Tuesday, February 9, 2010

Tempur cara Muay Thai

Ketangkasan sukan Muay Thai menyebabkan Faizal jatuh cinta dengan sukan itu. Pada usia 27 tahun dia kini sudah bergelar jurulatih.


SELEPAS lebih enam tahun terlibat dalam sukan Muay Thai Faizal kini bergelar jurulatih.


SIAPA sangka Faizal Ismail yang baru berusia 27 tahun sudah mampu bergelar jurulatih tinju Siam atau Muay Thai selepas tiga tahun mempelajari seni bela diri berasal dari negara Thailand itu di Kelab Seri Payung Muay Thai, Kota Bharu, Kelantan.

Lebih membanggakan, jurulatih Kelab Muay Thai Tasik Selatan, Kuala Lumpur itu dapat mempromosikan Muay Thai sehingga ke Surabaya, Indonesia, melalui sokongan yang dibuat oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.

Muay Thai terpilih bersama dengan seni bela diri lain seperti silat, taekwando dan karate-do oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk berkongsi idea dan pendapat tentang seni bela diri di Malaysia dan di Indonesia.

"Ia merupakan pengalaman manis buat diri saya kerana dapat mengembangkan seni bela diri ini kepada remaja-remaja di Indonesia. Kebanyakan promosi dilakukan di universiti-universiti di sana.

"Kekuatan fizikal penting dalam seni bela diri Muay Thai kerana strategi pertempuran jarak dekat itu banyak menggunakan seni tangan, siku, lutut dan kaki untuk menyerang musuh.

"Saya mahu golongan remaja tahu bahawa seni bela diri ini tidak terlalu ganas tetapi memberi banyak kelebihan dari segi disiplin diri, kecerdasan dan keselamatan kepada individu yang mempraktikkannya," kata jejaka yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur itu.

Muay Thai bukan sahaja terkenal di Thailand tetapi ia juga popular di Myanmar, Kemboja, Laos dan negeri di utara serta pantai timur Semenanjung Malaysia.

Bercerita mengenai minatnya terhadap Muay Thai itu, Faizal memberitahu ia sebenarnya bermula ketika usianya 21 tahun.

"Walaupun sejak dari sekolah rendah lagi saya sudah dapat pendedahan mengenai seni bela diri tinju melalui bapa, Ismail Abu Bakar, 51, namun minat kepada tinju ketika itu masih belum ada dalam diri.


FAIZAL berminat dengan sukan Muay Thai selepas menyaksikan pertandingan sukan itu di Thailand.


"Saya mengikuti kelas tinju di bawah tunjuk ajar ayah di Kem Tentera Sungai Udang, Melaka bersama dengan tentera-tentera di situ," katanya yang juga merupakan anak kepada koperal tentera.

Namun, minat ke arah seni bela diri Muay Thai muncul selepas Faizal melawat mak ciknya di Thailand.

"Selama saya berada di Thailand, mak cik membawa saya menyaksikan pertandingan Muay Thai. Terus terang saya katakan selepas melihat seni bela diri itu saya terus terpikat.

"Tidak seperti seni bela diri lain yang mempunyai banyak jenis langkah atau bunga, teknik serangan dan membela diri dalam Muay Thai adalah ringkas. Namun begitu, pengamalnya perlu mempunyai kekuatan dan ketangkasan," kata anak sulung daripada empat adik-beradik itu.

Minat Faizal ke arah Muay Thai semakin bercambah apabila banyak filem di layar perak mengambil latar belakang cerita sukan lasak itu seperti Kickboxer, Ong Bak, Beautiful Boxer, Tom Yum Gong, Muay Thai Chaiya dan Fury.

Selepas itu, Faizal melakukan kajian terperinci mengenai Muay Thai di Internet dan di majalah-majalah.

"Kebetulan rakan saya mengetahui tentang Kelab Seri Payung Muay Thai di Kelantan. Tanpa menunggu lama, saya ke sana mempelajari seni bela diri di bawah tunjuk ajar Abah Noor," katanya.

Patah tulang rusuk


SENI mempertahankan diri Muay Thai memerlukan ketangkasan teknik menyiku, menumbuk dan menendang.


Walaupun tidak semua pertandingan yang disertai meletakkan dirinya sebagai juara, Faizal menganggap itu semua sebagai pengalaman untuk dia melakukan yang terbaik pada masa akan datang.

Faizal tidak pernah berputus asa. Baginya, bukan senang untuk bergelar peninju handalan jika tidak menghadapi pelbagai cabaran.

Faizal pernah diejek dan dikritik oleh pihak lawan kerana beranggapan dia masih 'hijau' dalam dunia Muay Thai itu.

"Walaupun pada mulanya saya berputus asa, tetapi memikirkan minat kepada Muay Thai begitu mendalam, saya tolak tepi semua kecaman dan kritikan mereka," katanya.

Pernahkah Faizal tercedera semasa bertanding?

"Muay Thai tidak menggunakan sebarang pertahanan semasa berlawan. Kami hanya mengenakan sarung tangan dan seluar pendek. Risiko mendapat kecederaan sememangnya tinggi.

"Paling teruk, saya pernah mengalami kecederaan patah di tulang rusuk kiri ketika menentang peninju Thailand," katanya yang terpaksa berehat selama sebulan ketika itu.

Juara Pertandingan Ultimate Warriors, Kuala Lumpur itu berharap dapat mengembangkan seni bela diri Muay Thai ke peringkat yang lebih tinggi satu hari kelak.

Sementara itu, menurut rakan Faizal yang juga seorang pengamal Muay Thai, Mohd. Raimi Abdul Aziz, 24, mempelajari seni bela diri Muay Thai membuatkan dirinya lebih berani selain dapat membina keyakinan diri.

"Apa yang penting dalam seni bela diri ini adalah disiplin dan minat. Tanpa kedua-dua elemen tersebut, seseorang pengamal tidak akan berjaya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: