![]() |
| PIERRE Cardin di pejabatnya di Paris, Perancis. |
PIERRE Cardin nama yang cukup gah dalam dunia fesyen antarabangsa hasil daripada kejayaan lelaki ini 'menjenamakan' nama sendiri. Pada usia mencecah 88 tahun kini beliau banyak bercakap tentang hasrat untuk menjual empayar fesyen multi-bilion dolarnya,
namun Cardin nampaknya mempunyai terlalu banyak perancangan untuk berfikir mengenai persaraan.
Sambil menunjuk arah kepada tiga akauntan keluar dari pejabatnya - terletak berhadapan dengan pejabat Presiden Perancis - Cardin yang tak mudah letih melompat dari kerusinya dan melambai-lambaikan kotak besi kecil berkilat.
"Ini kit jahitan ketika melancong," katanya yang kelihatan sedikit selekeh ketika temu bual mengenai buku terbaru menyentuh tentang kerjaya beliau di Paris, baru-baru ini.
"Saya rasa ia akan memberi banyak keuntungan. Lagi pun, semua orang perlu menjahit butang dari masa ke semasa."
Daripada sebuah pejabat sempit beliau akhirnya telah membina salah sebuah empayar fesyen terkemuka dunia
Ia juga merupakan sebuah konglomerat yang kekal (meskipun dalam zaman korporat seperti sekarang) di bawah milikkan tunggal dan diterajui beliau sendiri selama 60 tahun.
"Saya tidak mempunyai wang ketika memulakan perniagaan. Syarikat saya membangun dengan keuntungan yang diperolehi," tegasnya.
Sesekali beliau dikecam oleh pereka sezamannya kerana mengeksploitasi nama sendiri dan didakwa merendahkan martabat adi busana.
Anak kepada pasangan imigran Itali itu yang tahun ini meraikan ulang tahun firmanya ke-60, mendakwa memiliki lesen bagi lebih 1,000 produk menggunakan namanya.
"Saya sudah keliling seluruh dunia kecuali mungkin Korea Selatan dan saya boleh pergi ke sana juga jika saya mahu," katanya dengan nada bangga.
Pada tahun lalu harta peribadinya dianggarkan mencecah 310 juta euro (RM 605 juta) dan Cardin menduduki tangga ke-97 sebagai orang terkaya di Perancis oleh majalah ekonomi Challenges.
Kekayaan Cardin meliputi pemilikan panggung teater di Paris, restoran Maxim, pengeluaran produk makanan dan minuman selain memiliki lapangan padang golf baru dan sudah tentu empayar fesyen dan aksesorinya.
Sebagai jurugaya bervisi hebat sekitar 1960-an, strategi komersial Cardin juga merupakan pemimpin revolusi.
Beliau adalah salah seorang pereka fesyen terawal untuk golongan mewah selain melancarkan koleksi sedia dipakai, juga pertama memasuki bidang fesyen lelaki - dan yang pertama menjual jenama di bawah namanya.
"Pakaian adalah penting, setiap orang perlu berpakaian. Seperti pokok, orang menukar pakaian setiap kali berubah musim," katanya.
Cardin juga merupakan pereka pertama menembusi pasaran China, India dan Jepun iaitu sekitar 30, 50 dan 45 tahun dulu.
"Jangkaan saya semua betul. Saya jarang mengeluarkan iklan sebaliknya ciptaan saya yang melakukan semua itu," katanya.
Cardin mengendalikan keseluruhan empayar dengan 450 kakitangan di Paris dan lebih 200,000 di seluruh dunia secara solo.
"Untuk mengetahui sama ada seseorang pereka itu meninggalkan kesan pada fesyennya anda perlu menutup mata dan fikir apa yang mereka wakili," katanya.
Sebagai contoh Chanel meninggalkan sut, Paco Rabanne pula berkaitan metal. Begitu juga yang lain seperti Elsa Schiaparelli, Madeleine Vionnet dan Pierre Cardin.
Bagaimana pula rekaan rekaan terbaru Dior di bawah John Galliano?
"Semuanya saya anggap seperti kostum. Seluruh senario fesyen sekarang ini tidak lebih seperti kostum.
"Fesyen sepatutnya sesuatu yang boleh dipakai. Wanita sepatut dapat menjalani kehidupan normal dalam pakaian yang mereka sukai.
"Fesyen dan rekaan adalah berbeza. Fesyen adalah tentang apa yang anda boleh pakai. Rekaan boleh jadi sesuatu yang tidak menarik dan tidak popular tetapi ia masih kreatif. Jadi pada rekaan terletaknya nilai sebenar," tegasnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: