Tuesday, March 23, 2010

Cemburu, ilmu hitam musnahkan mahligaiku


Yusni Salleh kini lebih tenang bersama anak-anak.


CEMBURU lelaki memang meyeksakan. Jika cemburu kerana sayang, ia biasa. Tetapi jika cemburu sehingga menyeksa zahir dan batin si isteri, ini sudah boleh dikatakan mendera.

Dikurung, dipukul, diugut bunuh, dilarang untuk berjumpa adik-beradik, jiran-jiran, kawan-kawan bahkan dihabiskan duit titik peluh isteri adalah antara penderaan yang dialami oleh seorang suri rumah, Yusni (bukan nama sebenar) selama lima tahun berumahtangga.

Jiwanya cukup tertekan. Persekitaran hidupnya setiap hari adalah hanya di dalam sebuah rumah teres tiga bilik yang disewa di pinggir Kuala Lumpur.

Bersama tiga anaknya, Yusni berkurung tanpa dibenarkan keluar oleh suaminya.

Inilah rencah kehidupan Yusni gara-gara sikap cemburu dan egois suami, Arshad (bukan nama sebenar) Lebih memeritkan, Arshad seorang pengamal ilmu hitam.

Menurut Yusni ketika ditemui baru-baru ini, perkahwinan yang dibina atas dasar suka sama suka ini sebenarnya satu kesilapan paling besar yang pernah dilakukan dalam hidupnya.

Sikap tergesa-gesa untuk mengikat tali perkahwinan dengan jejaka yang baru dikenali, tanpa mengenali hati budi lebih mendalam rupanya membawa ke arah kehancuran pada dirinya

''Fikiran saya cetek pada waktu itu. Hanya kerana tidak mahu digelar anak dara tua kerana usia ketika itu telah pun lanjut, saya terus menerima lamaran daripada jejaka yang tidak dikenali hati budinya sedalam-dalamnya.

''Saya memikirkan jika saya tidak kahwin pada waktu itu, bila lagi kerana usia pun dah lanjut. Saya tidak mahu digelar anak dara tua. Saya juga ingin hidup seperti orang lain, punya anak dan suami.

''Sementelah pula saya telah berjumpa dengan ibu bapa Arshad yang berperwatakan warak. Oleh itu saya menganggap tentu anaknya juga begitu,'' katanya bernada kesal dengan pilihan hidupnya.

Tambahnya, waktu bercinta memang indah begitu juga ketika baru-baru berkahwin. Namun selang beberapa bulan, belang suami semakin kelihatan.

Tiada lagi pujuk rayu, kasih sayang tetapi diganti dengan sepak terajang, maki hamun dan dikurung di dalam rumah.

''Hidup saya sunyi tanpa ada teman untuk berbicara. Berkurung di dalam rumah. Tidak boleh bertegur dengan jiran. Bahkan untuk menjemur kain di luar pun tidak dibenarkan. Lebih menyeksakan ialah untuk menyelak langsir pun ditegahnya. Apa semuanya ini, selain daripada perasaan cemburu buta dan egois yang ada pada diri suami.

''Lebih mengharukan semasa saya baru habis pantang anak pertama, seperti orang sedang dirasuk, Arshad menarik baju anak saya lalu dihayun sekuat-kuatnya dan apabila saya menegahnya, Arshad dengan segera duduk di atas perut saya yang baru baik daripada dibedah.

''Saya menjerit sekuatnya, barulah dia tersedar. Jika dia marah pula, dia akan menghempas dan memecahkan barang-barang. Saya seperti orang bisu di rumah, tidak boleh berkata apa-apa, jika menjawab sepatah, pelempang hinggap di muka.

''Selalu penyebabnya kecil-kecil sahaja seperti jika saya nak jemur kain di luar tidak minta kebenaran, jika dia cakap jemur sahaja di dalam, tapi saya jemur di luar, dia terus menjadi baran.

''Pukulan jangan dikira berapa banyak. Saya sampai tidak tahu nak mengadu pada siapa. Adik-beradik pun ditegah untuk datang, apa lagi untuk mengadu pada kawan-kawan dan bercerita dengan jiran-jiran.

''Bukan itu sahaja, badan-badan saya dan anak sering lebam-lebam tidak kira malam atau pun siang gara-gara suami yang mengamalkan ilmu hitam.

''Saya kasihan melihat anak-anak yang kecil menderita melihat kelakuan ayahnya yang tidak berperikemanusiaan. Sepatutnya, bapalah sebagai pelindung kepada isteri dan anak-anak dan bukannya pendera yang boleh berbuat sesuka hati. Mentang-mentanglah ini haknya.

''Suami sebenar pemegang amanah kepada Allah untuk menjaga, melindungi wanita dan anak-anak yang telah dikurniakan kepadanya. Saya bukan nak banyak. Layanlah saya sebagai seorang isteri, bukannya hamba yang boleh diperlaku sesuka hati. Saya juga perlukan sedikit kebebasan untuk bergaul dan mencurahkan emosi. .

''Saya tahu, dia tidak mahu saya bergaul dan kenal dunia luar, takut saya ada orang lain tetapi saya tidak ada sesiapa.

''Dia kata kalau saya keluar akan menceritakan mengenai rumah tangga. Nak jumpa adik-beradik pun susah. Kalau adik-beradik datang rumah, dia akan masuk ke dalam bilik tanpa mempedulikan kedatangan mereka. Kemudian apabila mereka balik, dia akan tanya, apa saya cakap,'' jelas Yusni yang kini dalam proses penceraian setelah memohon fasakh daripada suaminya.

Cerita Yusni, jika sebelum kahwin, hidupnya mewah. Mampu memiliki rumah sendiri, lengkap dengan perabot, mempunyai simpanan dan insurans kemalangan.

''Namun semuanya hilang sekelip mata setelah berkahwin. Satu demi satu terpaksa dijual demi menampung pendapatan suami yang tidak mencukupi.

''Bila saya minta kebenaran untuk bekerja, dia tidak benarkan. Ini semua kerana perasaan cemburu dan prasangka. Saya bukan keluar untuk menggatal mencari lelaki lain, tetapi hanya satu tujuan iaitu membantu kehidupan kami yang sentiasa surut,'' kata wanita yang berasal dari selatan tanah air.

Beliau turut menceritakan bagaimana suaminya pernah mengugut untuk membunuhnya.

''Saya masih ingat lagi, waktu itu keluarga Arshad hendak datang, jadi saya suruh dia mencuci bilik air sementara saya mengemas rumah dan mencuci pakaian. Dia cakap nanti. Bila saya tanya sekali lagi, baru dia buat. Kemudian dia suruh saya masak. Saya kata saya sudah tidak larat, saya suruh beli sahaja makanan di luar. Mendengarkan keingkaran saya, dia terus mencapai pisau dan mengacu untuk menikam saya.

''Bukan itu saja, pukulan adalah perkara biasa dalam hidup saya. Apa sahaja yang ada di depan matanya akan dijadikan senjata. Pernah saya dipukul dengan kayu besbol hingga bengkak-bengkak tubuh. Saya hanya mampu menangis menahan kesakitan. Tiada siapa yang mampu menolong.

''Puncanya hanya salah faham kerana saya meminta pertolongan daripada adik saya untuk membayar bil utiliti. Dia cakap saya berhubung dengan lelaki lain,'' jelasnya.

Ditanya bagaimana Yusni boleh terlepas daripada kecaman lelaki yang tidak berperikemanusiaan itu, beliau menceritakan: "Ini berlaku tahun lalu apabila saya meminta kebenaran daripada suami untuk ke rumah kakak bagi menghadiri kenduri. Pada mulanya suami membenarkan dan berjanji akan menghantar saya tetapi pada hari yang ditentukan, dia melarang.

''Saya bertegas juga kerana sudah lama tidak berjumpa adik-beradik. Lantas dengan pantas dia melarikan anak sulung dan meninggalkan dua lagi anak dengan saya di rumah dengan harapan saya tidak akan keluar kerana ketiadaan anak sulung.

''Pada saya walaupun dia berbuat demikian, demi menyelamatkan saya dan anak-anak daripada penderaan yang lagi teruk, maka saya nekad menelefon kakak saya untuk mengambil saya di rumah.

''Pada waktu itu duit sesen pun tidak ada. Saya keluar rumah dengan membawa sebuah beg pakaian dan terus mengikuti kakak.

''Pada saya, pelarian ini merupakan kebebasan pada saya. Saya sudah tidak tahan menahan lebam-lebam yang memenuhi keseluruhan badan saya. Saya juga tidak tertahan tekanan mental dan batin.

''Saya tinggal sementara di rumah kakak. Dalam pada itu, kerinduan kepada anak sulung tidak terkata. Setiap hari, saya berdoa supaya dilembutkan hati suami untuk memulangkan anak itu kepada saya.

''Alhamdulillah, Allah makbulkan. Suatu hari suami menelefon dan menetapkan janji untuk bertemu di suatu tempat bagi menyerahkan anak sulung tersebut.

''Pada masa itulah dia berlakon lagak pelakon lelaki terbaik. Memujuk rayu supaya saya kembali kepadanya. Namun hati saya telah tertutup untuk menerimanya lagi. Noktah kehidupan bersamanya telah pun dititikkan. Cukup... cukup... cukup.

''Kini saya bahagia dengan anak-anak dan harapan saya hanyalah untuk melihat mereka gembira,'' ujar Yusni yang begitu ceria melihat anak-anaknya yang membesar di satu tempat yang selamat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: