Monday, March 8, 2010

Ernie kini bersedia


GELARAN juara Bintang RTM mengukuhkan lagi profil seni Ernie.


GADIS kecil molek ini sudah mencipta kejayaan tersendiri dalam profil seninya. Menjuarai Bintang RTM tahun lalu ibarat laluan yang cukup mudah bagi dirinya dalam mempersiapkan diri sebagai seorang penyanyi.

Meskipun sudah hampir sembilan bulan gelaran juara dalam genggamannya namun, Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 17, masih lagi belum merasai bahang populariti.

Tidak seperti juara-juara pertandingan lain khususnya pertandingan realiti, nama Ernie seakan-akan tenggelam dek kemilau populariti mereka.

Di mana silapnya. Mungkinkah kerana aura pertandingan Bintang RTM itu sendiri yang semakin menipis maka Ernie antara bakat yang lahir daripada pertandingan itu yang turut merasai tempiasnya?

Bagaimanapun, pada usia yang masih muda, Ernie masih punya banyak waktu bagi membuktikan kemampuan dirinya yang sebenar.

Seperti senior-seniornya yang terlebih dahulu berhempas pulas memikat hati peminat berlandaskan bakat, Ernie turut sama mahu bakatnya menjadi perkara pokok dalam mengharungi lapangan seni.

"Setakat ini, jika ke mana-mana saya pergi ada jugalah yang kenal saya. Tetapi mungkin ramai yang perasan kerana penampilan saya kalau keluar rumah biasa-biasa sahaja.

"Mula-mula memang rasa tidak selesa tetapi saya sudah mula sesuaikan diri dan masih mencuba sedikit demi sedikit," katanya yang hadir menjalani sesi fotografi ditemani ibunya, Rafiaah Mohamad, 44.

Jika sebelum ini langkah seninya sedikit terbatas dek kerana menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tanggal 18 November hingga 9 Disember tahun lalu, kini anak bongsu daripada dua beradik itu bersedia menyusun aktiviti dan jadual seni.

Keyakinan dirinya bertambah apabila proses pembikinan album sulungnya berjalan lancar.

Dijangka bakal dilancarkan pada Mei ini, tiga single iaitu Bicarakan Cinta, Mahu Ingin Bercinta dan Indahnya Erti Cinta telah siap dirakamkan.

Antara komposer yang terlibat dalam proses pembikinan album Ernie ialah Ajai dan Intan.

"Bekerja dengan komposer terkenal seperti Ajai memang pengalaman yang sangat menarik. Malah, sebelum masuk ke studio perasaan jadi berdebar-debar sebab takut buat salah ketika rakaman.

"Bagaimanapun, rupa-rupanya dia tidaklah garang sangat. Saya pun jadi tenang dan relak sebab dia pun banyak bagi tunjuk ajar," kata Ernie yang mengambil masa merakamkan sebuah lagu antara tiga hingga empat jam.

Selain memenuhi pelbagai tawaran nyanyian, Ernie turut menjalani pelbagai aktiviti promosi oleh syarikat rakamannya, Fantasia Music City (FMC).

Sebagai artis baru, perasaan bimbang dan takut tidak terlepas dari mindanya. Justeru keperluan ibunya berada di sisi bagaikan suatu kemestian.

Ini kata Ernie selain dapat mengelakkan pelbagai perkara negatif, dia lebih selesa jika ibu sendiri yang menguruskan perjalanan kerjayanya malah, memudahkannya berbincang tentang hal seni.

"Bila sudah menjadi artis tentu sahaja saya perlu bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan termasuk gosip.

"Sebab itu saya rasa, menjaga imej adalah penting. Malah, saya lebih selesa mak sentiasa di samping supaya dapat memantau," kata Ernie lagi yang turut bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang vokal.

Sertai PLKN

Seperti kebanyakan remaja lain, Ernie tidak ketinggalan disenaraikan antara peserta yang bakal menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Kata Ernie, jika tiada aral, Jun ini dia bakal menyertai program tersebut.

"Senarai nama telah keluar. Cuma sekarang saya tidak pasti sama ada dipanggil untuk sesi Mac atau Jun.

"Bagaimanapun, kemungkinan besar saya akan sertainya pada Jun ini.

"Walaupun dahulu saya tidak terlalu aktif menjalani aktiviti seperti berkawat di sekolah, namun, rasanya tiada salah jika saya menyertainya.

"Saya yakin menyertai PLKN bakal memberi pengalaman baru buat saya," kata Ernie sebelum mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: