
BANGKOK - Kumpulan penunjuk perasaan Baju Merah yang menyokong bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra menyimbah berbotol-botol darah di luar kediaman Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva semalam setelah kerajaan enggan mengadakan pilihan raya baru.
Mereka turut berjanji akan mengadakan satu perarakan besar-besaran di Bangkok pada Sabtu ini dengan membawa masuk sukarelawan baru bagi menggantikan ribuan penunjuk perasaan yang keletihan selepas beberapa hari berpanas di jalan raya.
"Kerajaan mungkin percaya bantahan ini hampir tamat namun ia belum lagi berakhir," kata seorang ketua penunjuk perasaan, Nattawut Saikua.
Sambil membunyikan hon, menyanyikan lagu rakyat dan mengibarkan bendera merah, kumpulan penunjuk perasaan itu berhimpun di luar rumah Abhisit di sini dan menyimbah darah pada pintu pagar semasa hujan turun.
"Kami telah membasuh rumah Abhisit dengan darah rakyat bagi meluahkan tuntutan kami," kata Nattawut diikuti tepukan daripada penyokongnya.
Semasa kejadian, perdana menteri itu tiada di kediamannya.
Sejak Jumaat lepas, Abhisit berlindung di sebuah ibu pejabat tentera di sini.
Setelah menyimbah darah di rumah Abhisit, beribu-ribu penunjuk perasaan Baju Merah kemudian mengadakan perhimpunan singkat di luar Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini.
Mereka menuntut penjelasan berhubung komen Timbalan Perdana Menteri Thailand, Suthep Thaugsuban yang mendakwa menerima maklumat perisikan bahawa terdapat pihak yang merancang untuk melakukan sabotaj semasa perhimpunan tersebut.
Media tempatan sebelum ini menyatakan beliau merujuk kepada perisikan AS yang memperoleh maklumat itu daripada intipan perbualan telefon melibatkan Thaksin.
Thaksin yang menjadi perdana menteri sebanyak dua kali sebelum digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006 kini tinggal di dalam buangan di luar negara bagi mengelak dipenjarakan dua tahun kerana kesalahan rasuah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: