
TUGASAN pada hari itu cukup padat. Sesi kerja yang bermula pada 12 tengah malam itu juga berlanjutan sehingga ke awal pagi sekitar pukul 7. Ketika ramai yang enak dibuai mimpi, Muhammad Gaddafi Musli, 25, sibuk melakukan kerja-kerja penyuntingan berita untuk keesokan hari di bilik berita TV1, Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Namun, lelaki itu sedikit pun tidak merungut bahkan menganggap itu sudah menjadi sebahagian daripada rutinnya.
Di celah-celah kesibukan menyunting berita, Gaddafi merasakan masa pada malam itu juga berlalu pantas. Sekitar pukul 10 pagi, beliau telah pun pulang ke rumah dan melelapkan mata. Namun tidak sampai dua jam Muhammad Gaddafi menerima panggilan dari pejabatnya.
“Gaddafi, saya hendak awak datang ke pejabat secepat mungkin. Standby kemangkatan Sultan Johor. Kemas barang-barang awak sekali. Mungkin bermalam di Johor Bahru.
![]() |
| MUHAMMAD GADDAFI tidak menafikan mengendalikan lintas langsung satu tugas yang mencabar. |
“Untuk jadual baca berita pukul 8 malam, saya akan arahkan krew penerbitan mencari pengganti lain,” demikian arahan yang diterimanya daripada Ketua Pemberita TV RTM, Fakhrur Razi.
Sungguhpun itu bukan pertama kali beliau membuat liputan mengenai kemangkatan sultan ataupun isu yang melibatkan istana, namun perasaan gusar tetap menyelubungi sanubari Gaddafi. Tanpa membuang masa, beliau bergegas ke pejabat untuk menguruskan pengangkutan dan tempahan krew berita.
Gaddafi merupakan wartawan penyiaran yang bertugas sebagai Penyampai Berita Nasional RTM. Beliau juga merupakan antara individu yang pernah membuat liputan siaran langsung melibatkan kemangkatan kerabat diraja.
Baru-baru ini, beliau ditugaskan membuat liputan Kemangkatan Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ismail, 78, pada Januari lalu. Istiadat pemakaman telah diadakan di Makam Diraja Mahmoodiah, Johor Bahru, Johor.
Jejaka berusia 25 tahun yang memulakan karier di RTM sejak Ogos 2007 itu memberitahu, tugas membuat liputan kemangkatan sultan dan isu berkaitan istana sememangnya mencabar buat wartawan penyiaran.
Sebabnya, liputan itu sarat dengan elemen protokol yang perlu dipatuhi secara penuh cermat dan teliti. Kebiasaannya, bukan semua wartawan diberi peluang untuk melakukannya kerana tugasan itu amat berat.
Disebabkan Gaddafi pernah membuat liputan Kemangkatan Yamtuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Jaafar dan istiadat pemasyhuran Yamtuan Besar Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, 61, sebelum ini, maka tanggungjawab itu diberi sekali lagi kepadanya tetapi di lokasi yang berbeza.
Cuma apa yang beliau sedikit risau pada waktu itu mengenai format liputan yang dikehendaki oleh majikannya. Sama ada membuat lintas langsung setiap jam ataupun menguruskan siaran langsung sepenuhnya.

Sebelum berita kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj diumumkan secara rasmi oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman melalui saluran media kepada seluruh rakyat Malaysia, Gaddafi dan barisan krew bilik berita sudah bersiap sedia bertolak ke Johor Bahru untuk siaran langsung pada keesokan pagi.
“Krew unit khas berita dan siaran langsung telah membuat tinjauan di lokasi sebaik tiba di sana. Mereka juga membuat persiapan awal seperti ujian siaran dan saluran.
“Lintas langsung berita bermula pada pukul 8 pagi dan siaran langsung pula berlangsung pada pukul 11 pagi dan berlanjutan sehingga lebih kurang 4 petang hari itu,” kata anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah yang berkelulusan Ijazah Sains Kemanusiaan Komunikasi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor itu kepada Kosmo!.
Beliau yang membuat lintas langsung untuk Berita TV1, setiap jam dari pukul 8 pagi hingga pukul 11 pagi itu turut membantu pengacara siaran langsung untuk mencari maklumat berkaitan kemangkatan sultan melalui Internet dan sumber yang lain.
Menurut anak sulung daripada enam orang adik-beradik itu, bagi melancarkan lintas langsung istiadat Pemakaman Sultan Johor, Muhammad Gaddafi Musli meminta bantuan daripada Pegawai Istiadat Istana untuk mengulas mengenai perjalanan istiadat itu. Dengan bantuan atur cara dan informasi perjalanan istiadat yang lengkap, beliau dan krew unit khas berita dapat memberi liputan yang terbaik.
Bercerita kepada audiens
Tambahnya, pihak istana amat menitikberatkan soal protokol terutama kod pakaian. Mereka yang menghadiri istiadat pemakaman diwajibkan memakai pakaian yang ditetapkan. “Apabila mengulas mengenai istiadat pemakaman nama dan gelaran terhormat harus disebut dengan tepat dan betul. Jika penyampai siaran langsung tersilap, mereka mengundang masalah dengan pihak istana,” katanya.
Sementara itu, Penerbit Primeworks Studios, Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3), Halim Din menyatakan bahawa seseorang penyampai perlu bijak menyampaikan maklumat semasa berdasarkan apa yang berlaku di sekeliling. “Kita seolah-olah seperti bercerita kepada audiens apa yang dilihat dan berlaku di lokasi tersebut secara terperinci.
“Kadangkala anda tidak dapat masuk ke kawasan berlangsungnya istiadat terbabit. Dengan berpandukan monitor anda perlu mengulas apa yang berlaku tanpa sebarang kesilapan.
“Jika berlaku kesilapan, betulkan secepat yang mungkin dengan memohon maaf supaya dapat menjaga reputasi diri dan majikan anda,” kata Halim yang julung-julung kali membuat liputan kemangkatan Sultan Johor itu. Pengalaman membuat lintas langsung di masjid beberapa kali banyak membantunya melakukan siaran langsung yang berbentuk keagamaan.
Selain mengulas upacara di makam diraja, penyampai siaran langsung perlu memahami istilah-istilah keagamaan yang diucapkan.
![]() |
| DUA wartawan penyiaran RTM Ivan Toh dan Khirjaa Palanisamy (kanan) antara bakat baru yang semakin menyerlah. |
Dalam pada itu, Ketua Produksi Primeworks Studios Media Prima Bhd., Zainal Arifin Ismail memberitahu, cabaran besar ketika membuat liputan kemangkatan sultan ialah kesuntukan masa.
Liputan siaran langsung memerlukan wartawan lebih-lebih penyampai mencari bahan-bahan dalam waktu yang singkat dan memastikan memastikan kesahihan sesuatu sumber.
Adakalanya kelengkapan untuk membuat liputan siaran langsung tidak mencukupi, sehubungan itu wartawan atau penyampai terbabit perlu bijak bagi melancarkan liputan tanpa sebarang gangguan.
Kata Zainal Arifin, penggunaan bahasa yang betul juga mempengaruhi liputan di istana.
“Walaupun seseorang wartawan tidak fasih bahasa istana dengan sumber rujukan yang ada mereka mampu melakukan tugas itu walaupun dalam keadaan yang terdesak.
![]() |
| KEMANGKATAN Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ismail Januari lalu mendapat liputan meluas media. |
“Selain bahasa, penggunaan intonasi bahasa juga perlu dilihat untuk memberi perasaan dan mood yang sedih kepada para audiens,” kata Zainal yang telah pun berjinak dalam dunia penyiaran sejak 22 tahun yang lalu. Sebelum ini, Zainal berjaya memukau perhatian para penonton melalui program kembara Jejak Rasul dan Misteri Nusantara yang disiarkan di TV3.
Beliau yang pernah membuat liputan Kemangkatan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra pada Disember 1990 berkata, dahulu proses mencari bahan-bahan rujukan juga sukar kerana tiada pengaksesan kemudahan informasi teknologi.
Hari ini dengan adanya Internet, maklumat boleh diperoleh dengan cepat.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: