
BEBERAPA kali mengadakan pertemuan bermula di Putrajaya September lalu dan menemui penamat di Akademi Koreksional Malaysia, Langkawi, November 2009, Lembaga Penapisan Filem mengambil kata sepakat memperbaharui garis panduan diguna pakai sejak tahun 1993.
Melibatkan seramai 64 ahli agensi berpayung di bawah Kementerian Dalam Negeri, keputusan itu turut dibincang sebelum dipersetujui para penggiat seni termasuk individu-individu berpengaruh stesen televisyen dan penerbit senior mahupun baru hendak bertatih.
Setelah diamati semula, dasar Lembaga Penapisan Filem edisi baru tidak berubah 360 darjah daripada garis panduan asal. Bahkan, ia tidak sesekali mengganggu kreativiti karyawan tempatan membikin karya selepas ini waima dipertauliah beberapa perkara baru di depan.
Menurut Pengerusi Lembaga Penapisan Filem Malaysia, Datuk Mohd. Husain Shafie, biarpun pembaharuan kecil diketengahkan, tetapi ia tidak sesekali menjejaskan prinsip asas tapisan filem yang dibuat hampir dua dekad lalu.
"Empat perkara ini merangkumi keselamatan serta ketenteraman awam, kenegaraan, sosiobudaya dan ketertiban dan ketatasusilaan. Ia menjadi aspek penting yang tidak boleh ditukar ganti sampai bila-bila.
![]() |
| INI adalah mesin suntingan lama yang digunakan pihak Lembaga Penapisan Filem setiap kali mahu menapis filem yang dihantar kepada mereka. |
"Cuma ada beberapa skop kecil diperjelas lebih terperinci demi beri kefahaman kepada orang lain lebih-lebih lagi golongan penerbit dan pengarah. Ia bertujuan mengelak kekeliruan pernah wujud sebelum ini.
"Saya harap tiada lagi perasaan tidak puas hati atau kurang faham dasar Lembaga Penapisan Filem. Ia tidak dipinda seperti diuar-uarkan, sebaliknya kami realistik dengan perubahan berlaku dalam masyarakat khususnya aliran dan kemudahan mengakses filem lebih mudah berbanding dulu.
"Garis panduan ini ibarat sebuah rumah lama yang dicat semula. Ingin berlaku adil, kami turut mengajak orang lain memilih cat disukai demi memperindah semula kediaman ini," jelas beliau ketika ditemui di pejabatnya di Parcel D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Isnin lalu.
Berbicara lebih lanjut, beliau hanya menunggu waktu sesuai mengumumkan dasar berkenaan kepada para penerbit dan pengarah berhubung kelainan garis panduan Lembaga Penapisan Filem.
"Sepatutnya dasar terbaru ini dikeluarkan minggu lalu dan terus diguna pakai kepada pengamal seni, tetapi proses cetakan buku garis panduan ini masih dilaksanakan dan mengambil sedikit waktu.
"Insya-Allah kalau tiada sebarang aral, ia bakal menemui khalayak selewat-lewatnya Mac ini, Saya harap ia mampu jadi rujukan kepada orang ramai lebih-lebih lagi dunia sinema," jawab Husain yang mula berkhidmat di agensi itu sejak empat tahun lalu.
Enggan menjadi agensi yang sering dikatakan membuat kesilapan menjalankan kerja, beliau turut memperbetulkan persepsi konservatif Lembaga Penapisan Filem tidak boleh berkompromi dengan rumah-rumah penerbitan.
"Kami masih menjalankan fungsi sama seperti dulu. Tiada sebarang perubahan ketara daripada perspektif Lembaga Penapisan Filem. Suka diingatkan, kami tidak sewenang-wenang mencantas filem yang disiapkan oleh pengarah dan penerbit.
"Kalau boleh kami mahu beri kelulusan bersih tanpa potongan dan menyenarai klasifikasi umum (U) kepada semua pengeluar filem. Malangnya, ada setengah daripada mereka hasilkan filem sesuka hati meskipun sasaran penonton dituju kepada kanak-kanak.
"Lagipun bukan menjadi amalan Lembaga Penapisan Filem menyekat kreativiti anak-anak seni di Malaysia tanpa usul periksa. Malah, kami ada ukuran tertentu dalam membuat sebarang keputusan memotong babak-babak dalam filem.
![]() |
| MESIN suntingan DVD dan CD yang digunakan oleh Lembaga Penapisan Filem. |
"Pihak kami tidak pernah memotong babak mencapai tempoh 60 saat. Ini dikira banyak dan tidak masuk akal. Lembaga Penapisan Filem selalunya mengambil pendekatan memotong 10 saat hingga 20 saat mana-mana filem dirasakan bermasalah.
"Kami tahu masih ada sebilangan pihak mempersoal kredibiliti Lembaga Penapisan Filem yang dikata tidak telus menjalankan tugas. Setakat ini, kami ambil sikap berdiam diri kerana bukan mudah hendak menggembirakan hati orang ramai," jelas Husain yang tidak berniat mengongkong kebebasan insan-insan kreatif menunjukkan bakat mereka di layar perak mahupun skrin televisyen.
Kreativiti
Dengan kemunculan garis panduan itu, barangkali ada kelompok kecil penerbit dan pengarah mula tidak senang duduk. Masakan tidak, pasti mereka terfikir bakal berdepan pelbagai prosedur selain melalui banyak tapisan menayang karya sendiri di pawagam.
Husain bagaimanapun awal-awal lagi menyedari pembaharuan itu pasti menjentik emosi pembuat filem atau sutradara.
"Saya mohon kepada penggiat seni menerima garis panduan ini dengan hati terbuka. Janganlah cepat buat andaian buruk tentang benda ini. Kalau hendak tahu, ia masih dasar sama yang pernah mereka lalui sebelum ini.
"Cuma macam saya katakan, perubahan ini terletak dalam beberapa keadaan. Bertepatan dengan aliran zaman lantas ia wajar dirombak sedikit agar tidak ketinggalan," ungkapnya yang enggan pengeluar filem dan pengarah rasa tidak keruan dengan variasi dasar Lembaga Penapisan Filem itu.
Seperti dijelaskan, katanya lagi, pihaknya cukup mengalu-alukan kehadiran karya segar didatangkan pakej mesej kepada audiens. Tiada sekatan dikenakan untuk filem seram atau aksi. Kalau ada, ia pasti berada dalam kelas tersendiri - 18SG, 18SX, 18PA atau 18PL.
"Cuma karyawan seni tidak boleh terang-terangan tampilkan isu hendak dipapar. Ia boleh ditunjuk secara optimum apatah lagi penonton dewasa ini sudah bijak buat penilaian pada satu-satu adegan dipamerkan.

"Sebagai contoh babak wanita kena rogol patut ditayangkan secara sederhana tanpa ketengahkan keseluruhan waktu dia dirogol.
"Sama hal dengan filem menunjukkan adegan pembunuhan. Tidak manislah sampai kena tayang perut terburai gara-gara ditikam misalnya. Cukuplah peminat tahu simbolik pisau mampu mencederakan orang lain.
"Filem bertema homoseksual juga ditolak Lembaga Penapisan Filem terus kerana cara hidup ini haram di sisi ajaran Islam dan agama lain,," hujahnya sambil memberitahu kelangsungan Lembaga Penapisan Filem sebagai organisasi terpenting mempersembah himpunan karya berkualiti.
Relevan
Sebelum menutup bicara, Husain meyakini fungsi Lembaga Penapisan Filem masih relevan di negara ini walau dalam setiap cara sekalipun.
"Ia merupakan kawalan menyeluruh di dunia. Biarpun negara luar lain bebas menghasilkan karya pilihan sendiri, hakikatnya mereka masih dipantau badan tertentu ibarat Lembaga Penapisan Filem.
"Sekadar menyebut beberapa nama iaitu Indonesia, Singapura, Thailand, Australia dan New Zealand, negara-negara ini tetap menunaikan peranan menapis pelbagai filem yang ditayang kepada penduduknya.
"Kenyataan sesetengah pihak menganggap Lembaga Penapisan Filem tertinggal jauh di belakang tidak betul sama sekali. Kami hanya jalankan tanggungjawab sambil guna garis panduan sama 17 tahun lalu," jelas Husain yang mengepalai tugas menilai lebih kurang 30,000 karya termasuk filem, drama, cerita kartun dan kanak-kanak setiap tahun.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: