SEPAK TAKRAW dan dadah seakan-akan sudah sinonim dan sejak puluhan tahun lalu, ramai pemain dikaitkan dengan penyalahgunaan bahan terlarang itu dan kegiatan berkenaan seolah-olah dipandang sepi Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).
BEBAS DADAH...pertarungan antara skuad negara dan Vietnam di Sukan Sea lalu.
Kini, selepas era penggunaan ganja semakin dilupakan kerana terdapat dadah moden yang lebih sofistikated, Istaf pula tampil dengan hasrat mahu mempertahankan sukan berkenaan, sekali gus tidak lagi mahu ada pemainnya yang terbabit dengan masalah dadah.
Buat pertama kalinya sejak berpuluh-puluh tahun lalu, badan induk antarabangsa itu mempamer aksi lebih serius di dalam usaha menangani penyalahgunaan dadah di kalangan pemain dan mulai semalam, Istaf mengisytiharkan perang terhadap dadah.
“Mulai hari ini (semalam) Istaf akan menjalankan ujian doping pada setiap kejohanan utama, Sukan Asia serta Sukan Sea. Sebelum ini, saya akui masalah dadah seakan tidak dapat dibendung oleh Istaf tetapi kali ini, keadaannya akan berubah,” kata Setiausaha Agung Istaf, Abdul Halim Kader.
“Kita akan menjalankan ujian doping sebelum dan ketika kejohanan berlangsung. Kami belum pernah melakukan ujian doping secara rasmi dan ia tidak akan lagi berlaku. Ini bukanlah satu kenyataan yang hangat- hangat tahi ayam tetapi kami akan memastikan ujian doping dilakukan pada setiap kejohanan.” Beliau mendedahkan, ada pegawai serta pengurus pasukan sepak takraw dari negara tertentu yang kelihatan resah dan tidak senang duduk ketika Istaf cuba melakukan ujian doping secara rambang di Sukan Sea Laos, hujung tahun lalu.
Walaupun ujian itu tidak didedahkan hasilnya serta tidak akan memberi sebarang kesan terhadap penyertaan negara berkenaan, tetapi kelakuan beberapa pegawai serta pengurus skuad sepak takraw berkenaan menunjukkan bahawa ada pemain mereka yang terbabit dengan masalah itu.
“Ini bukanlah cerita rekaan. Saya adalah Penasihat Teknikal ketika Sukan Sea dan ketika ujian doping secara rambang mahu dilakukan, ada pegawai yang kelihatan cukup takut. Mereka bimbang andainya pemain mereka diuji.
“Itu adalah bukti bahawa memang ada pemain yang menggunakan dadah ketika beraksi. Saya sudah melihat sendiri perkara itu dan ia juga berlaku bukan saja di Laos tetapi juga di beberapa temasya lain sebelum ini,” katanya.
Bagi membuktikan kata- katanya, Abdul Halim akan mengetuai sendiri ujian doping ke atas semua pemain ketika Kejohanan Antarabangsa Korea Selatan yang dijadualkan di Hoengseong.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: