![]() |
| TERAJU 3R. Dari kiri, Rafidah Abdullah, Celina Khor dan Kartini. |
MEMASUKI sedekad musim bersiaran, program televisyen inovatif disasarkan kepada wanita muda, 3R - Respek, Relaks, Respon masih kekal relevan menjadi bahan tontonan para pengikutnya.
Biar sudah lama menggunakan formula yang sama, ironi, tiada sebarang rahsia yang digunakan 3R untuk kekal diminati. Rancangan kelolaan rumah penerbitan, Red Communications Sdn. Bhd. itu sebaliknya berpegang kukuh mengangkat kisah benar dan realistik.
Menurut salah seorang hosnya yang memulakan tugas bermula tahun 2002, Kartini Kamalul Ariffin atau Tini, konsep 3R sedikit berbeza apabila memberi fokus kepada imej lantas menyampaikan mesej tertentu.
"Susah sebenarnya 3R hendak berada pada garisan tengah seimbangkan program serius dan hiburan serentak. Kalau terlalu menonjolkan isu semata-mata, ia menyebabkan orang lain tidak mahu tonton.
"Jadi kami selitkan elemen drama dengan pengolahan dalam atmosfera santai, ceria dan bersahaja. Dengan cara ini, masyarakat dapat ambil pengalaman ditambah kami percaya setiap yang ditonjolkan dalam 3R ada kena-mengena dalam kehidupan mereka," katanya ketika ditemui pada sidang media sambutan Hari Wanita Sedunia Bersama 3R di ibu negara minggu lalu.
Perarakan Aman 3R
Bagai menjadi agenda wajib apabila 3R tidak pernah terlepas menyambut Hari Wanita Sedunia yang jatuh pada 8 Mac setiap tahun. Ada sahaja acara dijalankan sempena hari tersebut dianggap cukup signifikan kepada golongan itu.
Pada tahun ini, 3R sekali lagi muncul dengan program tersendiri dengan matlamat berganding bahu melaksanakan aktiviti memperkasa wanita dengan kerjasama pelbagai pihak.
Dengan tema global - Hak Saksama, Peluang Saksama, Bersama Kita Ke Hadapan, 3R menganjurkan festival dalam taman di Central Park, Bandar Utama, Petaling Jaya pada 13 Mac ini bermula 12 tengah hari.
Beritahu Celina, pelbagai acara direncanakan termasuk perarakan secara aman.
"Perarakan bermula pukul 5 petang sambil peserta boleh bawa sepanduk dan meluangkan mesej hak saksama wanita sepanjang berarak dua kilometer di sekitar Bandar Utama.
"Manakala pukul 6 petang, konsert amal dibarisi beberapa artis popular tanah air menyusul," ujarnya yang turut memberitahu sebuah bazar, Threadszoo Bazaar akan memeriahkan majlis.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: