Friday, March 5, 2010

Amalkan lidah buaya




FOREST' SECRET bermula dengan tiga individu penting termasuk Intan Hyriatee.KERAT lebih kurang seinci daun lidah buaya, kemudian buang kulitnya. Ambil isinya yang berlendir itu dan telan serta-merta.

Itulah perkara pertama yang dilakukan oleh Intan Hyriatee Mohd. Zawai setiap hari selepas menggosok gigi. Petua itu sebenarnya telah dipraktikkan oleh tiga generasi wanita dalam keluarga Intan. Bermula daripada neneknya, Salasiah Zakaria dan diikuti oleh ibunya, Rohani Jusof, amalan ringkas itu kini menjadi rahsia awet muda wanita berusia 33 tahun itu.

Harus tahu bahawa bukan sehari dua gadis kelahiran Kelantan itu menjadikan lidah buaya sebagai sebahagian daripada diet hariannya. Amalan minum air rebusan herba misai kucing dan ulam-ulaman turut ditekankan dalam rutin pemakanannya.

Sebagai satu-satunya anak perempuan dalam keluarga, tidak hairanlah apabila Intan sering ditatang bagai minyak penuh. Malah, ibu turut menjadi sifunya dalam pelbagai aspek berkaitan kecantikan.


FOREST' SECRET bermula dengan tiga individu penting termasuk Intan Hyriatee.


"Walaupun ibu seorang suri rumah, ibu sangat menitik beratkan kecantikan. Sejak kecil, ibu biasanya orang pertama yang beri cadangan dan tentukan pakaian saya," katanya kepada Kosmo! saat ditemu bual di Petaling Jaya baru-baru ini.

Hadir dengan penampilan cukup manis dan serba merah jambu, Intan tidak sedikit pun segan mengakui pilihan pakaiannya pada pagi itu turut dinilai oleh ibunya.

Dengan padanan tudung, kasut, blaus dan solekan nipis, wanita yang lahir di bawah bintang kala jengking itu memberitahu, dirinya mula berjinak-jinak dengan alat solek sejak di sekolah menengah.

Hari ini, memori bermain-main dengan berus dan warna solekan sudah diterapkan dalam rutin hariannya. Selaku pengurus besar syarikat pengeluar produk penjagaan tubuh dan kesihatan halal, Forest' Secret Sdn. Bhd. Intan perlu memastikan penampilannya sentiasa selari dengan jenama yang diwakili.

Setiap hari, dia akan bangun awal dan menghabiskan sekurang-kurangnya setengah jam untuk bersiap. Baginya, kecantikan boleh dicapai jika kena caranya.

Cita rasa wanita Malaysia

"Saya berpendapat setiap gadis harus tahu bersolek. Sekurang-kurangnya hanya pakai maskara ataupun pengilat bibir pun tak apa.

"Bersolek bukan hanya untuk cantik di luar...tetapi untuk membina keyakinan diri," katanya yang perlu menggunakan penggaris mata setiap hari agar kelihatan bermaya.


SEBAHAGIAN daripada produk yang dikeluarkan oleh Forest' Secret.


Menyifatkan wanita Malaysia memiliki cita rasa yang tinggi dalam aspek kecantikan Intan berkata, bukti kenyataannya itu amat ketara. Biarpun Malaysia bukan negara empat musim, kecenderungan gadis-gadis tempatan terikut-ikut dengan fesyen bermusim jelas kelihatan. Ini disokong pula dengan pertumbuhan rancak sebanyak sepuluh hingga 13 peratus industri kosmetik dan peralatan dandanan diri sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Mengendalikan urusan dalaman dan luaran sesebuah syarikat pengeluar produk kesihatan dan penjagaan tubuh halal, Intan sesungguhnya tidak dapat lari daripada dugaan. Cabaran terbesar sudah pastinya terletak bagaimana untuk menyakinkan pelanggan berpotensi tentang jenama tempatan.

Mendukung khasiat khazanah dan rahsia alam semula jadi menerusi tema Honour Timeless Traditions, Intan memberitahu, pelancong luar dilihat lebih tahu menghargai produk tempatan itu. Bagi Intan, persepsi masyarakat tempatan terhadap produk tempatan harus diubah terlebih dahulu.


GADIS-GADIS di Malaysia kini mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap kecantikan.


Dia yang memasang impian untuk menceburi industri kecantikan hidup dengan satu moto. Katanya, seseorang tidak mungkin menghidu erti kejayaan andainya tiada minat dan komitmen dalam apa jua yang dilakukan.

"Pengguna harus faham bahawa kesan pengambilan atau penggunaan produk herba tidak boleh dilihat secara serta-merta.

"Sebaliknya, ia memerlukan satu tempoh masa untuk melihat manfaatnya," katanya.

Mempercayai setiap jenama produk di pasaran mempunyai sasaran tersendiri, orang ramai perlu bijak memilih mengikut bajet dan kesesuaian. Jadi, didikan awal tentang pengurusan kewangan adalah penting bagi memastikan perbelanjaan membeli produk kecantikan terkawal dan tidak menganggu perbelanjaan penting.

Forest' Secret bermula dengan tiga individu penting termasuk Intan. Pada peringkat awal, mereka terpaksa melakukan segala kerja untuk mengangkat jenama tersebut.


INTAN HYRIATEE mahu orang ramai yakin dengan produk tempatan.


Daripada berjumpa dengan pembekal, memantau kerja-kerja di kilang sehinggalah memastikan segala keperluan dan operasi berjalan lancar.

Kini, jumlah staf telah bertambah kepada 11 orang di ibu pejabat manakala 24 orang lagi bertugas di cawangan-cawangan Forest' Secret di seluruh negara. Merupakan sebuah anak syarikat Malaysia International Franchise Sdn. Bhd. (MyFranchise), Forest' Secret pada hari ini memiliki sepuluh cawangan. Antaranya ialah di The Curve, 1 Utama, Pasar Seni, Jonker Street, Melaka dan Plaza Angsana di Johor Bahru. MyFranchise merupakan sayap pelaburan bagi Perbadanan Nasional Berhad.

Menjadikan mereka yang berusia antara 20 hingga 40 tahun sebagai golongan sasar, syarikat tersebut sebenarnya lahir daripada inisiatif kerajaan untuk mewujudkan sebuah hab herba di negara ini.

Forest' Secret yang memiliki rangkaian sekitar 200 produk menggunakan herba-herba terkemuka sebagai ramuan utamanya. Ini termasuklah tongkat Ali, misai kucing, pegaga, kacip Fatimah, minyak kelapa dara dan buah pinang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: