"SAYA bimbang putus rezeki kerana anak-anak di bawah tanggungan saya. Saya membesarkan mereka menggunakan wang hasil lakonan, jadi saya amat takut jika tidak menerima tawaran berlakon," luah Abby Abadi pada pertemuan kami di Balai Berita.
Datang sendirian dengan wajah polos tanpa diiringi pengurus mahupun pembantu peribadi, wanita yang memegang status ibu tunggal sejak setahun yang lalu ini kelihatan semakin kuat mengharungi hidup sendirian tanpa kehadiran seorang lelaki bernama suami.
Hidup bersendirian tidak begitu dibimbangi wanita berusia 32 tahun ini, namun paling ditakuti sekiranya produser tempatan tidak mahu mengambilnya berlakon kerana semuanya kini terletak di bahunya seorang. Rumah, bil, kereta, perbelanjaan dapur dan anak semuanya kini ditanggung sendiri. Jika tidak berlakon, alamat dapurnya tidak berasap.
“Beberapa kali juga nama saya digugurkan kerana tidak mendapat kelulusan stesen televisyen. Saya pelik, apa salah saya hingga mereka seperti tidak suka dengan saya. Namun saya bersyukur, rezeki masih murah. Saya masih lagi mampu tanggung anak-anak.
“Kehidupan saya masih lagi macam dulu, ketika masih bersuami dulu pun kebanyakan benda saya lakukan sendiri. Saya tidak merasakan sebarang perubahan walaupun kini bersendirian. Perjalanan harian saya masih seperti sebelum rumah tangga saya runtuh.
| ANAK pendorong semangat untuk terus bekerja. |
“Cuma saya kasihan melihat anak-anak. Mereka anak-anak yang baik, malah ketiga-tiganya seakan faham keadaan yang berlaku antara saya dengan bapa mereka. Bagaimanapun suasana di rumah tentunya berbeza ketika mereka masih mempunyai bapa dengan sekarang,” katanya yang tidak bimbang memegang status ibu tunggal.
Status ibu tunggal tidak dinafikan satu gelaran berat untuk digalas, tetapi Abby berpendapat masyarakat sekarang tidak lagi ortodoks. Bagaimanapun sesekali ada juga cemuhan yang keluar dari mulut orang yang seolah-olah sengaja mencari kesalahannya.
“Walaupun cemuhan yang dilemparkan tidak sehebat mana, namun ada ketikanya hati saya tersentuh juga. Ada yang menuduh saya mahu berlagak muda sejak menjadi ibu tunggal. Salahkah saya berseluar jeans dan melaram sekali sekala? Saya bergaya biasa tetapi ada yang menuduh saya tidak sedar diri dan mahu menjadi seperti remaja,” kata Abby meluah rasa.
Bukan hanya kisah dia mahu berlagak muda, Abby juga tersinggung apabila ada yang menuduhnya suka menjaja kisah rumah tangga walhal isu bekas suaminya Norman Hakim yang ditangkap basah bersama pelakon baru Memey Suhaiza sudah lebih setahun berlalu.
Balas wanita ini cuba membela diri, dia tidak akan membuka mulut sekiranya tiada yang bertanya. Abby tertanya, salahkah dia menjawab soalan yang diajukan dan kenapa hanya dia seorang dianggap jahat?
“Saya hanya bercakap apabila ditanya, saya pun bukannya suka-suka hendak bercerita mengenai mereka. Saya hanya bercerita benda yang orang lain sudah tahu, cerita yang kebanyakan orang sudah tahu. Tapi akhirnya saya juga yang dituduh jahat, mereka anggap saya yang suka menjaja cerita.
“Padahal saya tidak pernah sekali cuba memburukkan mereka. Saya juga bukannya jenis yang suka menyerang. Itu bukan sikap saya. Walaupun saya dan dia sudah tidak lagi bergelar suami isteri, kami masih berjumpa. Contohnya, ketika pendaftaran sekolah baru-baru ini, saya minta bekas suami hantar anak sulung kami ke sekolah kerana saya mahu dia beri perhatian kepada anak kami. Saya tidak mahu dia lupa tanggungjawab pada anak,” kata Abby.
Ditanya soal hatinya pula, wanita ini tidak berselindung dia kini selesa berkawan dengan jejaka bernama Zulkifli Ariffin atau dikenali sebagai Zul. Hubungan itu katanya lebih sesuai disifatkan sebagai ‘teman tapi mesra’. Sehingga kini mereka masih belum pernah berbincang mengenai perancangan ke frasa yang lain.
Kata Abby, dia masih lagi trauma dengan kejadian yang pernah menimpa rumah tangganya. Malah, kata Abby, jika ada mana-mana jejaka yang mahu menyunting dirinya, mereka juga perlu menerima dan melayan tiga permata hatinya iaitu Mohamed Danish Hakim, 7, Marissa Dania Hakim, 5, dan Maria Danisha Hakim, 2, dengan baik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: