Friday, March 5, 2010

Jauhkan diri daripada lelaki




GAGAL dalam dua institusi perkahwinan, ratu etnik kreatif dan irama tradisional negara, Noraniza Idris menimba pengajaran berbeza daripada pengalaman pahit itu. Belajar untuk berdikari dan lebih mengenali perwatakan manusia, Noraniza menjadi semakin berhati-hati.

Sifat mahu melindungi diri itu telah mendorong penyanyi berusia 42 tahun itu memilih untuk menjauhkan diri daripada lelaki. Namun, dia yang lebih dikenali sebagai Kak Ani mengaku ada jejaka yang cuba mendekati dirinya.

Malah tanpa berselindung, Kak Ani memberitahu ada lelaki yang sudah datang merisik serta ada yang mahu meminang. Cuma, Kak Ani yang sudah serik dengan 'penilaiannya' terhadap lelaki telah memberikan kuasa mutlak kepada abang sulungnya, Mohd. Arshad Idris, 56.

"Sejak ibu bapa saya meninggal dunia, abang merupakan penjaga saya. Selama 24 tahun dalam industri hiburan, abang saya ialah teman dan saudara yang mengetahui setiap perkara tentang diri saya. Jadi saya merasakan dia orang yang paling memahami saya.

"Maka, apabila ada pihak yang mahu mendekati saya, saya akan menghantar mereka kepada abang saya. Dia akan menilai tetapi ada tanya pendapat saya. Setakat ini, ada beberapa orang yang sudah berjumpa dengan abang di Masai, Johor," kata Kak Ani yang ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Menggalas status sebagai janda juga tidak senang dipikul. Setiap gerak-gerinya diperhatikan. Terbaru, Kak Ani didakwa kononya dia sudah bernikah secara diam di Sungai Golok, Selatan Thailand. Cerita-cerita sebegini membuatkan figura itu lebih fobia.

"Pada usia 42 tahun, saya kini hanya mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap karier. Saya mahu mengumpul sebanyak mungkin harta untuk masa depan saya. Ramai orang mempunyai tanggapan bahawa janda selalu suka menggunakan wang lelaki. Tapi saya mahu membuktikan bahawa wanita juga boleh bekerja dan menyinar dalam bidang masing-masing," tambahnya lagi.


KAK Ani menafikan projek berduet dengan beberapa teman artis dilakukan untuk menaikkan namanya semula.


Mendirikan syarikat sendiri, Noraniza Idris Production Ventures (NIPV) Sdn. Bhd. sejak penceraian keduanya pada tahun 2008, Kak Ani menyatakan banyak cabaran yang perlu dihadapi bagi meneruskan perniagaannya. Pernah ditipu, perkembangan positif bagaimanapun boleh dirasai Kak Ani kebelakangan ini.

"Walaupun saya berdepan dengan banyak cabaran, saya tidak boleh berputus asa. Memang perniagaan saya sekarang belum lagi stabil tetapi ia menampakkan peningkatan. Diharap tahun ini ia akan berjalan lebih lancar. Saya tidak boleh membuang masa untuk berfikir mengenai cinta.

"Tiada gunanya saya menghabiskan masa sedih kerana apa yang berlaku sudah berlalu. Komitmen saya terhadap kerja amat besar dan saya sudah selesa dengan keadaan ini. Saya berpeluang untuk bekerja dengan ramai orang dan kreativiti saya tidak terbatas. Soal jodoh bukan keutamaan saya sekarang," ujar Kak Ani.

Sukakan cabaran, Kak Ani mendedahkan bahawa dia menyukai lelaki yang boleh dijadikan saingan supaya boleh mendorong semangatnya. Sudah memaafkan bekas madunya, Mastura Bakar serta bekas suami, Datuk Muhd Mustaffa Idrus, Kak Ani bukan seorang pendendam.

"Apa yang saya harap adalah orang lain tidak memperlekehkan maruah saya. Tapi bila ada pihak yang mengguris maruah saya, saya akan ingat namun bukan berdendam. Saya akan membuktikan bahawa saya mampu hidup lebih baik daripada mereka," kata ibu kepada Mohd. Alif Haikal, 21, dan Mohd. Alfeq Haikal, 17 itu.


MASIH tidak mahu mengalah, Kak Ani percaya irama etnik kreatif masih mempunyai peminat.


Akademi Tatihseni

Baru menghabiskan rakaman album duetnya bersama Marsha, Bob AF2, Black Mentor, Elji (Evana), Cat Farish dan Datuk David Arumugam, album yang berpaksikan muzik etnik itu hanya akan dipasarkan pada bulan April nanti. Menyangkal kerjasama dengan teman penyanyi lain kerana mahu menaikkan semula namanya, Kak Ani menjelaskan ia bertujuan untuk mempopularkan muzik etnik dan tradisional yang semakin dilupakan.

"Lagu etnik merupakan identiti negara tetapi kekurangan ruang komersial. Jadi saya mencari inisiatif untuk menarik perhatian orang-orang muda dengan berduet dengan penyanyi muda. Selain penyanyi muda, contohnya seperti David. Dia juga memberikan kesegaran berbeza.

"Dengan cara ini, muzik etnik boleh didengar oleh pelbagai lapisan masyarakat. Lama-kelamaan, peminat mereka ini akan mula menerima serta menghargai semula muzik etnik.

"Saya juga yakin muzik etnik masih lagi ada harapan dan masa depan. Ia tidak akan hilang atau jatuh begitu sahaja," katanya mengenai album yang diterbitkan oleh adiknya, Mohd. Zahid Idris.


KAK Ani kini selesa hidup sebagai wanita solo.


Memuatkan lapan buah lagu, album itu juga dihasilkan seiring dengan projek yang sedang diusahakan oleh syarikatnya dengan kerjasama Persatuan Alumni Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (PENDAMAI), Masyhur Satu Malaysia.

"Projek ini merangkumi pakej penghasilan cakera padat, buku, klip video, dokumentari, bengkel kesenian dan kebudayaan serta konsert. Ia satu kempen kasih sayang dan jati diri terutama menyentuh mengenai perpaduan rakyat. Ideanya sama seperti 1Malaysia.

"Bengkel itu akan bermula pada bulan Jun nanti di tujuh buah lokasi berbeza. Kempen itu hanya akan berakhir pada tahun depan. Setiap lokasi akan berlangsung 36 kelas selama tiga bulan. Selepas tamat bengkel, satu konsert akan diadakan. Malah untuk setiap lokasi, sebuah lagu daripada album duet itu akan dipilih sebagai lagu tema," tambahnya yang bakal memasarkan single kedua, Kuasa Cinta dalam bentuk digital.

Selain sibuk dengan projek itu, Kak Ani juga telah membuka akademi seni, Akademi Tatihseni sejak 1 Februari lalu. Bertempat di Kompleks 3C, Taman Bandar Sunway, akademi itu bertujuan untuk memberikan pendidikan dalam aspek tarian, nyanyian, teater serta motivasi.

"Jumlah pelajar sekarang memang masih sikit tetapi kami dijangka menerima ramai pelajar pada bulan April nanti. Selain saya bertindak sebagai guru motivasi, ada tenaga pengajar lain yang profesional akan berkongsi ilmu.

"Menerusi akademi ini, kami juga mahu mencari kumpulan artis budaya Tatihseni yang akan menjelajah bersama untuk kempen Masyhur Satu Malaysia. Kepada mereka yang berminat, anda boleh layari laman web www.noranizaidris.com atau menelefon 03-5621 2648," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: