Sunday, March 7, 2010

Lisdawati 'Dirogol' Suami Sendiri?

Lisdawati bakal dirogol oleh suaminya sendiri, Fauzi Nawawi dalam sebuah babak filem terbaru mereka, Bravo 5.

KARISMA aktres Lisdawati memang tidak perlu disangkal lagi. Wajahnya yang membintangi pelbagai drama TV dan filem sudah memadai untuk membuktikan bakat seni aktres ini. Terbaru, isteri kepada aktor yang bakal bergelar pengarah filem, Fauzi Nawawi ini terus menyahut cabaran dengan membintangi sebuah filem peperangan, Bravo 5 pula.

Lisdawati yang ditemui di majlis pelancaran filem itu semalam, berkata, dia menerima tawaran filem itu bukan hanya kerana plot filem itu yang menarik. Malah, ibu kepada dua orang anak ini tidak dapat membayangkan sebuah babak signifikan yang melibatkannya dirogol oleh Fauzi Nawawi.

Mengulas mengenai babak Nadia (Lisdawati), isteri kepada Leftenan Hassan (Fizz Fairuz) dirogol oleh ketua komunis, Sidek (Fauzi Nawawi), Lisdawati berkata, babak tersebut merupakan babak penting yang menguji kekuatan emosinya sebagai pelakon.

Dalam babak itu, Nadia dirogol oleh Sidek kerana ingin membalas dendam terhadap Leftenan Hassan.

"Saya masih tak dapat bayangkan tentang babak itu. Saya juga tidak tahu hendak komen atau kata apa-apa pun. Semuanya masih terlalu awal, kena tunggu sehingga penggambaran bermula.

"Saya dan Fauzi tidak berbincang apa-apa pun mengenai babak itu. Sebagai pelakon, saya tidak pernah ada masalah untuk melakonkan apa juga babak termasuklah babak dirogol. Cuma yang menariknya, babak rogol itu melibatkan saya dan suami. Itu sahaja," katanya.

Jelasnya lagi, walaupun peranan sebagai Nadia bukanlah sebagai watak utama, namun kekuatan skrip dan plot filem itu membuatkannya teruja.

Lisdawati yang hanya terlibat dalam lima atau enam babak sahaja adalah watak pembantu yang memaparkan emosi dan pengorbanan isteri kepada pejuang yang menentang musuh negara.

"Watak saya bukanlah watak utama sebab filem ini mengangkat watak-watak komando sebagai hero.

"Saya hanya terlibat dalam lima atau enam babak sahaja. Tapi saya teruja untuk terima watak itu kerana ia memberi impak pada penceritaan filem ini. Itu yang lebih penting.

"Lagipun, genre filem ini yang mengisahkan perjuangan tentera kita menentang komunis adalah sebuah filem yang menarik dan jarang dihasilkan dalam industri.

"Sebagai pelakon, mungkin pembabitan kecil saya dalam filem ini dapat memberi manfaat dan iktibar buat penonton kelak," ujarnya lagi.

Pasangan suami isteri ini bakal bergandingan dalam satu filem buat kali pertama.

Apabila ditanya adakah peluangnya beraksi dalam Bravo 5 disebabkan oleh Fauzi yang bertindak sebagai pengarah filem itu, Lisdawati sekadar tergelak sebelum menjawab. Katanya, penglibatan dalam filem yang menelan belanja RM4.5 juta itu langsung tiada kaitan dengan suaminya.

"Bekerja dengan Fauzi dalam filem ini adalah secara kebetulan sahaja. Sekalipun filem ini diarahkan oleh pengarah lain, saya pasti terima kerana genre dan jalan ceritanya," jelasnya.

Bravo 5 yang merupakan sebuah projek usahasama Karya Prima Production dan Tentera Darat Malaysia ini berkisar kepada kisah perjuangan anggota komando dalam memerangi pengganas komunis di era 80an.

Selain Lisadawati dan Fauzi, filem yang bakal memulakan penggambarannya April ini turut dibintangi Fizz Fairuz, Zulhuzaimy, Adam Corrie, Hattan dan ramai lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: