
LEA MICHELE? Siapakah dia? Itu mungkin soalan yang berlegar di fikiran anda sebelum menonton drama komedi muzikal terbaru di televisyen, Glee. Diakui Glee yang telahpun ditayangkan di Star World di Astro (sakuran 711), setiap Rabu pukul 9 malam bermula 20 Januari lalu dan menerusi NTV7 setiap Selasa, pukul 8.30 malam bermula 6 April depan itu masih asing bagi penonton Malaysia.
Namun, popularitinya sudah menjanjikan siri itu musim kedua seperti yang diumumkan oleh pihak studio, 20th Century Fox Television pada 11 Januari lalu.
Lea antara pelakon yang menjayakan fenomena Glee bersama sekumpulan pelakon berbakat besar, Dianna Agron, Chris Colfer, Jessalyn Gilsig, Jane Lynch, Jayma Mays dan Kevin McHale.
Aktres Itali-Sepanyol itu memainkan watak Rachel Berry, anggota kelab Glee yang sering dibuli. Memulakan karier sebagai pelakon teater muzikal, bakat Lea dalam nyanyian memberikan dia kelebihan untuk membintangi siri itu.
Menyukai muzik klasik rock dan semua penyanyi wanita termasuk muzik pop, Lea yang kini menetap di Los Angeles menjadikan Natalie Wood, Barbara Streisand dan Sophia Loren sebagai sumber inspirasi.
Mahu terlibat dalam filem pada masa akan datang, ikuti petikan temu bual Lea yang disediakan oleh Star World untuk mengetahui serba sedikit kehidupan serta siri yang dicipta oleh Ryan Murphy, Brad Falchuk dan Ian Brennan itu.
![]() |
| BUKAN sekadar jelita, Lea menyuntik tenaga bagi menghangatkan Glee. |
Anda mempunyai banyak pengalaman dalam teater muzikal. Bagaimana anda terlibat dalam drama ini?
LEA: Saya baru menamatkan muzikal Spring Awakening kira-kira setahun lalu dan membuat keputusan untuk pergi ke Los Angeles. Di situ saya membuat keputusan untuk menjalani uji bakat dan Glee merupakan percubaan pertama. Saya hanya mahu mencuba kerana menyukai TV.
Jadi saya mahu melihat sama ada saya mempunyai peluang dan tidak terfikir untuk menjadi begitu bertuah. Semua orang memberitahu muka saya terlalu etnik untuk muncul di TV dan tidak mungkin ada ruang untuk saya di TV.
Kini selepas 13 episod, bagaimana anda membandingkan pengalaman anda dengan teater muzikal?
Ia amat sukar kerana saya menyukai kedua-duanya. Saya suka berada di atas pentas dan merasakan energi daripada penonton. Berada di lokasi penggambaran pula memberikan pengalaman berbeza.
Bagaimana anda mula terlibat dalam dunia hiburan semasa kecil?
Kawan saya menghadiri uji bakat untuk teater muzikal dan saya juga mahu menyertainya. Saya memberitahu ibu saya: ' Ini tidak adil. Saya juga mahu menjalani uji bakat.' Tapi ibu saya pula menjawab: 'Tetapi anda tidak boleh menyanyi.' Siapa sangka saya mencuba dan mendapat watak pertama saya dalam teater Les Miserables pada usia 8 tahun.
Melihat pengalaman anda dalam teater muzikal, adakah anda juga sering terlibat dalam muzikal semasa belajar?
Disebabkan sejak kecil lagi saya berada di pentas persembahan, saya mahu melalui pengalaman berbeza di sekolah tinggi. Jadi saya merupakan juara debat dan suka bersukan. Lagipun saya mahu memberikan peluang kepada orang lain untuk berlakon.
Adakah anda rasa ia adalah adil untuk menggambarkan situasi sebenar sekolah tinggi di Amerika Syarikat (AS)?
Saya rasa Glee boleh dikaitkan dengan sekolah-sekolah di AS kerana wataknya sedang menceritakan kisah sebenar apa yang dilalui oleh pelajar. Terdapat banyak drama yang anda menonton dan memberikan reaksi, 'Oh, saya berharap saya popular dan cantik sepertinya.' Tapi apabila anda menyaksikan Glee, perasaan yang berbeza timbul. Ia lebih realistik.
Ceritakan sedikit mengenai watak anda, Rachel.
![]() |
| GLEE telah membuka peluang buat Lea untuk melebarkann sayap di layar perak. |
Pengembaraan yang dilalui Rachel amat menarik. Dia belajar membuka mindanya untuk menyesuaikan diri dengan ahli kelab Glee yang lain. Dia belajar cara untuk menjadi kawan dan bekerja secara berkumpulan.
Rachel mempunyai impiannya sendiri dan tidak kisah dengan dunia glamor sekolah tinggi. Dia mahu berjaya dan saya mendapati Rachel seorang yang memberikan inspirasi.
Definasi populariti dalam kehidupan anda memandangkan anda mula bekerja sejak kecil? Ditambah pula Glee baru memenangi anugerah Siri Komedi/Muzikal Terbaik pada majlis anugerah Golden Globe 2010 baru-baru ini.
Saya sebenarnya hanya suka bekerja dan menjadi pelakon. Saya percaya karier saya datang bersama populariti tetapi saya hanya mahu bekerja. Jadi jika ia datang dengan populariti melampau, saya akan menerimanya.
Ada tabloid yang melaporkan mengenai tatu anda. Namun, ia tidak begitu kelihatan dalam drama itu?
Semuanya tatu kecil yang mempunyai maksud peribadi dan istimewa kepada saya. Namun, tatu itu semua amat menjengkelkan jurusolek saya kerana mereka perlu menyembunyikan tatu saya setiap hari. Saya ingin meminta maaf tetapi saya akan mencacah tatu Glee dalam masa terdekat.

Ada pihak yang menyatakan watak Rachel itu ditulis khas untuk anda?
Saya ada bertemu Ryan Murphy (pencipta dan penerbit eksekutif) sebelum itu. Apabila saya dipilih, Ryan memberitahu saya bahawa dia menulis watak itu untuk saya. Jika saya ketahui lebih awal, saya tidak perlu menjadi begitu gementar. Namun, saya amat bangga kerana dia dan pihak studio 20th Century Fox Television menyukai saya.
Anda sudah menjalankan promosi di bandar berbeza. Pengalaman dan perasaan untuk bertemu dengan peminat anda?
Kami bertemu dengan peminat yang hebat. Saya hanya budak kecil yang suka berada di keliling orang. Saya mempunyai keluarga yang besar. Jadi berada di keliling orang ramai membuatkan saya berasa selesa.





0 comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: