kepada masyarakat dan pencinta seni di negara ini.

Selain memenuhi undangan temu ramah, rakaman program televisyen dan fotografi bersama media tempatan, Patrizio juga akan mengadakan sesi bertemu dengan peminat pada 20 dan 21 Mac ini.

Pastikan anda tidak ketinggalan untuk bertemu secara eksklusif dan mendapatkan tanda tangan Patrizio yang akan berkunjung ke Movie Magic, 1 Utama pada pukul 7 malam dan di Rock Corner, The Gardens, Mid Valley pada pukul 8.30 malam.

Sementara itu, pada 21 Mac pula, Patrizio akan berada di Speedy, Pavilion bermula pukul 5 petang.

Bagi mereka yang membeli album Patrizio pada sesi bertemu peminat itu, berpeluang memenangi pas eksklusif bagi menyaksikan persembahan pada 21 Mac ini di Grand Ballroom, Hotel Hilton, Kuala Lumpur pukul 8 malam.

Namun begitu, semuanya bergantung kepada kepantasan anda membeli album tersebut dan kemudian, menebus pas tersebut kerana ia berdasarkan siapa cepat, dia dapat.

Bagi menyerikan persembahannya, penyanyi jazz negara, Noryn Aziz telah diundang untuk membuat persembahan pada malam itu dan dijangka akan berduet dengan Patrizio.

Walau bagaimana pun, untuk mereka yang tidak dapat berbuat demikian usah khuatir kerana anda masih berpeluang mendapatkan tiket menonton persembahan eksklusif tersebut dengan menghubungi talian 03-7721 2615.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: