Tuesday, March 9, 2010

The Hurt Locker tewaskan Avatar


AKTOR Tom Hanks menyampaikan Oscar kepada Kathryn Bigelow.


HOLLYWOOD - Kathryn Bigelow iaitu bekas isteri pengarah filem Avatar, James Cameron mencipta sejarah malam kelmarin selepas dia menjadi wanita pertama memenangi kategori pengarah filem terbaik pada Anugerah Academy kali ke-82 menerusi filem berbajet rendah, The Hurt Locker di Kodak Theater di sini.

Malam bertuah untuk Bigelow kerana filem arahannya itu turut memenangi kategori filem terbaik dengan menewaskan Avatar yang telah mengutip lebih AS$2 bilion (RM6.68 bilion) di seluruh dunia pada Anugerah Academy yang juga dikenali sebagai Oscar.

Filem arahan Bigelow itu menang enam anugerah daripada sembilan pencalonan dalam pelbagai kategori manakala Avatar yang merupakan filem tiga dimensi (3-D) cuma membolot tiga Oscar menerusi kategori pengarah seni, seni perfileman terbaik dan kesan khas.

Filem The Hurt Locker mengisahkan skuad pemusnah bom tentera Amerika Syarikat (AS) di Iraq manakala Avatar merupakan filem mengenai makhluk asing dengan kos pembikinannya dianggarkan AS$500 juta (RM1.6 bilion).

Sesuai dengan tema peperangan di Iraq, Kathryn semasa memberi ucapan kemenangan sebagai pengarah filem terbaik di atas pentas berkata: "Tidak ada cara lain untuk menggambarkannya (kemenangan). Ia merupakan satu detik dalam kehidupan. Saya hanya untuk mendedikasikan ini (kemenengan) kepada wanita-wanita dan lelaki-lelaki di alam ketenteraan yang merisikokan nyawa mereka dalam tugas harian di Iraq dan Afgha- nistan serta di seluruh dunia.

"Dan moga-moga mereka (askar-askar AS) akan dapat pulang dengan selamat."

Selain filem dan pengarah terbaik, filem itu menang kategori suntingan filem, adunan bunyi, suntingan bunyi dan lakon layar asal.

Filem itu turut menewaskan The Blind Side, Districh 9, An Education, Inglourious Basterds, Precious: Based on the Novel 'Push' by Sapphire, A Serious Man, Up dan Up in the Air untuk kategori filem terbaik.


MO'NIQUE memegang Oscar kemenangan sebagai pelakon pembantu wanita terbaik.


Pelakon lelaki terbaik dimenangi oleh aktor veteran Hollywood, Jeff Bridges kerana wataknya sebagai penyanyi country dalam filem Crazy Heart.

"Ibu dan bapa, tengoklah (Oscar)," jeritnya sambil memandang ke ruang atas pentas.

"Terima kasih bapa dan ibu kerana mengubah saya kepada satu profesion yang cukup menarik," tambahnya yang menewaskan pencabar terdekat, George Clooney dan Morgan Freeman.

Aktres Sandra Bullock yang memegang watak sebagai seorang suri rumah yang agresif dalam filem The Blind Side menang pelakon wanita terbaik.

Ucapan kemenangannya sama seperti semangat dalam filem lakonannya apabila dia berkata di atas pentas: "Adakah saya benar- benar mendapatnya (Oscar)."

Dia turut berkata dengan penuh bersemangat dengan mendedikasi kemenangannya kepada ibu-ibu yang mengambil berat mengenai bayi dan kanak-kanak tanpa mengira dari mana asal mereka.

Bullock memberi penghormatan kepada mendiang ibunya, Helga kerana memastikan dia berlatih bermain piano dan tarian ballet pada setiap hari apabila pulang ke rumah.

"Dan untuk mengingati anak perempuannya (Bullock) bahawa tidak ada perkauman, tidak ada agama, sistem kelas, tidak ada warna kulit, tidak ada orientasi seks yang menjadikan kita semua lebih baik daripada orang lain. Kita semua patut mendapat kasih sayang," katanya yang kadangkala sebak semasa berucap.

Dalam filem The Blind Side, dia memegang watak sebagai seorang ibu yang membantu seorang pemuda tidak berumah yang hidup di jalanan dan membantunya berjaya dalam sukan bola sepak Amerika.

Bagi kategori pelakon pembantu lelaki terbaik dimenangi oleh Christoph Waltz dari Austria menerusi lakonannya sebagai seorang pegawai Nazi dalam filem Inglourious Basterds arahan Quentin Tarantino.

Pelakon pembantu wanita terbaik dimenangi oleh Mo'Nique menerusi filem Precious: Based on the Novel 'Push' by Sapphire iaitu aktres berkulit hitam kelima memenangi Oscar.

"Saya mahu untuk mengucapkan terima kasih kepada Academy kerana ia menunjukkan prestasi dan bukannya politik...Terima kasih banyak-banyak kepada suami saya, Sidney," katanya di atas pentas.

Semua penonton memberi tepukan sambil berdiri semasa namanya diumumkan sebagai pemenang.

Anugerah Academy itu dihoskan oleh pelakon komedi terkenal, Steve Martin dan aktor Alec Baldwin.

Kedua-dua hos itu diturunkan dari siling di atas pentas yang dikelilingi penari-penari wanita semasa majlis pembukaan anugerah tersebut.

Seperti kebiasaan tradisi Anugerah Academy, kedua-dua hos tersebut mengucapkan dialog yang menyentuh gambaran kelakuan beberapa pelakon yang dicalonkan merebut Oscar dengan aktres Meryl Streep merupakan antara pelakon bertuah menjadi sasaran gurauan.

Kedua-duanya menjelaskan bahawa Streep mendapat paling banyak pencalonan dalam sejarah Oscar iaitu 16 pencalonan tetapi mengalami banyak kekalahan.

Streep tewas kepada Bullock bagi kategori pelakon wanita terbaik.

Martin dan Baldwin turut bergurau semasa majlis pembukaan dengan menyatakan bahawa Bigelow dicalonkan untuk kategori pengarah terbaik bersama Cameron yang merupakan bekas suaminya.

Martin berkata: "Dia (Bigelow) berasa amat gembira kerana dicalonkan bersama dengan (Cameron), Bigelow menghantar kepadanya (Cameron) satu bekas hadiah dengan alat penentu waktu."

Baldwin kemudian berkata: "Dia (Cameron) membalasnya dengan menghantar sebuah kereta Toyota."

Pada anugerah itu terdapat segmen mengingati sumbangan filem-filem seram.


STEVE MARTIN (berdiri dari kiri) dan Alec Baldwin (di sebelahnya) berdiri di atas platform khas pada pembukaan Anugerah Academy di Kodak Theater, Hollywood kelmarin.


Pelakon komedi terkenal, Ben Stiller menggamatkan penonton apabila dia memakai kostum makhluk asing seperti di dalam filem Avatar.

Dia memakai kostum itu semasa menyampaikan Oscar untuk kategori Mekap Terbaik yang dimenangi oleh Barney Burman, Mindy Hall dan Joel Harlow untuk filem Star Trek.

Anugerah itu berakhir selepas The Hurt Locker diumumkan sebagai filem terbaik Anugerah Academy kali ke-82.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: