Tuesday, March 9, 2010

Konsert Kau Di Hatiku idea gila


ANTARA barisan artis yang bakal terlibat dalam konsert Kau Di Hatiku.


PADA mulanya, ia sekadar borak kosong tiga anak seni popular, Adibah Noor, Misha Omar dan Amy Mastura sambil menjamu selera di sebuah kedai makan di Sungai Penchala, Kuala Lumpur hujung tahun 2009.

Biarpun malam semakin larut, agenda perbualan mengenai industri hiburan rancak keluar daripada bibir masing-masing. Kalau namanya Adibah, Misha dan Amy bersatu maka pelbagai isu dibangkitkan sementelah mereka berpengalaman sebagai pemain gelanggang sama.

Ironinya, entah bagaimana cadangan mengadakan konsert amal diluah tanpa mampu dibendung sekali gus berpendapat ia usaha terbaik mengutip derma selain menonton ketiga-tiganya menghiburkan audiens di bawah satu bumbung sama.

"Semua ini bermula daripada idea tiga orang 'gila' iaitu saya, Misha dan Amy. Cuma kami tidak mahu buat konsert amal untuk orang-orang tua, ibu-ibu tunggal atau anak-anak yatim kerana ia terbiasa dilakukan sebelum ini.

"Kemudian, kami berfikir untuk menjayakan sebuah konsert bertujuan bantu rakan-rakan seperjuangan dalam lapangan seni yang terlantar sakit atau mengalami kemalangan sekali gus hilang mata pencarian menyara keluarga.

"Penerima-penerima dana ini sudah dikenal pasti. Kalau ikut perancangan, kami ingin beri kepada tiga orang artis yang ditimpa kesusahan. Namun jika konsert ini berjalan lancar dan meraih derma lebih banyak daripada dijangkakan, saya ingin beri kepada individu lain selain tiga nama dinyatakan," kata Adibah ketika ditemui pada sidang media konsert itu di Hotel Berjaya Times Square, ibu negara baru-baru ini.

Selain Adibah yang mengepalai konsert, bergelar penyanyi dan hos pada malam itu, antara artis yang bakal menjayakan konsert Kau Di Hatiku ialah Zainal Abidin, Amy Mastura, Aizat dan Atilia.

Memberi sokongan kepada acara kebajikan itu, beberapa artis popular tanah air seperti Nizam, Dead Mushroom, Betty Benafe, Sabhi Saddi dan Bob turut sudi meluangkan masa menjayakan konsert tersebut.

Bagi penghibur terkenal yang juga pencinta alam sekitar dan haiwan, Zainal Abidin, dia tidak kisah menghulurkan tenaga dan bantuan menjayakan konsert Kau Di Hatiku selama dua hari berturut-turut.

"Saya bangga dengan penglibatan artis baik senior mahupun generasi baru menyertai acara kebajikan ini. Yang muda bakal jadi tua manakala golongan tua terus menempuh kehidupan tua.

"Oleh itu penting untuk saya sebagai penggiat seni membantu sesama sendiri. Seboleh-bolehnya saya cuba membantu. Saya harap beberapa nama besar seperti Datuk Sheila Majid, Amy Search, Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Sharifah Aini dapat hadir beri sokongan kepada acara ini.

"Pintu sentiasa terbuka kepada mana-mana artis ingin terlibat walaupun pada saat akhir," ujarnya.

Anak penyanyi veteran, Salamiah Hassan iaitu Atilia pula tanpa teragak-agak terus menyatakan persetujuan melibatkan diri pada konsert berkenaan.


AIZAT mewakili generasi artis muda yang tidak lokek menyumbangkan suaranya dalam konsert Kau Di Hatiku untuk mengumpul dana.


"Kalau buat lima hari sekalipun, saya tidak kisah lebih-lebih lagi berkesempatan menyanyi dengan artis pujaan, Zainal Abidin dan Adibah. Saya teruja hendak buat persembahan dan bakal mengundang ibu nyanyi sama pada acara ini," ungkapnya yang memohon sokongan daripada penaja dan peminat.

Bagi anak muda seperti Aizat, dia begitu berbangga menjayakan konsert Kau Di Hatiku. Malah dia bersedia bila-bila masa menyumbang suara demi menghimpunkan dana menolong karyawan seni ditimpa bencana.

Persembahan pertama konsert amal itu diadakan pada 9 April 2010 bermula pukul 8 malam dengan harga tiket sebanyak RM50. Malam gala konsert itu pula bakal berlangsung pada keesokan harinya pada waktu sama di aras 14, Manhattan Grand Ballroom, Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Meja dijual dengan harga RM2,000 untuk lapan orang dan nilai tempahan meja mencecah RM15,000 turut disediakan kepada mana-mana pihak yang ingin menderma dengan lebih banyak.

Malam gala itu juga diserikan dengan pertunjukan fesyen oleh pereka fesyen popular, Calvin Thoo. Beberapa barang peribadi milik artis terkenal akan dilelong bagi menambah lagi jumlah kutipan derma.

Untuk membeli tiket pada 9 atau 10 April ini, orang ramai boleh menghubungi Adibah Noor Entertainment di talian 03-42956888 atau e-mel kepada adibah_noor@yahoo.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: