Wednesday, February 3, 2010

“Manga” tawan dunia


FESYEN yang didapati di dalam manga menjadi ikutan muda-muda di seluruh dunia.


MEMBACA komik bukan saja mampu menggamit keasyikan penggemarnya malah boleh mendatangkan ketagihan. Bagi kebanyakan kita komik-komik keluaran Marvel Studio seperti Spiderman, Incredible Hulk, Superman dan pelbagai lagi senantiasa meniti di bibir.

Pengaruh aksi dan jalan cerita dalam komik tersebut senantiasa membuatkan kita ternanti-nanti apakah kisah selanjutnya dalam siri komik akan datang.

Namun dalam kegilaan membaca komik, pengaruh bahan bacaan dari Amerika Syarikat (AS) itu semakin terpinggir. Trend itu bagaimanapun dapat dirawat dengan kecanggihan teknologi kisah super hero ciptaan barat yang diterjemahkan dalam bentuk filem. Malah ceritanya dapat dilakukan dengan lebih baik lengkap dengan aksi yang tidak pernah terfikir dapat dilakukan secara nyata.

Tetapi itu tidak bermakna kisah-kisah super hero barat tidak menerima persaingan. Apatah lagi dengan kemunculan komik-komik dari Jepun yang kini boleh saja dikatakan mendominasi minat penggemar-penggemar bahan bacaan kategori ini di seluruh dunia.

Komik Jepun atau dalam bahasa Jepun dikenali sebagai manga merupakan satu fenomena yang kini semakin mendapat tempat atau boleh saja dikatakan menjadi kegilaan pembaca di pelbagai peringkat usia.

Menurut peminat komik manga, lukisan yang penuh artistik oleh pelukis Jepun sangat berbeza jika dibandingkan dengan karya pelukis negara lain. Komik manga sarat dengan jalan cerita yang menarik, karakter yang pelbagai - lucu hinggalah aksi pertarungan dan percintaan.

Di Jepun manga boleh didapati dalam tiga bentuk iaitu majalah bulanan, komik atau novel grafik. Namun yang paling mendapat perhatian tertinggi adalah dalam bentuk novel grafik kerana lebih tebal dan persembahan ilustrasinya lebih menarik.

Mereka yang tidak menggemari komik selalunya tidak akan melihat komik sebegini sebagai bahan seni yang bernilai tinggi seperti lukisan, novel dan sebagainya. Tetapi perkara ini tidak berlaku di Jepun kerana komik mendapat perhatian dan penghormatan yang tinggi dari semua peringkat umur dan kedudukan. Malah jumlah urusniaga membabitkan penjualan, pengeluaran, pembayaran royalti berkaitan manga meningkat saban tahun sehingga mencecah berbilion ringgit.

Maka tidak hairanlah dalam kempen pilihan raya setiap calon yang bertanding seboleh mungkin akan mengaku peminat utama manga. Malah setiap perdana menteri yang bertanding semenjak Junichiro Koizumi, Shinzo Abe, Taro Aso hinggalah sekarang iaitu Yukio Hatoyama mengaku mereka adalah peminat setia manga. Sama ada mereka benar-benar peminat itu perkara lain namun untuk meraih sokongan masyarakat terutama golongan muda maka adalah perlu mereka menyatakan minat terhadap komik manga.

Popular

Sebab utama manga begitu popular adalah kerana ia mempunyai keluaran yang pelbagai merangkumi semua peringkat umur. Dari manga berbentuk kanak-kanak seperti Doraemon dan Pokemon, hinggalah komik remaja dan dewasa yang penuh dengan kisah pertarungan mahupun percintaan. Satu lagi perkara yang signifikan tentang manga adalah identiti lukisannya yang menarik dan berbeza. Wanita dalam komik ini sering digambarkan memiliki mata besar dengan badan langsing manakala lelaki pula sangat gagah perkasa ataupun romantik. Satu lagi keunikan manga adalah cerita bersiri yang adakalanya memakan masa bertahun-tahun.

Setiap artis mempunyai gaya melukis dan penceritaan yang berbeza namun dipersembahkan dalam bentuk yang sangat kreatif. Lukisan manga selalunya dipersembahkan menggunakan pen dengan garis yang bersih dan halus berlatar belakangkan warna hitam dan putih. Emosi yang digambarkan pula selalunya jelas sama ada sedih, takut atau gembira melalui teknik seperti wajah yang berpeluh, melompat kegembiraan dan sebagainya.

Perkembangan terkini menunjukkan komik manga semakin mendapat tempat bukan sahaja di negara Asia tetapi juga di barat. Ia bukanlah mengejutkan kerana pengaruh manga kini turut dimainkan melalui kartun-kartun yang disiarkan menerusi televisyen. Malah kita boleh lihat sendiri pelbagai kartun yang disiarkan di televisyen setiap hari. Fenomena peminat manga yang semakin bertambah di Eropah juga menandakan remaja dan masyarakat mereka semakin berfikiran terbuka tentang penerimaan budaya dari negara Asia. Adalah tidak menghairankan untuk melihat remaja di Jerman, Amsterdam, Paris, Brussels dan Rom berpakaian seperti karakter yang terdapat di komik manga. Dengan rambut berwarna-warni, garis mata yang tebal, dan pakaian yang adakalanya menjolok mata maka tidak menghairankan gadis seperti ini menjadikan manga sebagai rujukan fesyen mereka.

Tetapi di sebalik semua keghairahan ini hakikatnya penjualan dan minat masyarakat Jepun terhadap komik manga semakin menurun kebelakangan ini. Alasannya mudah sejak mula manga berada di pasaran Jepun sekitar 1970-an pelbagai genre komik telah dikeluarkan. Dari kisah fantasi pertarungan, seram mahupun kisah memasak, arkeologi, perniagaan hinggalah pornografi, hanya tinggal beberapa topik sahaja yang masih belum dihasilkan. Adalah perkara biasa apabila sesuatu perkara sudah dieksploitasi sehabisnya maka masalah kekeringan idea akan mula menghantui pelukisnya. Namun apabila ia membabitkan perniagaan bernilai berbilion ringgit maka pasaran baru seperti Eropah perlu diteroka.

Maka adalah tidak menghairankan selain bermatlamat untuk meluaskan pasaran dan membuat untung langkah ini juga dilihat perlu untuk mengekalkan kelangsungan manga itu sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: