Tuesday, March 9, 2010

Idam melancong dan restoran


PHUKET, Thailand menyimpan pelbagai kisah kembara Kamal.


DENGAN hanya mengembara secara backpacker di seluruh Semenanjung, Kamal Rezuan Anwar, 26, kini memberanikan diri mengembara ke Singapura dan Phuket, Thailand pula.

Jika diikutkan, golongan pengembara secara backpacker ini tidak membawa pakaian dan wang yang berlebihan sebaliknya berbekalkan keberanian dan semangat berdikari. Mereka juga sanggup tidur atau tinggal di tempat-tempat yang murah atau fasilitinya terlalu asas.

Jejaka berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu bersetuju tentang pengalaman tersebut kerana dia sendiri pernah tidur di masjid dan di tepi jalan ketika mengembara.

Bagi anak sulung daripada empat beradik itu, pengalaman yang diperoleh adalah lebih daripada segalanya. Dengan mendapatkan informasi di laman web, majalah dan di saluran kegemarannya, Travel & Living (Astro 707), dia banyak mengenal destinasi dan variasi budaya.

Kenapakah anda berminat mengembara secara backpacker?

Sebenarnya minat mengembara secara backpacker mula timbul disebabkan ayah saya juga merupakan seorang backpacker. Dengan peralatan yang terhad, ayah mengembara ke tempat-tempat yang ingin dituju. Daripada cerita dan pengalaman ayah, saya mula berminat mengembara dengan cara yang sama. Melaluinya, seseorang itu dapat membina semangat dan kekuatan diri.

Bolehkah Kamal ceritakan mengenai pengalaman semasa mengembara secara backpacking?

Saya pernah pergi ke Phuket, Thailand. Pernah satu ketika, saya tidak dapat mencari pengurup wang. Disebabkan tidak dapat menukar duit, saya tidak dapat membayar duit penginapan. Jadi, malam itu saya terpaksa tidur di tepi jalan. Kebiasaannya, saya akan mengembara bersama seorang atau dua teman.

Apakah pengalaman pahit dan manis ketika berada di negara asing?

Bagi saya, pengalaman paling manis yang pernah dihadapi semasa mengerjakan umrah di Mekah dan Madinah. Di sana, saya pernah berjalan seorang diri untuk melihat keindahan Mekah dan Madinah. Walaupun sesat, saya tidak berputus asa mencari jalan pulang ke penempatan keluarga.

Pengalaman pahit yang tidak dapat saya lupakan adalah semasa memandu kereta ayah ke Ipoh seorang diri. Malangnya, sebelum sampai ke Ipoh, kereta ayah rosak di tengah lebuh raya.

Selepas kereta ayah ditarik, saya pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas lompat. Sampai sahaja di rumah, ayah memarahi saya.


KAMAL mengaku seronok mengembara.


Apakah cabaran yang dihadapi anda semasa mengembara secara backpacker?

Saya dan kawan-kawan pernah tinggal di Pulau Kok, Langkawi. Kami pergi ke pulau yang terkenal dengan penggambaran filem Anna and the King itu dengan menaiki bot dan bermalam di sana. Semasa berada di Pulau Kok kami kekurangan sumber air. Walau bagaimanapun, saya dan kawan-kawan tidak berputus asa dan mencari sumber air dan makanan di sana.

Apakah perancangan anda pada masa hadapan?

Saya bercita-cita membuka sebuah restoran. Sememangnya, rakyat Malaysia gemar makan. Dengan adanya restoran itu nanti, saya yakin akan mendapat pulangan yang lumayan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: