
SEJAK bercerai dengan bekas isterinya Erra Fazira yang juga seorang artis popular tanah air pada 17 Jun 2006, penyanyi, pelakon dan pengarah filem, Yusry Abdul Halim nampaknya selesa hidup membujang.
Hari-harinya berjalan dengan jadual kerja yang cukup padat. Jika tidak dengan kerjaya nyanyian, duda berusia 37 tahun ini akan sibuk di lokasi penggambaran dan juga bilik suntingan.
Tidak pernah rasa sunyi atau pun tertekan dengan status duda hangat yang dipikulnya, Yusry sama juga seperti lelaki lain memerlukan seorang peneman hidup tetapi sehingga kini akuinya belum ada satu pun wanita yang berjaya menambat hatinya.
"Setakat kawan, ramai. Tapi yang istimewa itu belum ada lagi. Misalnya esok lusa saya bertemu dengan orang yang dicari-cari saya tidak akan berlengah untuk menyuntingnya menjadi isteri saya," ujarnya jujur.
![]() |
| YUSRY kali ini lebih terbuka bercakap tentang hal peribadinya. |
"Yusry ini susah sikit. Dia nak kekasih ala-ala model sahaja. Perempuan macam itu susah nak jaga. Dia bukannya nak kahwin dengan pilihan mak," usik Norman sambil disambut hilai tawa mereka bertiga.
Namun kata Yusry, dia tidak meletakkan sebarang piawaian tertentu terhadap wanita yang ingin dijadikan teman hidup. bahkan dia tidak kisah jika wanita itu berstatus janda sekalipun.
"Kalau tengok sejarah kekasih saya semuanya berbeza-beza. Jika saya meletakkan piawaian tertentu pasti bekas-bekas kekasih saya semuanya lebih kurang sama sahaja.
"Disebabkan saya tidak bercampur ramai orang, oleh itu wanita yang saya jumpa semuanya dalam lingkungan kerjaya saya sahaja. Saya juga bukanlah memilih sangat tetapi sebagai orang yang pernah gagal dalam perkahwinan, saya tidak mahu pisang berbuah dua kali.
"Biarlah lambat sedikit asalkan wanita yang ingin dijadikan teman itu benar-benar sesuai dengan diri saya. Saya juga tidak kisah wanita itu artis ke, wanita biasa atau janda sekalipun, kalau sesuai dan itulah wanita buat diri saya, saya akan terima," ungkapnya yang popular dengan lagu Dibius Cinta duet bersama Melly Goeslaw.

Kata pengarah filem Cicak Man serta Merong Mahawangsa ini lagi, meskipun hidup bersendirian dia masih lagi boleh mendapat dan memberi kasih sayang kepada orang sekelilingnya terutamanya kepada anak-anak buahnya.
"Saya tidak rasa pun macam terpinggir atau sunyi sebab kasih sayang saya diberikan kepada anak-anak Edry yang nak masuk empat tidak lama lagi.
"Sekarang saya lalui hidup solo ini dengan cukup seronok. Inilah masa untuk saya betul-betul fokus pada diri, kerjaya dan keluarga. Andai saya sudah berkahwin kelak semua itu akan terbahagi kepada dua buah keluarga," luahnya.
Apabila ditebak status duda macho yang diberi kepadanya, Yusry hanya tertawa panjang.
"Macho ke? (ketawa) Tidaklah, saya tidak pernah fikir pula perkara itu. Banyak lagi orang lain yang lebih macho daripada diri saya.
![]() |
| SELESA hidup solo, kata Yusry dia boleh memberi fokus terhadap kerjayanya. |
Disoal lagi tidakkah ibu bapanya mendesaknya untuk segera berkahwin memandangkan Norman dan Edry masing-masing sudah berkeluarga kecuali Yusry sahaja, dia mengakui hakikat itu.
Sambil menghelakan nafas panjang, Yusry memberitahu keluarganya pernah bertanya tentang hal itu tetapi tidaklah sampai mendesak untuk segera mencari isteri.
"Keluarga saya okey sahaja, tipulah kalau mereka tidak pernah bertanya. Saya rasa jika saya belum pernah berkahwin pasti mereka akan bising juga tetapi saya pernah berkahwin sebelum ini, jadi mereka serahkan kepada saya dalam hal jodoh ini.
"Kalau ada alhamdulillah, kalau belum ditentukan jodoh saya nak buat macam mana," seloroh Yusry yang bakal melahirkan single berjudul Doktor Pakar Cinta.

KRU muncul semula
Bercerita tentang perkembangan empayar KRU, ketiga-tiga beradik yang pernah popular dengan lagu Awas dan Ooo..La...La ini tersenyum bangga serta menyifatkan usaha keras mereka selama ini hampir sampai kepada impian yang diidamkan.
Kini, sudah 14 tahun KRU berdiri di atas syarikat KRU Capital dengan Norman sebagai Presiden jenama KRU bukanlah lagi nama sebuah kumpulan sahaja tetapi sebuah syarikat korporat yang disegani ramai.
Tanpa sebarang pertikaian mereka sememangnya layak untuk berada dalam senarai pencalonan Artis Contoh Parti Hip TV bersama Datuk Siti Nurhaliza, Raihan, Dr. Fazley dan Maya Karin yang akan menemui penonton pada 12 Mac pukul 9 malam di TV9.
"Pencalonan ini satu penghormatan buat KRU. Apa yang paling kami banggakan sepanjang bergelar anak seni adalah jenama KRU itu sendiri. Ia bukan lagi sekadar nama kumpulan rap tetapi sebuah syarikat.
"Sekarang bila orang sebut KRU orang akan ingat lagu-lagu dan filem yang pernah kami hasilkan selain produk-produk yang lain," ujar Norman.
Kata Edry pula, apa yang dimiliki mereka hari ini sungguh di luar jangkaan mereka sendiri yang memulakan kumpulan KRU hanya di tempat letak kereta sahaja.
"Kami ingat lagi dulu masa mula-mula sibuk nak jadi artis kami berlatih menari di tempat letak kereta sahaja sekarang kami sudah ada studio dan filem sendiri.
"Dulu kami berangan nak buat filem animasi dan superhero sekarang kami sudah milikinya. Kami berharap agar empayar kami akan bertambah besar dan menghasilkan lebih banyak produk berkualiti," tutur Edry.
Itu soal empayar KRU. Beralih kepada kerjaya muzik KRU masing-masing tertawa dengan menyifat mereka kini sudah cukup berusia dan tidak layak menari di atas pentas seperti dulu.
Bakal menghasilkan single terbaru, tiga beradik ini menjelaskan konsep terbaru KRU sedikit berbeza dengan KRU yang dulu.
"Orang ramai bertanya bila nak keluar album dan lagu baru. Tahun ini KRU akan menghasilkan single dan berharap ia dapat mengubati rindu peminat.
"Apa yang boleh kami janjikan kami tidak akan menari macam dulu lagi (ketawa). Bukan tidak mahu tetapi sudah tidak sesuai dengan usia. Konsepnya lebih santai dan matang, unsur pop itu tetap ada kerana sudah menjadi identiti KRU," kata Edry.


blah la....EPF staff pun tak bayar...
ReplyDelete