Monday, March 22, 2010

Jessica kenal diri

DEMI rancangan siri televisyen realiti kelolaannya, The Price Of Beauty, aktres Jessica Simpson sanggup melakukan apa sahaja.

JESSICA gembira dilayan puak bergelang emas dileher.
JESSICA gembira dilayan puak bergelang emas dileher.

Jessica dan rakanya, Ken Paves dan CaCee Cobb memuntahkan cacing  goreng yang dimakan. Jessica dan Paves mendapat khidmat urut tradisional Thailand.


Jessica dan rakanya, Ken Paves dan CaCee Cobb memuntahkan cacing goreng yang dimakan.
Namun, makan cacing goreng tidak termasuk dalam senarai sesuatu yang mampu dilakukan aktres seksi ini apabila beliau termuntah sebaik sahaja mengunyah daging garing itu di Thailand.


Beliau mencubanya di pasar makanan Bangkok apabila dimaklumkan ia mampu membakar kalori berlebihan dalam tubuh. Apapun, Jessica kelihatan begitu gembira mengembara bersama dengan rakan rapat, pendandan rambut, Ken Paves dan CaCee Cobb untuk merakamkan episod pertama siri realiti VH1 itu.


Siri yang menceritakan kegilaan wanita untuk kelihatan cantik turut menemukan Jessica dengan seorang wanita Thailand yang mencacatkan dirinya sendiri kerana terlalu taksub untuk memutihkan kulitnya.


Jessica, 29, turut melawat satu puak Thailand yang memakai gelang emas demi memanjangkan leher mereka, merasai urutan tradisional Thailand dan tidak dapat menahan ketawa ketika melakukan meditasi bersama sami Buddha.


"Hidup saya amat memuaskan tapi hakikatnya saya hidup umpama seekor ikan dalam bekas kaca. Kini baru saya sedar tekanan yang dialami wanita dunia untuk kelihatan cantik.


"Akibat terlalu peka terhadap apa yang orang lain katakan, kita ada kalanya melakukan sesuatu secara keterlaluan. Hakikatnya, masyarakat memberi tekanan kepada wanita untuk sentiasa kelihatan cantik dan sebab itulah muncul pelbagai diet dan barangan kecantikan baru yang didakwa amat baik. "Namun, persoalannya apakah itu sebenarnya yang dikatakan cantik?" soalnya.


Ketiga-tiganya yang dibawa ke pasar menjual cacing, lipas dan cengkerik goreng cuba merasa makanan didakwa mampu meningkatkan metabolisme. Jessica yang pertama memakannya tapi sebaik sahaja ia masuk ke dalam mulutnya, beliau serta-merta memuntahkannya.


"Saya dapat rasakan lendir di bahagian tengah dan juga kakinya," katanya.


Selepas mendengar berita wanita Thailand cuba memutihkan tubuh mereka, Jessica bertemu bekas penyanyi Panya Bunjan dan beliau kelihatan begitu sedih mendengar ceritanya.


"Anda perlu menjalani hidup untuk kepuasan sendiri. Segalanya akan kembali seperti sediakala selepas ini," kata Jessica lalu memeluk Panya.


"Saya berasa amat sedih mendengar kisahnya. Saya berasa bersalah kerana terlalu gilakan sesuatu yang dianggap boleh mencantikkan saya. Saya juga marah kerana tahu Panya pastinya marah setiap kali melihat cermin kerana percayakan krim yang didakwa mampu mencantikkannya." Ketiga-tiganya mula menjelajah pada tahun lalu. Pada masa itu, Jessica dikecam kerana berat badannya yang kelihatan gemuk. Namun, jelajah untuk mengenal wanita dan juga imej tubuh menyebabkan beliau sedar apa sebenarnya makna kecantikan dalam dirinya.


"Saya pasti konsep rancangan ini amat menarik dan bakal memberi pengajaran berguna untuk wanita semua peringkat usia. Penonton pasti akan belajar semua perbezaan budaya yang dirakam dalam siri ini.


"Punca utama saya setuju melakukannya kerana ingin tahu apa yang cantik dalam diri saya dan mendengar kisah wanita-wanita seluruh dunia. Saya juga melalui pelbagai perkara sukar sejak setahun lalu, cemuhan yang saya terima terutama terhadap berat badan saya yang menyebabkan saya hilang keyakinan dan lupa diri sebenar saya.


"Jelajah ini saya gunakan untuk mengenali kembali diri saya," katanya lagi.


Kini, Jessica sudah kembali ke Amerika Syarikat dan beliau kini lebih tenang berdepan sebarang kritikan.

"Saya melakukan kesilapan kerana membenarkan kritikan yang dilempar merubah saya. Pengalaman saya melawat pelbagai tempat menyebabkan saya kini memperoleh ketenangan. Saya temui sesuatu yang sebelum ini tidak saya sedar wujud dalam diri saya," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: