Wednesday, March 17, 2010

Kolaborasi fesyen dan F1


Nancy Yeoh (depan, lima dari kiri) bersama para penaja ketika sidang akhbar Festival Fesyen Stylo Kuala Lumpur 2010 baru-baru ini.


KALENDAR perlumbaan Formula Satu (F1) baru sahaja bermula dan kehangatannya bukan sahaja berkisarkan kepada kehebatan kelajuan kereta-kereta yang bersaing malah mencetuskan satu transisi baru dalam dunia fesyen tanah air.

Bagaimanapun ia bukanlah satu perkara baru kerana untuk tahun ini, ia merupakan tahun ketiga sejak termeterainya Festival Fesyen Stylo yang diadakan bersempena penganjuran edisi ke-12 F1 di Malaysia.

Dengan bertemakan Fashion to Art, Art to Fashion:The 7 Deadly Sins, Festival Fesyen Stylo Kuala Lumpur 2010 dibawakan oleh jenama kereta mewah Mercedes-Benz dan Visa - kad rasmi untuk acara tersebut.

President dan Ketua Pegawai Eksekutif Stylo, Datuk Nancy Yeoh berkata, sempena festival fesyen tersebut beberapa pertunjukan akan diadakan di beberapa lokasi di bandar-bandar besar yang melibatkan lebih daripada 70 pereka fesyen dan 100 orang seniman.

"Melalui festival ini kami juga cuba membangkitkan isu-isu seperti pemanasan global dan kemusnahan alam semula jadi yang berpunca daripada kecuaian manusia.

"Kami rasa festival ini merupakan gelanggang terbaik untuk menyampaikan mesej tersebut lebih-lebih lagi dengan pilihan tema 'Fesyen untuk Seni, Seni untuk Fesyen," katanya pada sidang akbar Festival Fesyen Stylo Kuala Lumpur 2010 baru-baru ini.

Justeru beliau menambah, dalam usaha menghidupkan lagi tema fesyen dan seni itu lebih 100 orang seniman yang diketuai oleh Philip Wong dan Balai Seni Lukis Negara akan membina 28 seni arca gergasi.

Arca-arca tersebut akan dibina menggunakan bahan-bahan terbuang dan dipamerkan di tempat-tempat tumpuan pelancong di sekitar Kuala Lumpur.

Selain Pavilion Kuala Lumpur yang dipilih menjadi tempat rasmi untuk Festival Fesyen Stylo, penganjur turut memilih Balai Seni Lukis Negara dan Asian Heritage Row sebagai lokasi festival.

Festival yang memberi peluang kepada pereka mencurahkan idea dan kreativiti menerusi sentuhan dan modifikasi rekaan fesyen masing-masing masih lagi mengekalkan pereka-pereka lama dari Malaysia di samping memperkenalkan pereka-pereka baru dan muda.

Sementara itu, pertandingan Mercedes-Benz STYLO Emerging Designer of the Year 2010 yang terbuka kepada semua pelajar tahun akhir daripada sekolah fesyen utama di Malaysia akan mengadakan pertandingan akhirnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: