Tuesday, March 9, 2010

Kampung yang menyeramkan?

FILEM ini adalah filem arahan Ahmad Idham yang ke-14 sejak menghasilkan filemnya yang pertama Mr. Cinderella (2002). Ini meletakkan Ahmad Idham sebagai pengarah kita yang paling produktif.

Ahmad Idham bukan sahaja menghasilkan filem genre seram tetapi turut menghasilkan genre melodrama romantis, filem kanak-kanak, berorientasikan aksi, komedi dan filem seram. Dan yang paling menarik boleh dikatakan semua filem-filem arahan Ahmad Idham berjaya di pasaran, hinggakan filem seramnya Jangan Pandang Belakang berjaya mencetuskan fenomena apabila diangkat sebagai filem yang berjaya memberi kutipan tertinggi (hampir RM10 juta) dalam sejarah filem tempatan untuk tahun 2007.

Dalam masa empat tahun (dari 2006 ke 2010) Ahmad Idham telah mengarahkan 14 buah filem (termasuk yang terbaru Semerah Cinta Stilleto), harus diakui Ahmad Idham mempunyai tenaga dan stamina yang luar biasa untuk mengarah lepas satu filem ke satu filem lain secara konsisten.

Ahmad Idham kembali lagi dengan genre seram. Kali ini mengangkat siri televisyen Puaka Niyang Rapik ke filem. Kejayaan drama seram yang diminati dan filem genre seram yang masih kekal antara genre yang masih kukuh penerimaan di kalangan khalayak filem sudah pasti menjadi gabungan faktor yang menguatkan siri tersebut untuk diadaptasi menjadi sebuah filem. Ahmad Idham bergabung dengan Siti Jasmina Ibrahim untuk menghasilkan lakonlayar filem ini. Siti Jasmina adalah antara penulis muda yang cukup menyerlah sekarang ini.

Skrip drama pentasnya Hikayat Qaziq bukan sahaja memenangi Peraduan Menulis Drama sempena 50 tahun DBP pada 2006, tetapi skrip yang sama juga telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia Ke-18 baru-baru ini.

Bagaimanapun memindahkan sebuah siri drama yang telah berjaya di televisyen ke layar perak bukanlah tugas yang mudah sebenarnya. Kejayaan siri tersebut menyebabkan khalayak penonton mengharapkan sesuatu yang lebih besar atau yang lebih hebat daripada siri TV tersebut. Cabaran besar ini tidak sahaja terletak kepada Siti Jasmina sebagai penulis tetapi juga kepada Ahmad Idham sebagai pengarah. Mampukah Ahmad Idham menyuntik sesuatu yang baru, lebih segar dan lari daripada imej-imej filemnya yang terdahulu? Malah yang penting filem ini harus mampu berdiri sendiri sebagai sebuah filem dengan nilai sinematiknya, bukan drama televisyen yang dibesarkan dan ditayangkan di pawagam. Atau dia sekadar mengambil mudah dan mengulang apa yang pernah dilakukan dalam filem-filemnya yang terdahulu.

Niyang Rapik adalah nama yang agak unik bagi sebuah kampung yang menjadi latar kepada peristiwa seram dalam filem ini. Kerana jauh di pedalaman, maka kampung ini tiada kemudahan komunikasi moden (seperti telefon bimbit) malah untuk ke situ harus menaiki bas, merentas tasik yang luas.

Disebabkan Niyang Rapik yang menjadi judul filem ini adalah juga nama sebuah kampung, maka sudah tentu ada sesuatu yang unik yang menjadi karakter khusus pada lanskap kampung ini yang harus menjadi asas naratif dalam filem ini. Tasik yang luas dan sunyi, gua dan lanskap kampung harus mampu menghantar mood, ruang emosi dan pengalaman spiritual.

Nilai-nilai dan karakter lanskap itu harus mampu menghubungkan ketegangan dan konflik dalam hubungan naratifnya. Perhatikan bagaimana M. Night Shyamalan membentuk mood dan karakter kota kecil di Pennsylvania yang menjadi latar filem The Sixth Sense (1999), begitu juga apabila David Lynch memperkenalkan karektor pekan kecil Lumberton dalam filem Blue Velvet (1986).

Hadir tanpa alasan

Namun sayang, Ahmad Idham gagal mengangkat nilai-nilai tersebut dan membina karektor kampung Niyang Rapik dengan mood yang sebaiknya. Tidak ada satu syot luas atau jauh yang memperkenalkan kampung Niyang Rapik yang terletak di pinggir tasik dengan karakternya yang penuh misteri.

Di awal adegan apabila empat sahabat Saiful (Zed Zaidi), Zizan (Saheizy Sam), Helmi (Kamal Adli) dan Awal Ashaari mendatangi semula Kampung Niyang Rapik dan menemui Laila (Liyana Jasmay) anak seorang dukun Tok Bah (Nasir Bilan Khan) seharusnya mood dan lanskap kampung itu menjadi karakter penting yang dari awal perlu dibina.

Tanpa karakter unik kampung tersebut, filem Niyang Rapik sekadar sebuah filem seram biasa seperti filem-filem seram arahan Ahmad Idham lainnya. Kisah kecurangan, kematian dan dendam adalah liku-liku cerita yang telah menjadi latar kepada begitu banyak filem-filem seram tempatan. Watak pedendam Tok Bah, pekedai misteri (Den Wahab), Salleh (Shahronnizam) adik Tok Bah yang tidak setuju dengan abangnya dan Laila si gadis kampung yang naif adalah watak-watak menarik yang harus diberikan pendekatan dan kedalaman perwatakan untuk menguatkan naratif filem ini.

Mereka bukanlah watak yang hanya diadakan untuk mewajarkan penciptaan adegan-adegan yang menakutkan. Begitu juga dengan kemunculan kedai makan misteri dan kemunculan imej-imej yang menakutkan, hadir tanpa alasan yang wajar.

Menghasilkan perasaan seram memang tidak mudah, apatah lagi khalayak penonton hari ini telah menonton begitu banyak filem seram.

Bagaimanakah pembikin filem mampu mencipta suspens dan elemen yang menakutkan secara halus daripada bentuk seram yang tipikal? Ahmad Idham memilih untuk kembali mengemukakan bentuk seram dengan imej buruk dan menakutkan secara yang konvensional dan stereotaip.

Imej buruk dan bayangan yang menakutkan muncul pada adegan dan tempat-tempat tertentu untuk kejutan tetapi bukankah Ahmad Idham telah melakukannya dalam filem-filem seramnya yang terdahulu? Memang kemunculan pertama imej yang buruk itu mampu menakutkan tetapi apabila diulang-ulang ia hilang kekuatan sebaliknya menjadi adegan yang melucukan.

Jadi kemanakah haluan filem seram kita akan datang? Khabarnya ada beberapabuah lagi filem seram sedang menanti giliran untuk tayangan. Apakah yang boleh kita harapkan? Atau satu kitaran semula?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: