Tuesday, March 16, 2010

Musim berkompang sudah bermula


Sempena cuti sekolah banyak pasangan akan mengambil kesempatan untuk melangsungkan perkahwinan.


SEKOLAH di seluruh negara akan bercuti seminggu mulai 15 Mac atau 14 Mac, bagi beberapa negeri. Ini bermakna kita akan mendengar bunyi paluan kompang di kawasan perumahan, di balai-balai raya, pusat komuniti, dewan, malahan hotel.

Selain Mak Andam dan penyedia katering yang dicari untuk melancarkan majlis kenduri dan majlis persandingan, kini perancang atau perunding majlis perkahwinan turut menjadi rebutan terutama bagi majlis perkahwinan yang diadakan di dewan besar dan hotel.

Bagi mereka yang memilih menganjurkan majlis besar-besaran, hotel turut menjadi pilihan kerana separuh daripada beban mengatur majlis boleh diuruskan pihak hotel seperti makanan, kerusi meja, hiasan, pelamin dan bilik tidur pengantin.

Pilihan ini terutama bagi pasangan dan keluarga pengantin yang punya bajet besar untuk hari bahagia "sekali seumur hidup ini" dan pasti mahukan majlis yang gilang gemilang dan yang meninggalkan ingatan paling manis lagi berpanjangan untuk mereka sekeluarga, tetamu dan sahabat handai.

Antara hotel yang bersedia memberi khidmat "pakej lengkap" untuk merancang dan melangsungkan majlis perkahwinan meriah ini ialah Kumpulan Hotel De Palma.

Semua Hotel De Palma menyediakan khidmat pengurusan majlis perkahwinan secara dalaman.

Ringankan beban

Tujuan utama Hotel De Palma ialah untuk memudahkan pasangan pengantin dan keluarga mereka merancang majlis dan tidak tertekan dengan masa dan urusan penyediaan yang memerlukan tenaga seisi keluarga.

"Di hotel ini, semuanya diatur ke arah konsep patuh syariah. Ia memudahkan pelanggan, mereka tak perlu was-was. Selain itu, pakej kami membantu mereka merancang mengikut bajet masing-masing," kata Hussain Salleh, pakar runding perkahwinan kumpulan Hotel De Palma ketika ditemui baru-baru ini.

Pakej ini membolehkan pasangan muda yang ingin melangkah ke alam berumah tangga, dengan bekalan hanya RM10,000 setiap seorang, masing-masing boleh menjemput 200 orang tetamu ke majlis yang diselenggarakan serba-serbinya di hotel.

"Ia selesa, hiasan turut diuruskan pihak hotel. Hidangan meja utama kami sedia secara istimewa untuk menyerlahkan lagi majlis yang sungguh bermakna buat pasangan pengantin baru.

"Kad jemputan dan dulang hantaran pun boleh kami hias dan sediakan untuk pasangan mempelai. Selain itu urusan pakaian, fotografi dan percutian berbulan madu turut boleh kami bantu pengurusannya - dengan caj untuk khidmat tambahan sebegini yang berpatutan," jelas Hussain.

Sesuai dengan bajet

Pilihan dewan bankuasi kumpulan hotel De Palma ini pula boleh dibuat di lima lokasi iaitu di Ampang, Shah Alam, Kuala Selangor, Sepang dan yang terbaru di pusat seminar dan persidangannya di Petaling Jaya.

Semasa melancarkan produk baru kumpulan hotel ini, pengurus besarnya, Datuk Mohd. Ilyas Zainol Abidin turut mengumumkan pakej-pakej majlis perkahwinan yang hebat, berpadanan dengan bajet pelanggannya.

Bukan saja pakej sebegini dapat memudahkan penyelarasan majlis perkahwinan, ia memudahkan ahli keluarga yang menghadiri majlis serta mengurangkan keremehan persediaan di rumah.

Mohd. Ilyas berkata: "Kami sediakan lima pakej untuk dijadikan pilihan mengikut keperluan pasangan dan keluarga masing-masing iaitu Pakej Sumayyah, Sakinah, Mawaddah, Firdaus dan Adam-Hawa.

"Kosnya pun berpatutan, di antara RM35 sehingga RM75 untuk setiap tetamu jemputan majlis."

Pilihan pengantin

Apa pula kata bakal pengantin yang membuat pertimbangan melangsungkan majlis perkahwinan di dewan bankuasi dan di hotel, iaitu di luar perkarangan rumah sendiri?

Pasangan Azzuren Mazlah dan tunangnya, yang bakal melangsungkan perkahwinan pada bulan Mei ini sudahpun menempah dewan hotel dan pakar runding perkahwinan untuk majlis mereka.

Ia bakal dilangsungkan di Shah Alam, Selangor.

Mereka berdua sependapat,"Kalau buat majlis di Lembah Klang lebih sesuai di dewan atau di hotel. Asalkan sudah buat perancangan awal, kosnya pasti tidak membebankan untuk ditampung.

"Lagipun kawasan rumah terlalu sempit nak jemput saudara mara kedua-dua belah pihak, sahabat handai, rakan taulan emak ayah dan adik beradik lagi, ramai tu. Yang paling penting, majlis tidak menyusahkan ahli keluarga terutamanya semasa nak mengemas lepas kenduri nanti." Bakal ibu mentua, Ami Hamzah pula berkata: "Bila anak lelaki saya melangsungkan perkahwinannya nanti, semuanya akan dilangsungkan di dewan bankuasi (hotel). Sekurang-kurangnya sanak saudara dari kampung dapat hadir secara bersenang-senang, tak perlu bimbang tentang urusan mengemas dan mencuci lepas majlis." "Hubungan silaturrahim di antara kita dengan tetamu pun dapat dieratkan lagi, dapat bergaul bebas dengan tetamu di majlis 'makan berserak' waktu tengah hari. Lebih terurus dan kurang penat, tambahan pula urusan persiapan awal untuk bertunang dan nikah telahpun dibereskan perjalanannya di rumah," katanya tersenyum lebar menanti saat bahagia menyambut anak menantu tidak lama lagi.

Tidak kurang meriah

Tiada apa kurangnya majlis perkahwinan yang dilangsungkan di hotel kerana masih mengekalkan adat istiadat Melayu dalam urusan menerima tetamu, berbalas hantaran, istiadat bersanding raja sehari, meraikan tetamu dan sebagainya.

Kemeriahannya tetap sama dengan irama paluan kompang menggetarkan degupan jantung yang sudah semestinya menjadi idaman Raja Sehari dan keluarga, tanda majlis perkahwinan sedang berlangsung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: