Tuesday, March 9, 2010

Halim, Zizi perkasa identiti


JARAK usia tidak menghalang Halim dan Zizi (kanan) menserasikan diri demi program mereka.


BUKAN mudah untuk seseorang selebriti mencipta identiti, pengaruh atau jenama mereka sendiri. Usaha itu tidak sekadar mengambil masa yang lama, sebaliknya ia juga memerlukan sambutan serta pengiktirafan daripada audiens untuk menyokong seseorang selebriti itu membina populariti mereka.

Sebagai contohnya, juara Akademi Fantasia 3, Mawi popular dengan taglinenya berbunyi 'world' (dunia). Juara Raja Lawak musim kedua, Nabil pula sangat masyhur dengan jenamanya 'Lu Pikirlah Sendiri' yang kemudian menjadi judul filem.

Terbaru, penyampai radio Suria FM, Halim Othman dan Zizi tidak ketinggalan mahu memahat jenama mereka di gelanggang penyiaran tanah air.

Selepas jenuh memerah otak, pasangan duo popular stesen radio popular itu sepakat kata memilih jenama The Kerinting Bro.

Barangkali, keputusan memilih tagline berkenaan cukup tepat kerana selepas hampir tiga bulan bergandingan menerusi segmen Breakfast@Suria setiap Isnin hingga Jumaat dari pukul 6 hingga 10 pagi, kedua-dua selebriti itu semakin selesa dan popular dengan panggilan tersebut.

Kepada pendengar setia slot berkenaan, gelaran The Kerinting Bro sudah serasi dengan mereka.

Namun, bagi yang kurang mesra dengan panggilan itu tentunya tertanya-tanya bagaimana panggilan sedemikian boleh melekat kepada mereka dan semakin hari semakin popular pula?

Menjawab persoalan ini, senior dalam dunia penyiaran, Halim berkata, gelaran The Kerinting Bro tercetus selepas mendapati kebetulan mereka memiliki imej rambut yang hampir serupa.

Kelebihan itu digunakan kedua-dua lelaki berkenaan dalam usaha untuk menceriakan lagi segmen pagi yang dikendalikan selain menarik perhatian peminat untuk mendengar Suria FM.

"Gelaran itu akan memudahkan lagi kami dikenali di kalangan pendengar Suria FM. Ini kerana, di sini ada ramai penyampai radio, dan kesemuanya ada identiti masing-masing tidak kiralah dari apa sudut sekalipun.

"Persamaan kami mungkin daripada segi rambut kami yang kerinting. Malah, ramai pendengar yang semakin serasi dengan gaya penyampaian kami dan memanggil kami The Kerinting Bro," kata Halim kepada Hits pada pertemuan di pejabat Suria FM di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: