Thursday, January 7, 2010

Zon PKS di Rantau, Lukut

KERAJAAN Negeri Sembilan merancang membuka lebih banyak kawasan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di kawasan Rantau dan Lukut memandangkan zon sedia ada di ibu negeri sudah tidak sesuai.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ia disebabkan kawasan perumahan di Seremban sudah semakin berkembang ke kawasan zon PKS seperti Sungai Gadut, Jalan Mambau dan Chembong.


“Di Lukut misalnya, Sime Darby sudah setuju berunding untuk membuka ladang seluas 300 hektar sebagai kawasan perindustrian dan kami akan menjual lot industri ini kepada lot 0.4 hektar dan dua hektar. Kami menerima banyak pertanyaan daripada pemilik PKS yang mahu memindahkan perusahaan ke kawasan industri yang sesuai,” katanya.


Beliau berkata, kawasan IKS baharu juga dirancang dibuka di kawasan kelapa sawit di Seliau.


“Buat permulaan, kami akan buka 40 hektar daripada 100 hektar yang dirancang. Kawasan IKS lain yang sedang dirancang ialah di Tanah Merah,” katanya.


Katanya, kerajaan negeri mahu menempatkan industri ini di satu kawasan yang sesuai dan tidak di kawasan hulu bagi mengelak daripada berlakunya pencemaran air.


“Untuk menggalakkan pemindahan mereka (industri), kerajaan negeri akan memberi insentif dalam bentuk diskaun. Mereka pasti akan membuat peralihan dari tanah industri kepada komersial atau perumahan. Kita akan bagi diskaun dalam bentuk premium apabila mereka membuat pertukaran kelak,” katanya.


Mohamad berkata, walaupun Negeri Sembilan tidak banyak menerima pelaburan luar ekoran kegawatan ekonomi, kerajaan negeri yakin sektor ekonomi dalaman seperti pelancongan, akan menyumbang pendapatan yang lumayan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: