![]() |
| BIAR sudah berusia 60 tahun, Halil Chik masih bertenaga dan memiliki vokal mantap. |
SEJAJAR dengan tujuan dan konsep penubuhannya, stesen radio Klasik Nasional diakui berperanan dalam mengembalikan nostalgia terhadap terhadap karya, artis serta lagu yang pernah popular sekitar 60-an, 70-an dan 80-an.
Menyimpan lebih ratusan ribu khazanah lagu-lagu Melayu, bukan sekadar mengembalikan nostalgia tetapi Klasik Nasional sememangnya menggalas beban yang cukup berat dalam memelihara khazanah bernilai kepada negara.
Sstesen yang bermula dengan nama Radio Irama Melayu Asli atau RIMA yang kemudiannya dikenali pula Klasik FM dan Klasik Nasional ini mampu mencapai jumlah pendengar yang bukan sekadar ratusan ribu tetapi lebih satu juta orang.
Ini membuktikan Klasik Nasional memiliki pendengarnya yang tersendiri dan mampu bersaing dengan stesen radio lain biarpun 'mempertaruhkan' lagu-lagu Melayu lama.
Justeru, bagi mengukuhkan lagi jenama Klasik Nasional, stesen radio milik Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu bertindak 'turun padang' dengan menganjurkan Konsert Masihkah Kau Ingat (MKI) bagi meraikan khalayak pendengar setianya.
Sudah dimulakan sejak tahun lalu, MKI bukan hanya dilaksanakan di 'teratak' RTM di Angkasapuri malah mula menjelajah ke beberapa buah negeri.
Kuala Kangsar, Perak, Desaru (Johor) dan Kuantan (Pahang) merupakan antara destinasi yang pernah ditakluki MKI dengan menampilkan barisan artis ternama di tiga era iaitu dari 60-an hingga 80-an.
Terbaru, MKI dilangsungkan di Laman Santai, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur pada 6 Mac lalu yang menghimpunkan artis seperti Adnan Othman, Uji Rashid, L. Ramlee, Halil Chik, Datuk Malik Ridzuan serta Zur Eda.
Dihoskan oleh dua penyampai radio Klasik Nasional iaitu Risham dan Sofiah, konsert MKI di Laman Santai yang diiringi pemuzik Kombo RTM itu akan disiarkan di stesen radio terbabit pada 27 Mac dan 24 April ini.
Menurut Penerbit Konsert MKI, Rosli Derani, sepanjang konsert berlangsung, artis-artis lama yang ditampilkan cukup memberikan kerjasama yang baik.
"Mereka ada disiplin yang tersendiri. Konsert MKI juga adalah salah satu platform untuk mereka terus menyanyi dan menyumbang suara bagi menghiburkan peminat masing-masing.
"Bagi konsert di Laman Santai, persembahan akan diselang-seli dengan komedi oleh Ebi Yus dan Acapan serta tarian oleh penari IB,'' katanya ketika ditemui di Laman Santai, baru-baru ini.
Ujar Rosli, selepas konsert di Laman Santai, pihaknya merancang untuk membawa MKI ke Terengganu dan Johor Bahru.
Kesinambungan daripada konsert itu, Klasik Nasional juga turut menyediakan segmen MKI Bersama Artis yang bersiaran setiap Selasa hingga Khamis bermula dari pukul 2.25 hingga pukul 3 petang.
Beberapa nama besar penyanyi 'malar segar' tanah air akan ditemubual secara langsung melalui segmen tersebut.
Antara artis yang bakal menjengah ke studio Klasik Nasional untuk segmen itu adalah Datuk DJ Dave, Datuk A. Rahman Hassan, Datuk Yusni Hamid, J Sham dan Ibnor Riza.
Halil Chik, penyanyi berusia 60 tahun melihat MKI sebagai tempat untuk artis sepertinya kembali aktif menyanyi.
Ttanpa MKI katanya, artis-artis seangkatan dengannya pasti akan dilupakan di sebalik kemunculan artis baru.
Menyentuh mengenai artis baru, kata Halil, dia yang sekian lama memerhatikan perkembangan bidang muzik tanah air mahu artis-artis baru mencari identiti sendiri bagi membolehkan mereka mampu meneruskan saingan.
"Mereka boleh menyanyi tetapi saya melihat mereka tidak ada identiti sendiri.
"Kita perlu ada identiti. Lihat bagaimana Allahyarham Datuk Sudirman membina identitinya. Ia perlu dicontohi.
"Kalau artis tidak ada identiti, sudah tentu 'nyawa' mereka tidak akan berpanjangan dalam industri hiburan ini,'' katanya.
Ditanya rahsia dia mengekalkan tenaga dalam usia melebihi setengah abad, Halil menjelaskan bahawa semuanya datang daripada hati.
'Kita perlu happy (gembira). Namun, apa yang paling penting adalah dengan sentiasa mengingati Allah,'' jelasnya yang popular dengan lagu Kemesraan dan Renungan.
Ditanya tentang perkembangan hidupnya, Halil yang menduda selama 10 tahun berkata, dia masih lagi aktif menyanyi dan terbaru akan muncul dengan drama berjudul Ratna.
Ratna, ujarnya merupakan sebuah drama terbitan Media Corp. Singapura dan dia turut berlakon bersama vokalis Black Dog Bone iaitu Jatt.
MKI jadi contoh
Dalam pada itu, penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Kelmarin, Pelitaku dan Lama Tak Jumpa, Zur Eda berkata, MKI adalah satu usaha yang bagus dan ia harus dijadikan contoh oleh pihak lain agar artis lama tidak dipinggirkan.
Namun, penyanyi itu melahirkan rasa terkilannya dengan sikap sesetengah pihak yang tidak menghargai artis lama sepertinya.
"Minda mereka ini kalau hendak adakan konsert, pasti kena ada artis baru dan top. Ini harus diperbetulkan.
"Tidak ada yang lama, sudah tentu tidak ada yang baru. Oleh sebab itu, saya lebih selesa mencari pihak yang masih hendak menyokong artis seperti saya ini,'' kata Zur Eda.
Tentang harapannya untuk muncul dengan album baru, Zur Eda memberitahu bahawa dengan usianya yang telah mencapai 44 tahun, dia memerlukan lagu yang hits agar dapat terus diterima oleh peminat.
"Sudah tentu saya memerlukan lagu
hits dan matang. Saya juga perlu bersikap adil dengan diri.
"Buat masa ini, saya masih belum jumpa lagu-lagu yang benar-benar hits,'' katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: