![]() |
| DIANA Danielle dan Mawi (kiri) sibuk melayani para peminat mereka pada majlis Malam Bersama Bintang di Finas, Hulu Klang, Selangor baru-baru ini. |
PROGRAM Malam Bersama Bintang anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang diadakan sebulan sekali sejak bulan lalu semakin mendapat sambutan daripada para peminat.
Senario itu dapat dilihat berdasarkan bilangan penonton yang semakin bertambah pada program yang diadakan pada malam Jumaat minggu kedua setiap bulan iaitu dengan dihadiri lebih 300 orang daripada segenap lapisan usia.
Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim berkata, aktiviti-aktiviti seperti tayangan filem, persembahan nyanyian dan sesi bertemu peminat merupakan tarikan utama dalam program yang diadakan percuma itu.
"Melalui program ini, para penonton bukan sahaja dapat menonton filem percuma tetapi selepas tayangan mereka juga berpeluang bertemu para pelakon untuk bergambar atau mendapatkan autograf mereka.
"Bulan ini kami menayangkan filem Jin Notti di mana selepas itu para penonton dapat berjumpa dengan pelakon utamanya iaitu Mawi," katanya kepada Hits selepas berakhirnya program itu di Finas, Hulu Klang, Selangor baru-baru ini.
Difahamkan sewaktu kali pertama dianjurkan bulan lalu, penonton yang hadir tidak sampai 200 orang, malah tidak ramai yang mengetahuinya kerana kurangnya publisiti terhadap program anjuran perbadanan tersebut.
Biarpun program itu bermula pada pukul 8 malam tetapi ramai peminat yang hadir lebih awal kerana di Dataran Karyawan Finas tempat berlangsungnya program itu terdapat kafe yang menjual pelbagai juadah.
Sebelum tayangan filem, para penonton terlebih dahulu dihiburkan dengan persembahan para penyanyi tempatan menerusi slot yang bertemakan lagu-lagu rock tahun 1980-an yang diacarakan oleh Rosnan Rahman.
Antara penyanyi era itu yang tampil mengadakan persembahan ialah Joey (Bumiputra Rockers), Ruhil, Nash (Lefthanded) dan Aris Ariwatan yang berjaya mengembalikan nostalgia lagu-lagu popular mereka kira-kira 20 tahun lalu.
Bukan setakat para hadirin, malah program Malam Bersama Bintang malam itu semakin hangat apabila Timbalan Ketua Pengarah Finas, Mohd. Zulkifli Ab. Wahab turun padang berduet dengan Nash dalam lagu Ku Di Halaman Rindu.
Menurut Mohd. Mahyidin, program Malam Bersama Bintang bukan setakat bertujuan merakyatkan dunia perfileman kepada masyarakat tetapi ia juga platform karyawan tempatan mempromosikan produk mereka.
"Program ini diadakan bukan sahaja percuma kepada orang ramai, tetapi para penerbit juga boleh menggunakannya sebagai platform bagi mempromosikan filem-filem mereka secara percuma kepada para pengunjung.
"Ini juga merupakan salah satu aktiviti atau inisiatif Finas dalam usaha kami bagi menyokong dan mempromosikan filem tempatan kepada masyarakat setempat dalam suasana yang lebih santai dan untuk seisi keluarga," ujarnya.
Pada malam itu, KRU Studios Sdn. Bhd. misalnya, mengambil peluang dengan mempromosikan filem terbaru terbitan mereka berjudul Magika dan Hikayat Merong Mahawangsa yang akan ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.
Malah, program yang turut menampilkan persembahan nyanyian Mawi dan Diana Danielle yang berduet lagu Senyumlah Lagi serta Penyembuh Rindu yang dipetik dari filem Magika menambahkan lagi kemeriahannya.
Tambah Mohd. Mahyidin lagi, bagi menambahkan bilangan penonton pada program itu, selepas ini Finas akan menambahkan lagi promosi menerusi Portal Cinema Malaysia dan Kelab Pencinta Filem serta menguar-uarkannya lebih awal.
"Disebabkan program ini diadakan sebulan sekali, ramai peminat yang terlepas menghadirinya kerana terlupa tarikh ia diadakan. Kami mungkin akan menguar-uarkannya menerusi sistem database SMS (khidmat pesanan ringkas).
"Iklan di media cetak juga akan dilakukan. Sambutan malam ini tetap memberangsangkan apabila 80 pelajar dari Universiti Utara Malaysia dan Universiti Putra Malaysia datang ke sini dengan dua bas," katanya lagi.
Dataran Karyawan Finas tempat berlangsungnya program Malam Bersama Bintang itu katanya, mampu menarik lebih ramai penonton pada masa depan iaitu sehingga 1,000 orang pada satu-satu masa kerana tarikan-tarikan yang disediakan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: