Sunday, March 21, 2010

Emosi fantasi Leona


Leona Lewis


DI kalangan pendatang baru arena suara antarabangsa, dia dikatakan mendahului banyak nama lain kerana mampu menyerlah dalam masa yang singkat.

Leona Lewis bukan siapa-siapa ketika mula menyertai industri muzik sekitar 2006. Menang pertandingan realiti TV British, The X Factor, nyata menjadi tiket ekspres untuk Leona kerana dua tahun kemudian, dia memperkenalkan kredibilitinya ke ruang global.

Album debutnya, Spirit terjual lebih 6.5 juta unit di seluruh dunia. Pencapaian lain turut diraih, menjadi artis British pertama tersenarai di carta Billboard serta tercalon di Anugerah Grammy, haluan Leona kini diteruskan dengan Echo yang dipasarkan sejak November 2009.

Memecah rekod peribadinya, Leona menulis sendiri lapan buah lagu daripada 14 buah lagu yang terkandung dalam Echo. Sesuatu yang tidak pernah dilakukannya dalam album terdahulu.

Janji Leona, sarat emosi serta melodi-melodi daripada jiwa yang dalam mendasari seluruh nafas album berkenaan.

Dengar sahaja, Got You dan Outta My Head, begitu juga Broken dan Alive. Kolaborasi baru yang terjalin dengan Xenomania, Julian Bennetta dan Justin Timberlake juga antara elemen yang bakal mengetengahkan Echo untuk ditatap penuh hormat.

"Sungguh, saya memang mahukan sesuatu yang dramatik dan hampir kesemua lagu yang terkandung mempunyai bayangan filem-filem tertentu," jelas Leona yang mengakui dirinya sangat terkesan dengan emosi filem fantasi, The Labyrinth.

Tambahnya: "Atas sebab itu, kami memasang DVD filem berkenaan di dalam studio sepanjang tempoh rakaman. Ia sangat membantu dan menyuntik inspirasi kepada saya.

"Proses menulis menjadi lebih lancar dan kepala saya tidak berhenti memutarkan adegan-adegan yang terdapat dalam filem berkenaan."

Disifatkan lebih berani dan berkeyakinan, Echo menterjemahkan haluan muzik Leona sendiri. Ada variasi sekali gus meletak dia sebagai penyanyi di kelas tersendiri.

Akui penganut R&B dan jazz itu, dia berdepan kesukaran mencari judul kepada album keduanya.

Katanya, Echo bukan sahaja refleksi bunyi tetapi lebih kepada menterjemahkan kecintaannya terhadap dunia fantasi dan apa yang ada di sebalik realiti.

"Echo juga satu watak yang terdapat dalam mitos Yunani. Seorang gadis telah jatuh cinta tetapi cintanya ditolak oleh jejaka yang diimpikan.

"Ia sebuah kisah yang sungguh indah dalam masa yang sama sangat menyedihkan," ujarnya.

Sebelum melangkah ke dunia muzik, bermacam-macam kerja sampingan dilakukan oleh Leona termasuklah pelayan di restoran makanan segera, penyambut tetamu serta apa sahaja kerja yang mampu memberinya wang saku untuk dihabiskan di studio-studio muzik dan menyertai gig di timur London.

Bermula sebagai pengunjung setia serta penyanyi pentas gig sekitar London sehinggalah mampu berkongsi pentas dengan idola seperti Beyoncé dan Mariah Carey, situasi itu sebenarnya jauh daripada jangkaan Leona sendiri.

"Jika ditanya kepada saya, saya masih tidak percaya bahawa Beyonce dan Mariah itu mengenali saya.


LEONA masih tinggal di pinggir London, sama seperti sebelum menjadi penyanyi popular.


"Kalian lihat sendiri bagaimana saya muncul menerusi X Factor. Saya tidak ada faktor lain, tiada gimik, tiada kejutan melainkan suara," akuinya.

Dalam satu wawancara kepada media antarabangsa, Leona secara peribadi memberitahu, jika diberi pilihan, dia rela meluangkan masa di studio muzik atau bersama keluarga berbanding ke acara parti atau majlis hiburan.

Wanita ini masih tinggal bersama keluarganya di Hackney, London. Alasan Leona, paparazi tidak gemar ke kawasan pinggiran seperti Hackney.

Dia juga masih berpacaran dengan teman lelaki yang sama sejak usia 17 tahun. Kali pertama mereka keluar bertemu janji ketika usia 10 tahun.

Masih berkesempatan melakukan aktiviti yang digemari seperti menunggang kuda, dia juga seorang pencinta haiwan.

Dia pernah membeli seekor anak arnab milik seorang kutu rayau di Los Angeles, Amerika Syarikat tidak lama dahulu. Sehingga kini arnab itu masih dalam jagaannya.

Dihambat populariti semalam, hari ini dan hari mendatang, bagaimanapun, Leona sebenarnya masih dikategorikan sebagai seorang yang mahu kekal dengan gaya hidup lama.

"Saya diminta untuk menjadi tetamu kehormat yang merasmikan pembukaan Harrods Sale, tetapi saya enggan.

"Saya sangat menghormati prinsip saya," katanya yang mahu memberikan sepenuh perhatian kepada promosi dan konsert jelajah sempena album barunya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: