![]() |
| ADIBAH Noor mengharapkan konsert dan malam gala amal Kau Di Hatiku akan mencapai sasaran yang ditetapkan. |
Mengenali Adibah Noor, dia lebih selesa untuk berkongsi cerita dengan pihak media seandainya mempunyai sesuatu yang boleh dikhabarkan. Memang diakui, cerita tentang dirinya sudah lama tidak ditatap di dada-dada akhbar tetapi itu bukan bermakna dia sepi tanpa sebarang projek baru yang direncana.
Dalam diam, Adibah bakal beraksi dengan sebuah konsert amal yang bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu golongan seni yang kurang bernasib baik.
Konsert dan malam gala yang diberi nama Kau Di Hatiku itu bukan sahaja akan menampilkan Adibah tetapi juga barisan artis popular lain seperti Zainal Abidin, Atilia, Amy Mastura dan Aizat.
Selain artis utama, persembahan itu juga akan diserikan dengan nyanyian oleh Nizam, kumpulan Dead Mushroom, Sabhi Saddi, Betty Banafe, Bob dan Fazo.
Apa yang membuatkan Adibah terharu ialah artis-artis yang membuat persembahan untuk konsert itu sedikit pun tidak berkira tentang bayaran.
Memikirkan ia diadakan bagi tujuan murni untuk meringankan beban anak seni yang berdepan dengan kesulitan, Adibah melahirkan rasa syukurnya apabila cita-citanya itu berjaya direalisasikan.
Bercerita tentang tercetusnya idea untuk menerbitkan konsert ini, pelantun lagu Terlalu Istimewa ini memberitahu perancangan semuanya bermula sekitar tahun lalu.
Ketika itu, dia bersama dua penyanyi lain iaitu Misha Omar dan Amy Mastura sedang duduk bersantai sambil bercerita tentang impian masing-masing yang mahu beraksi dalam sebuah konsert.
"Lalu, kami sepakat untuk mengadakan konsert amal ini untuk membantu rakan-rakan artis yang memerlukan bantuan.
"Cuma, sedihnya apabila Misha tidak dapat beraksi untuk konsert ini kerana sudah terikat dengan komitmen seni yang tidak dapat dielakkan.
"Ketiadaan Misha bukan penghalang untuk konsert ini diteruskan kerana barisan artis yang lain juga sudah bersedia untuk menghiburkan peminat dan tetamu mereka nanti," kata Adibah yang ditemui pada sidang akhbar yang diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negara, baru-baru ini.
Konsert dan malam gala Kau Di Hatiku akan diadakan selama dua malam berturut-turut pada 9 dan 10 April ini di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur bermula pukul 7.30 malam.
Untuk persembahan pada 9 April, ia merupakan sebuah konsert yang akan mengenakan tiket masuk sebanyak RM50.
Sementara itu, bayaran yang dikenakan bagi mereka yang mahu menonton persembahan pada 10 April adalah sebanyak RM2,000 untuk semeja manakala harga individu pula adalah RM300.
Kesemua artis utama akan membuat persembahan selama setengah jam setiap seorang.
Dalam masa yang sama, Adibah juga membuka peluang kepada semua pihak termasuk golongan artis sendiri untuk sama-sama beramal dengan membeli meja bagi membantu rakan artis yang lain.
"Kami mensasarkan untuk mengutip sebanyak RM30,000 pada kedua-dua hari persembahan agar misi dan impian kami ini akan dapat dilaksanakan.
"Ini bukan soal berhibur semata-mata tetapi juga mengenang jasa mereka yang selama ini telah menghiburkan kita dengan nyanyian serta lakonan mereka.
"Jadi, inilah masa untuk kita memberi semula kepada mereka dengan persembahan amal ini," ujar pemilik nama Adibah Noor Mohamed Omar ini penuh bersungguh.
Antara individu yang sudah dikenal pasti akan menerima sumbangan daripada persembahan ini ialah seniman tersohor, M. Rajoli, Zaiton Sameon serta wartawan senior, Karim Sulaiman.
Sebahagian daripada sumbangan yang akan dikutip kelak juga akan disalurkan kepada Tabung Bersamamu TV3.
"Sumbangan ini juga tidak terhad pada artis sahaja tetapi mereka yang terlibat di belakang tabir seperti jurusolek, penerbit, komposer dan mereka yang terlibat dalam dunia seni secara khususnya.
"Jujurnya, penganjuran konsert dan malam gala ini datangnya daripada poket saya sendiri dan langsung tidak mendapat penajaan daripada mana-mana pihak.
"Siapa tahu, dengan perkhabaran berita tentang misi murni ini, akan ada pihak yang tampil untuk membantu," kata pelakon filem Mukhsin dan Talentime ini penuh harapan.
Mungkin ramai yang tidak tahu, sebelum ini pun Adibah pernah menganjurkan aktiviti amal iaitu Kembara Terlalu Istimewa selama setahun tetapi ia tidak diuar-uarkan sahaja.
Misi Adibah ketika itu adalah menjelajah ke seluruh negara selama setahun dua bulan bermula dari bulan Januari 2008 untuk membantu golongan orang kurang upaya dan anak-anak yatim terpilih.
Dalam perkembangan lain, Adibah mengkhabarkan berita gembira buat peminatnya apabila album keduanya bakal berada di pasaran tidak lama lagi.
Biarpun mengambil masa lima tahun untuk disiapkan selepas album pertamanya, Terlalu Istimewa, Adibah tidak kisah album keduanya itu lambat dipasarkan.
Apa yang penting buat Adibah ialah kualiti lagu yang dimuatkan dalam album tersebut demi kepuasan peminatnya yang menanti begitu lama buah tangan terbaru daripadanya.
Album itu memuatkan 13 buah lagu termasuk single pertama, Cahaya lagu nyanyian asal, Allahyarham Normadiah yang diberi nafas baru selain lagu tema filem Mukhsin, Hujan.
Single kedua dari album tersebut, Sejujur Hatimu kini sedang hangat diputarkan di corong radio menyaksikan gandingan mantap Adibah bersama komposer tersohor, Azlan Abu Hassan.
"Konsepnya tidak banyak beza dengan album terdahulu. Cuma kali ini muziknya ada sentuhan pop jazz sedikit," katanya yang teringin mahu merakamkan sebuah album pop jazz di masa akan datang.
Sementara itu, Adibah juga tidak menyangka namanya tersenarai sebagai tiga calon terbaik dalam kategori Pelakon Pembantu Terbaik dalam Anugerah Seni BOH Cameronian Kelapan yang akan berlangsung pada 18 April ini.
Dia menerima pencalonan itu berdasarkan lakonan mantapnya sebagai Farah dalam pementasan Cuci the Musical (CTM) di Panggung Sari, Istana Budaya, tahun lalu.
Dua calon lain termasuklah Ramli Hassan yang turut dicalonkan menerusi CTM dan Paulway Chew (Prince Siddhartha).
"Saya benar-benar terkejut dengan pencalonan itu dan rasa dihargai. Saya sifatkannya sebagai kemenangan untuk krew produksi teater berkenaan yang bertungkus-lumus menjayakannya," katanya ringkas.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: