Monday, March 22, 2010

Alia si pencinta haiwan




RASA sengal akibat terjatuh ketika berlatih menunggang kuda masih lagi terasa. Walaupun peristiwa itu berlaku beberapa kali, Alia Zulkhairi tidak pernah rasa serik.

Menunggang kuda tetap menjadi antara hobi paling diminati di waktu lapang.

“Kepuasan menunggang kuda ini terasa waktu kita laju dan haiwan tersebut memberi kerjasama tanpa sebarang masalah,” kata gadis berusia 18 tahun ini sambil menggosok-gosok kuda kesayangannya, Acquisition.

Menceritakan detik awal minatnya terhadap haiwan ini Alia berkata, ia hasil didikan ayahnya, Zulkhairi Md. Zain, seorang peminat haiwan sejak dia kecil lagi.

“Waktu saya berumur lima tahun lagi ayah dah bawa tengok kuda dan cuba-cuba belajar menunggang kuda,” katanya.

Alia juga masih ingat bagaimana dia menghabiskan duit yang diberi untuk bekalan ketika mengikuti rombongan sekolah ke Zoo Melaka hanya untuk menunggang kuda.

Selepas ayahnya memulakan perniagaan Sungai Buloh Farm yang memelihara dan menjual pelbagai jenis haiwan termasuk kuda, minat gadis ini terus bercambah.

Setiap hujung minggu, dia dan adik-adiknya yang lain akan berlatih menunggang kuda ditemani seorang jurulatih bertauliah.

“Pada mulanya memang takut. Tapi jurulatih pesan, kalau kita tak kawal rasa takut, kuda tak mahu berkerjasama. Dia akan jatuhkan kita dan takutkan kita lagi,” ujarnya yang mendapat kejayaan cemerlang 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Membantu perniagaan

Sementara menunggu keputusan dan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, Alia membantu ayahnya menguruskan perniagaan ladang haiwan mereka yang terletak di Kampung Melayu Sungai Buloh, Selangor.

Ada waktunya, Alia akan turun sendiri melawat setiap kandang haiwan seperti kambing, rusa, burung unta dan sebagainya untuk memberi makanan kepada haiwan-haiwan tersebut.

Katanya, aktiviti itu merupakan rutin harian mereka adik beradik setiap kali cuti sekolah.

“Kami dah biasakan bersihkan kandang kuda, mencuci najis dan memberi makanan kepada kuda peliharaan termasuk seekor yang baru dilahirkan beberapa bulan lalu,” katanya yang turut memelihara tiga ekor kucing kacukan.

Menurut gadis yang dilahirkan di Texas, Amerika Syarikat ini lagi, dia sangat meminati bidang keusahawanan.

Pengalaman membuka sebuah syarikat kecil ketika menuntut di MRSM Pasir Salak, Perak memberi kenangan paling manis buat dia dan rakan-rakan.

“Segala penat lelah kami menguruskan sebuah gerai mendatangkan hasil yang berlipat ganda dan kini ia diteruskan oleh pelajar pelapis seterusnya,” katanya.

Menyentuh mengenai cita-citanya, gadis ini menanam impian untuk mendalami bidang undang-undang jika mendapat peluang.

“Namun, dalam pada itu saya tetap berhasrat untuk membantu ayah menguruskan perniagaannya memandangkan saya anak sulung dalam keluarga. Cuma, buat masa ini pelajaran menjadi keutamaan,” katanya mengakhiri bicara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: