Tuesday, March 9, 2010

ASNB tawar 300 juta unit baru Amanah Saham Didik

Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan tambahan 300 juta unit baru bagi Amanah Saham Didik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, penambahan itu adalah kali yang ke 11 sejak dilancarkan April 2001 dengan saiz dana awal 300 juta unit.

Menurutnya, dengan penambahan itu, saiz dana ASD kini meningkat kepada 3.8 bilion unit.

“Sehingga 31 Januari 2010, sejumlah 336 bilion unit telah dilanggan oleh 271,226 orang pemegang dan 89.82 peratus adalah pemegang unit berumur bawah 18 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, tambahan unit baru itu dibuat bagi memberi peluang lebih ramai orang melabur dalam dana itu, yang kebanyakan terdiri daripada golongan ibu bapa dan penjaga bagi tujuan pembiayaan pendidikan.

“Saya gembira dengan sambutan menggalakkan yang diterima kerana semakin ramai rakyat Malaysia mula memahami dan sedar kepentingan perancangan kewangan untuk masa depan, terutama anak-anak di bawah tanggungan,” katanya.

Hamad berkata, dengan penambahan unit-unit baru itu lebih ramai pelabur akan melabur bukan sahaja untuk tujuan pendidikan tetapi demi kepentingan masa depan anak-anak.

ASD adalah dana ekuiti jenis pertumbuhan yang ditawarkan dengan harga tetap RM1 seunit. Dana itu ditawarkan kepada Bumiputera berumur seawal enam bulan.

Pelabur juga boleh melabur menerusi Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan tiada had langganan maksimum dikenakan tetapi bergantung pada unit-unit yang ditetapkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: