Sunday, March 21, 2010

Maruah Alyah tidak boleh dijual beli


Alyah


KONSISTENSI laluan seninya dilihat agak sukar padahal memiliki vokal yang baik. Reputasinya pernah berombak dua kali apabila keluar daripada kumpulan One Nation Emcees ketika kumpulan itu baru hendak melangkah ke program Gangstarz dan The Fabulous Cats.

Sudahlah mengambil masa lebih 10 tahun untuk namanya mengerdip di langit muzik tanah air, saat kemanisan dan sinar yang semakin bersuluh, nama pelantun vokal Tak Mungkin Kerana Sayang itu semakin ditumbuhi bisul dan nanah.

Noor Hasliah Abu Hasan, 29, yang mesra disapa Alyah kini berdepan banyak tohmahan. Diberi jolokan artis kaki gaduh ekoran tiada persefahaman dengan rakan artis yang pernah berduet dengannya, Riz, muncul pula kisah Alyah bersengketa dengan seorang jurusolek artis. Semuanya gara-gara bayaran RM250.

Paling mutakhir, laporan polis dibuat oleh Alyah di Balai Polis Damansara, Kuala Lumpur Isnin lalu. Dia mendakwa difitnah oleh seorang jurusolek menerusi laman sosial Facebook kononnya Alyah memperdagangkan harga diri dan memiliki anak hasil hubungan sulit dengan seorang lelaki. Baca luahan Alyah berhubung soal itu.

SENSASI BINTANG: Didatangi banyak insiden yang tidak sedap didengar, bergaduh dengan rakan artis dan jurusolek, secara tidak langsung khalayak mudah melabelkan anda seorang artis yang bermasalah, bagaimana rasanya?

ALYAH: Dulu semasa tidak popular, orang mengata. Sekarang, bila nak popular sikit orang tetap mengata. Rasanya saya sudah terbius dan lali. Mulut orang tak boleh ditutup.

Sebenarnya Alyah seorang yang bagaimana, cerewet atau hanya boleh kerja dengan orang-orang tertentu sahaja?

Saya okey dan mudah didekati sesiapa sahaja. Mungkin keterbukaan dan kebaikan saya menyebabkan saya mudah dipergunakan. Bukan dia seorang sahaja jurusolek yang pernah bekerja dengan saya.

Orang tak tahu kebaikan saya tetapi bila saya baik, tak bermakna semua tentang saya harus dikawal. Mungkin apa yang saya suka tidak disenangi orang lain.

Apa sebenarnya masalah anda dengan jurusolek yang dimaksudkan itu?

Ia bermula dengan masalah yang sangat remeh-temeh. Saya membatalkan khidmatnya kerana dia tidak dapat dihubungi tetapi hal itu masih boleh dibincangkan secara baik dan bukan dengan cara fitnah dan menjatuhkan maruah.

Terbaru anda difitnah menggunakan jalan pintas, tidur dengan orang kenamaan dan menjual diri untuk menempa populariti. Sebesar mana impak buruk yang sampai kepada anda?

Saya sudah mula dikecam oleh peminat saya. Mereka menuduh yang bukan-bukan dan menyuarakan kekecewaan masing-masing menerusi laman sosial Facebook saya. Saya sangat sedih dan merasakan maruah saya sengaja direndah-rendahkan.

Bagaimana reaksi keluarga?

Ibu saya sudah tua dan sekarang tinggal di Johor Bahru. Dia turut menerima tempias yang sama bila orang kampung mula bercakap-cakap. Nasib baik selama saya menjadi artis, semua pergerakan saya diketahui oleh ibu yang sebelum ini menetap bersama saya di Kuala Lumpur. Ibu saya tahu kedudukan sebenar saya dan tolong jangan kaitkan soal karier dengan anak angkat saya, mereka masih kecil dan tidak tahu apa-apa.

Adakah tindakan membuat laporan polis dan surat saman itu satu tindakan paling rasional yang mampu anda lakukan kerana kes itu akan berlanjutan dan lambat berkesudahan?

Ini soal keselamatan. Bukan sahaja fitnah bahkan saya juga diugut akan difitnah dengan dakwaan yang lebih teruk.

Jika sesuatu berlaku kepada saya pada masa akan datang, saya sudah ada laporan polis. Soal surat saman pula, saya bukan mahu menyaman sesiapa. Itu amaran dan kata hitam putih daripada saya.

Saya boleh dan akan bayar dia tetapi dengan perjanjian hitam putih bahawa nama dan fitnah terhadap saya ditarik baik. Saya tahu setiap orang ada tanggungan yang harus disara, saya tak nak merumitkan keadaan.

Mempertahankan maruah yang tercalar itu tindakan yang wajar, namun tiada sekelumitkah masalah yang berlaku itu berpunca daripada kesilapan Alyah sendiri?

Saya akui kelalaian dan kesalahan pihak saya. Pembantu saya juga bersalah tetapi kami telah cuba untuk memohon maaf dan membayar ganti rugi kepada jurusolek berkenaan dengan cara baik.

Tapi perkara ini tidak akan terjadi sekiranya dia boleh bersabar sedikit bukannya dengan cara memfitnah dan menyebarkan cerita tidak benar di Internet atau di surat khabar.

Roda hidup artis dan jurusolek tidak sebesar mana, anda pasti bertembung suatu hari nanti. Adakah anda akan terus berdendam dan memusuhi jurusolek berkenaan?

Saya sudah minta maaf dan boleh memaafkan kesilapan orang tetapi untuk berbaik semula tidak mungkin sebab maruah tidak boleh dijual beli.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: