Hampir 5,000 peminat banjiri Village Mall dalam siri pertama jelajah promosi ABPBH 2009
ANDAI pilihan raya yang berlangsung setiap lima tahun sekali mempunyai tempoh tersendiri untuk setiap calonnya berkempen, apa kurangnya dengan finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009.
Dan ruang yang diberikan menerusi siri jelajah promosi ABPBH 2009 yang bermula Sabtu lalu di Village Mall, Sungai Petani Kedah adalah cara paling berkesan buat finalis untuk merubah pola pengundian terhadap mereka.
Sejak awal lagi, Village Mall sudah sesak dengan kunjungan peminat yang tidak sabar-sabar untuk melihat artis pujaan mereka dengan lebih dekat lagi. Ada yang datang dari sekitar kawasan berdekatan dan ada juga yang sanggup memandu beratus kilometer. Semua itu sanggup dilakukan demi artis kesayangan mereka.
Biarpun pada awalnya rombongan ini ada sedikit perasaan gusar bersarang di hati memandangkan pada masa yang sama terdapat acara hiburan lain yang berlangsung di Pulau Pinang, namun kebimbangan itu hilang sama sekali sebaik saja melihat limpahan hampir 5,000 pengunjung yang memenuhi ruang legar pusat beli belah itu.
| MAWI dan Akim turut memeriahkan jelajah di Sungai Petani. |
Riak wajah teruja jelas terpancar di wajah nama yang menyertai acara ini kerana tidak menyangka kehadiran mereka disambut penuh meriah. Kerlipan cahaya dari lensa kamera yang tak henti-henti menyimbah wajah mereka berserta laungan nama setiap finalis bagaikan pembuka kata, tanda menghargai kedatangan mereka.
Biarpun keadaan ketika itu tidak begitu selesa, namun setiap salam yang dihulurkan, disambut dengan penuh keikhlasan dan senyuman tidak pernah lekang dari bibir setiap finalis.
Acara yang berlangsung sejak awal pagi itu dimulakan dengan pertandingan akhir pencarian Bintang Idola Berita Harian (BIBH).Usai acara yang sudah pun memasuki musim kedua itu, barulah siri promosi dijalankan. Seperti biasa, finalis akan diberi kesempatan untuk naik ke atas pentas dan melakukan pelbagai aktiviti yang boleh merapatkan hubungan antara artis dan peminat.
Memang seronok melihat artis sesekali turun padang berjumpa peminat. Ada saja idea mereka untuk mengenakan peminat. Apatah lagi yang menjadi dalang adalah Raja Azura atau lebih akrab disapa Kak Engku serta disokong oleh Along Raja Lawak dan penyampai Hot FM, Suraya yang bertindak sebagai pengacara, tentunya penonton tidak kering gusi dengan telatah dan jenaka yang mereka tonjolkan.
| RIBUAN penonton yang memenuhi Village Mall terpukau dengan persembahan Akim. |
Menjadikan acara petang itu lebih gamat apabila peminat turut sporting dan tak kisah untuk turut sama melayan permintaan artis pujaan mereka. Ada yang kena berlakon dan ada juga yang kena menyanyi. Malah peminat juga diuji dengan soalan kuiz yang mudah membabitkan acara anjuran akhbar Berita Harian itu.
Pendek kata, suasana di pusat beli belah itu memang 'gempaq' dengan aksi artis dan pelbagai ragam peminat yang diundang di atas pentas.
Bukan saja berpeluang untuk merakamkan foto kenangan dan mendapatkan tanda tangan mereka, peminat bertuah juga dapat eronda-ronda sekitar bandar Sungai Petani menaiki kereta Nissan X-Trail 2.0L dan Nissan Grand Livina 1.6L tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd.
Teruja dan puas
TERIKAT dengan jadual persembahan yang ketat serta berada di lokasi penggambaran yang tidak tentu masa membuatkan ruang untuk mendekati peminat bagaikan tidak wujud dalam kehidupan sesetengah finalis. Bak kata Kenchana Dewi yang namanya dicalonkan untuk kategori Pelakon Komedi Wanita Popular, menyertai siri promosi ABPBH 2009 ini bagaikan satu kemestian kerana itulah saja caranya untuk dia bertemu peminat yang selama ini banyak menyokong kerjaya lakonannya.
"Masa kita banyak dihabiskan di lokasi. Apabila sesekali dapat mengikuti siri promosi ABPBH, saya rasa seronok kerana dapat bertemu dengan peminat. Berbanding tahun lalu, saya memang tak akan melepaskan peluang untuk turut serta siri promosi ini. Cuma kali ini, saya terikat dengan tawaran berlakon. Keputusan menyertai acara ini pun saya buat saat akhir apabila jadual penggambaran dibatalkan," kata pelakon yang mula meledak menerusi drama bersiri Puteri.
Pendapat Kenchana itu turut disokong pelakon muda yang semakin meningkat, Fizo Omar yang namanya tersenarai sebagai Pelakon TV lelaki Popular.
"Bukan saja bertemu peminat tetapi juga membangkitkan nostalgia buat saya. Dulu, sewaktu belajar di Perlis, saya ada datang ke Sungai Petani. Jadi, rombongan ini beri kesempatan saya untuk melihat bandar Sungai Petani yang banyak berubah," katanya.
Keseronokan yang sama turut dikongsi finalis Pelakon TV lelaki Popular, Fizz Fairuzz yang melihat siri promosi ABPBH 2009 membuka ruang untuk dirinya lebih mendekati peminat. Biarpun ini kali pertama Fizz menyertai acara seperti ini, namun jejaka yang namanya meletup sejak membintangi drama Nur Kasih tetap tidak kekok dengan suasana baru itu.
Ketika artis lain sedang sibuk membuat persembahan, Fizz di belakang pentas sempat juga melakukan sesi menandatangani autograf dengan peminat dan bergambar kenangan bersama peminat.
Ruang untuk melobi
SIBUK bagaimanapun, hati peminat perlu dijaga kerana merekalah yang akan menentukan corak pengundian seperti yang dikatakan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2009 yang juga Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah.
"Artis sebenarnya perlu memanfaatkan ruang yang diberi untuk melobi undian. Memanglah penyertaan mereka dalam setiap siri promosi ini tidak menjanjikan sebarang kemenangan tetapi tidak mustahil kehadiran mereka itu memberi impak yang besar dalam pola pengundian mereka kerana peminat menghargai usaha setiap artis yang sanggup melupakan seketika kerja semata-mata untuk bertemu dengan mereka yang selama ini begitu setia menyokong kerjaya seseorang artis itu," katanya.
Dek menghargai peminat juga, finalis Pengacara TV Lelaki Popular dan Penyampai Radio Lelaki Popular, Aznil Nawawi turut bermurah hati mempersembahkan lagu popularnya berjudul Profesor Klon. Sempat juga pengacara serba boleh ini memanggil empat orang penonton termasuk seorang peminat cilik untuk menyertainya di atas pentas untuk memakai topeng sambil catwalk di atas pentas.
Berlangsung selama empat jam, siri promosi kali ini juga menarik anak jati Johor yang pernah tiga kali dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular, Mawi untuk turun padang. Walaupun terbabit dalam acara lain, namun Mawi tetap meluangkan masa untuk bersama-sama menjayakan acara ini.
Tidak melepaskan peluang untuk bersama pada acara yang meninggalkan momen indah kepada semua finalis Meet Uncle Hussain, Rozita Che Wan, Akim, Isma AF, Didie Alias dan juga Enot.
INFO: Corat-coret
- Rombongan artis dan media ke Sungai Petani ini mendapat layanan cukup istimewa dari staf serta pemandu Sinarmas Travel & Tours Sdn Bhd, yang juga penaja pengangkutan untuk ABPBH 2009.
- Sebelum tiba di Merdeka Beach Resort, rombongan dari Kuala Lumpur singgah sebentar di restoran makanan segera Radix Fried Chicken di Bandar Laguna Merbuk untuk menikmati makanan malam.
- Biarpun hanya menyatakan persetujuan di saat akhir, namun kehadiran pelakon Kenchana Dewi dan juga Akim AF7 tetap menghangatkan siri promosi ABPBH 2009.
- Hanya empat orang artis saja yang menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Sungai Petani dan mereka adalah Fizo Omar, Fizz Fairuz, Kenchana Dewi dan juga Isma AF.
- Sewaktu menginap di Merdeka Beach Resort, sempat juga Fizo dan Fizz memancing di laut berdekatan. Khabarnya, banyak jugalah hasil tangkapan mereka pagi itu.
- Didie Alias dan Enot bagaikan pasangan kembar siam apabila tidak boleh berenggang walau ke manapun. Di mana ada Didie, disitulah ada Enot berada dan begitulah sebaliknya.
- Siri promosi itu memberi kesempatan kepada Fizz untuk menjual poskad yang tertera wajahnya dan setiap pembeli berpeluang mendapatkan tandatangannya dan juga bergambar kenangan.
- Setiap penonton yang dipanggil ke atas pentas akan diberi cenderahati seperti payung, karung barangan kemas dan T-Shirt tajaan Habib.
- Ikan pekasam menjadi buah tangan paling istimewa yang di bawa balik artis dan media yang menghadiri siri promosi ini.
- Makan malam yang disediakan di Restoran D'Jetty 8 Beradik sedap belaka dan terletak di Jeti Semeling, Sungai Petani Kedah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: