Monday, March 22, 2010

Dugaan Ziana


ZIANA bersama anak kembarnya Muhammad Ariel (kiri) dan Siti Nour Kaseh.


BERTEMU dengan pihak media pada Januari lalu buat kali pertama semenjak melahirkan kembarnya, Muhammad Ariel dan Siti Nour Kaseh, Ziana Zain ketika itu sudah berjanji untuk memperkenalkan anaknya pada masa yang sesuai.

Tidak seperti selebriti lain yang mengadakan majlis khas, Ziana bagaimanapun menunaikan janji itu pada sidang media memperkenal dirinya sebagai duta pusat pelangsingan, SlimWorld untuk tahun ketujuh baru-baru ini.

Lapan bulan. Itu masa yang di ambil Ziana untuk memperkenalkan putera dan puterinya yang dilahirkan pada 23 Julai 2009 itu. Bukan sengaja atau sombong, ibu kepada empat orang anak itu mempunyai alasan tersendiri.

Selain kerana anaknya itu dilahirkan tidak cukup bulan, Ziana sendiri juga berdepan dengan masalah kesihatan yang serius.

Berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) selama lima hari sebelum melahirkan kembarnya, tekanan darah Ziana yang tinggi sehingga mencapai bacaan 200 dan tidak menentu menyebabkan dia kehilangan banyak darah semasa bersalin.

Maka, dua hari selepas bersalin, Ziana dimasukkan 10 pain darah dalam masa dua hari. Ziana ketika itu tidak mengetahui keadaan dirinya begitu kritikal.

Pengsan dan diberikan bantuan pernafasan serta dimasukkan ke dalam ICU selepas bersalin, saat itulah Ziana sedar dirinya berada dalam keadaan merbahaya. Malah semasa dibenarkan keluar hospital seminggu kemudian, muka Ziana kelihatan kuning kerana kekurangan darah.

Membuka cerita pengalaman tragis itu kepada media, Ziana secara tiba-tiba tidak dapat menahan emosinya dan mengalirkan air mata. Dalam keadaan sebak, aktres itu bersyukur kepada Allah kerana memanjangkan umurnya.

"Baru saya tahu macam mana perasaan nak mati. Doktor memberitahu saya hanya ada 50 peratus untuk hidup. Jika saya mati ketika itu, saya tidak akan berjumpa dengan anak-anak saya.

"Pengalaman ini amat menakutkan dan saya sudah jadi trauma. Tetapi masa itu, saya menguatkan semangat kerana saya mahu melihat anak-anak saya membesar," cerita Ziana tersekat-sekat sambil mengesat air matanya.

Sambung Ziana, dia bukan sengaja mahu menghebohkan pengalaman tragis itu atau merahsiakannya. Dia faham, status sebagai selebriti, ramai yang mahu mengikuti perkembangannya. Cuma, Ziana memilih untuk membuka cerita pedihnya itu pada masa yang sesuai.

"Memang saya sudah bersalin lapan bulan lalu tetapi saya tidak mahu kecoh. Lagipun ketika itu, saya tidak mempunyai masa memikirkan pekara ini kerana lebih mementingkan kesihatan saya.

"Saya perlu pergi ke hospital setiap dua minggu kerana diri saya sebenarnya tidak boleh mengandung anak kembar. Jadi saya dinasihatkan oleh doktor untuk berehat sekurang-kurangnya selama enam bulan. Syukur semuanya selamat," ujar Ziana lagi.

Melecur

Pada 8 Februari lalu, tangan Ziana juga melecur akibat terkena air panas. Walaupun kecederaannya sudah sembuh dan hanya tinggal parut, aktres itu masih memerlukan rawatan.

Dia kini berjumpa dengan doktor pakar kulit untuk memulihkan sel kulit tetapi bukannya menjalankan pembedahan plastik. Kisah tangan cedera Ziana juga dikatakan taktik dirinya untuk mencari publisiti.

"Masa tangan saya cedera kerana terkena air panas tempoh hari, ramai yang kata saya mahukan publisiti murahan selepas kembali aktif. Jadi apa yang peribadi, saya simpan. Apa yang boleh dikongsi, saya akan kongsi," ujar pelakon berusia 42 tahun itu.

Kembali bergiat dalam dunia hiburan selepas mendapatkan rehat secukupnya, Ziana sudah sebulan tidak bercuti kerana jadual kerja yang padat.

Namun, dia tidak boleh tertekan dan perlu menjaga pemakanan bagi memastikan tahap kesihatannya berada dalam keadaan stabil.

"Selepas berat badan saya turun daripada 80 kilogram kepada 50 kilogram, tekanan darah saya juga semakin stabil. Memang saya sibuk dengan kerja tetapi saya tahu cara untuk menjaga badan. Tidur secukupnya amat penting supaya saya tidak berasa tertekan," tambahnya.

Mendapat rezeki berganda selepas melahirkan anak kembar, Ziana terlibat dalam teater muzikal Gamat 2, teater Syurga dan Neraka, program realiti Mentor musim keempat dan Hip TV. Jadi bagaimana dia boleh membahagikan masa untuk keluarga dan kerjaya?

"Pada saya, tidur selama lima jam yang berkualiti sudah mencukupi. Saya amat bertuah kerana boleh menghantar anak-anak saya kepada ibu jika terlalu sibuk. Namun, saya akan memastikan saya berjumpa dengan anak saya setiap hari walaupun hanya untuk setengah jam.


WALAUPUN nampak sihat, Ziana masih memerlukan rawatan susulan


"Saya mahu mereka tahu siapa ibu mereka. Walaupun masih kecil, mereka teruja apabila saya melawat mereka di rumah ibu. Ini membuktikan mereka kenal siapa ibu mereka," kata isteri kepada Armin Zaharin itu.

Sedut lemak

Keadaan badan yang kurang baik menjadikan proses rawatan menguruskan badan Ziana tertangguh. Bagaimanapun dia yang mendapat kontrak bersama syarikat pelangsingan, SlimWorld selepas melahirkan anak kedua, Muhammad Ammar pada tahun 2003 masih setia sebagai jurucakap produk tersebut.

Berjaya mendapatkan berat badan ideal, Ziana mengaku ramai pihak yang sering mempertikaikan cara dia menurunkan berat badan. Malah ada yang menyatakan dia melakukan pembedahan sedut lemak. Namun, semua tuduhan itu tidak benar.

"Ramai yang mempunyai pandangan tersendiri apabila berbincang mengenai berat badan saya. Tapi rawatan di SlimWorld dan disiplin yang membuatkan badan saya langsing.

"Saya amat bertuah untuk menjadi pilihan SlimWorld. Tapi saya kekal di sini bukan disebabkan percuma namun rawatan mereka yang berkesan," jelasnya.

Menariknya, rawatan di SlimWorld juga membenarkan pelanggannya menikmati makanan kegemaran. Cuma ia perlu diambil dalam skala kecil.

"Mereka ada menu diet tersendiri dan anda boleh makan nasi. Cuma anda perlu banyak bersabar dan berdisiplin. Jika tidak, anda hanya membuang duit anda.

"Saya mengambil suami saya sebagai contoh terdekat. Walaupun dia sudah berusia 46 tahun, dia masih peka dengan penampilan fizikalnya serta menjaga pemakanan. Maka, saya menyahut cabaran itu untuk menguruskan badan," ujar Ziana.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: