
Bunkface sudah boleh tersenyum lebar kerana kehadiran album pertama mereka ini bagaikan menunggu bulan jatuh ke riba. Peminat mereka sudah penat menanti dan kini segala-galanya sudah terjawab.
Namun, di sebalik kegembiraan ini, Bunkface tidak dapat mengelak daripada kontroversi. Bukan hanya vokalisnya yang sering menjadi kontroversi apabila dikaitkan dengan kekasihnya Juliana Evans malah Bunkface dikatakan sudah besar kepala.
“Kami seronok kerana ada juga syarikat rakaman yang berminat dengan kami. Kami mengaku memang kami menolak dan tidak mahu bekerjasama tetapi bukanlah kami ini besar kepala, Cuma hasil perbincangan kami tidak sama dengan apa yang tertera di atas kontrak.
“Lagi pula, sejak awal kami sudah selesa bergerak sendiri. Jadi rasanya buat masa ini, kami rasa kami masih lagi boleh bergerak sendiri tanpa ada syarikat rakaman.
“Kami tidak mahu bekerja dengan rasa tidak puas hati yang akhirnya akan menambahkan masalah. Kami kecewa dengan perkara begini. Setiap penyanyi mahukan hak mereka.
“Bila berbincang semua boleh, tetapi sampai masa, jadi lain. Jadi apa pun yang terjadi biarlah sebelum kontrak ditandatangani, bukan selepas itu. Apa pun kami sangat menghargai kerana band seperti kami mendapat perhatian syarikat rakaman,” cerita Sam yang berharap album pertama mereka akan dapat dijual di luar negara suatu hari nanti.
Menurutnya, biarpun mengambil masa yang terlalu lama untuk menyiapkan album ini, tetapi mereka selesa dengan apa yang telah terhasil.
“Setakat ini, kami sangat berpuas hati. Daripada lagu, kulit album dan video klip kami amat berpuas hati.
“Walaupun tidak mempunyai bajet yang tinggi seperti sesetengah penyanyi menghasilkan album, tetapi kami puas kerana, album ini terhasil daripada usaha kami dan duit daripada ‘show’ kami selama ini,” tambahnya lagi.
Album yang memuatkan sepuluh buah lagu itu akan dijual sendiri oleh Bunkface setiap kali mereka membuat persembahan pentas.
“Kami sudah biasa jual sendiri sejak dulu lagiketika kami hasilkan EP. Jadi kami rasa tidak ada masalah untuk album pertama kami ini, kami gunakan pendekatan yang sama. Inilah identiti kami sebagai pemuzik indie. Semuanya kami buat sendiri,” jelasnya.
Album mereka Phobia Phoney yang memuatkan sepuluh buah lagu termasuk lagu yang mempopularkan mereka iaitu Situasi dan Revolusi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: