Tuesday, March 23, 2010

Nikah: Hanny Madu guna Gedung Al-Habshee

Gedung Al-Habshee diberi kepercayaan sebagai penata majlis bagi majlis pernikahan dan persandingan deejay Fly FM, Hanny Madu pada 1 April depan.

Majlis pernikahan akan berlangsung di rumah pengantin perempuan di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur bakal menyaksikan pasangan mempelai menaiki pelamin yang direka khusus dengan berorientasikan warna putih dan merah.

Pada majlis persandingan pula, mempelai akan menyerikan pelamin yang direka oleh Nas Great Ideas. Dia memilih rona krim dan merah hati yang bakal memukau tetamu yang hadir.

Hunny pilih klasik

Solekan untuk majlis berinai besar ditaja oleh Gedung Al-Habshee menggunakan kepakaran solekan juru solek terkenal Vee Xiendra. Manakala pakaian klasik berpotongan ala Saloma pula ditaja oleh Salun & Andaman Zee Eika dari Bandar Baru Bangi, Selangor.

Untuk khidmat catering pula, pihak Gedung Al-Habshee memberi kepercayaan kepada Mazia Catering menyediakan masakan serta menu yang lazat seperti nasi beriani tanam serta beberapa menu masakan Kelantan untuk para tetamu.

Klasik jadi pilihan Hunny

"Boleh dikatakan menu pada hari persandingan nanti akan menyaksikan gabungan makanan selatan serta Pantai Timur memandangkan kedua-dua ibu dan bapa pengantin perempuan berasal dari sana.

"Sesungguhnya pihak Gedung Al-Habshee berbesar hati kerana diberi kepercayaan oleh keluarga Hunny. Kepercayaan mereka ini adalah rentetan tugasan yang sama diberikan kepada pihak Gedung Al-Habshee semasa menguruskan majlis pertunangan Hunny sekitar tahun lalu.

"Majlis persandingan itu juga nanti bakal menyaksikan beberapa adat Melayu Johor yang cuba dihidupkan semula bagi membangkitkan aura klasik. Antara yang diatur ialah penggunaan semula sirih lat-lat untuk dibawa oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan semasa mereka bertemu di pelaminan.

"Sebelum itu, rombongan pihak lelaki akan disekat dengan beberapa tol sebelum pengantin dibenarkan naik ke pelamin. Di atas pelamin pula, pengantin lelaki hanya akan dibenarkan melihat wajah pengantin perempiuan selepas mereka membayar wang tebus pelamin dengan mak andam yang duduk mengiringi pengantin perempuan di atas pelaminan," kata Pengarah Urusan Gedung Al-Habshee, Syed Hashim Syed Ali.

Selain itu pengantin dan tetamu juga akan dipersembahkan dengan tarian zapin klasik serta kontemporari persembahan kumpulan kanak-kanak yang dibawa khas dari bandar Maharani, Muar yang juga merupakan tempat kelahiran ibu pengantin perempuan.

Seusia majlis persandingan, kedua pengantin akan memotong pulut kuning bagi menggantikan kek serta membaling duit ambur-ambur kepada para tetamu yang hadir.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: