SUKAR sekali untuk mencari model wanita Melayu sehebat Tengku Azura Tengku Awang yang tidak lama dulu pernah melonjakkan nama negara apabila dipilih menjadi wajah jenama terkenal Dior untuk rantau Asia.
IKAGUMI...Tinie antara model pilihan untuk pembuka atau penutup majlis peragaan.
GAYA BARU...tampil dengan kelainan sempena sambutan Tahun Baru Cina kali ini.
Biarpun belum bersara sepenuhnya daripada pentas peragaan, dikatakan mahu memberi tumpuan kepada keluarga, wajah Tengku Azura kini semakin jarang kelihatan di pentas fesyen tanah air.
Namun, warisan kecemerlangan model tempatan kini diteruskan Hartini Mat Jasin yang semakin hari kian mendapat tempat di hati pereka tempatan dan jenama antarabangsa.
Menyoroti kisah pembabitan awal ke dunia peragaan, wanita berusia 32 tahun ini berkata, semuanya berlaku secara kebetulan apabila ketua di syarikat lamanya menyuruh dia mencuba nasib dalam bidang berkenaan.
Dengan ketinggian 5 kaki 10 inci, perjalanan karier Hartini atau lebih dikenali dengan panggilan Tinie, tidak sukar terutama selepas dia bertemu dengan Andrew Tan, (pengasas Andrews Models) yang bertanggung jawab menaikkan namanya ke peringkat sekarang.
"Dulu, saya tidak pernah terfikir untuk menjadikan bidang peragaan ini sebagai karier utama. Semuanya berlaku kerana terpengaruh dengan saranan bos.
"Tak kenal maka tak cinta, selepas mencuba beberapa siri peragaan, saya mengakui memang menyukai bidang ini. Tahun ini sudah 10 tahun saya berkecimpung dalam dunia peragaan dan insya-Allah, tetap akan meneruskannya selagi masih diperlukan industri," katanya.
Kini wajah eksklusif yang bernaung di bawah agensi Andrews Models ini memang dikenali ramai kerana di setiap majlis peragaan fesyen jenama terkenal, kelibatnya pasti kelihatan dan ditunggu-tunggu.
Tidak cukup dengan itu, biarpun sering tampil dengan pelbagai gaya rambut yang unik, banyak majalah fesyen serta gaya hidup sanggup menunggu masa lapangnya semata-mata untuk memastikan wajah gadis yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan ini dipotretkan di muka depan.
Pasti ramai yang tertanya-tanya keistimewaan anak kelima daripada enam beradik ini yang menyebabkan dia sering menjadi pilihan pereka serta diangkat sebagai antara model paling laris di pentas peragaan fesyen tempatan ketika ini.
Selain terkenal dengan karakter 'sombong' di pentas, Tinie juga memiliki potongan badan hampir sempurna (33-24-34), membolehkan dia menyarung apa juga jenis rekaan pakaian sama ada fesyen anggun busana eksklusif jenama antarabangsa terkenal mahupun smart kasual.
Dengan susuk tubuh yang menawan itu, ramai menganggap wanita ini begitu teliti menjaga pemakanannya dan jarang mengambil makanan berat seperti nasi sebagai hidangan.
Kata Tinie, seperti orang lain, dia amat menggemari nasi dan berasa tidak kena sekiranya tidak menjamahnya dalam sehari.
"Memang ramai yang pelik apabila saya memberitahu amat menggemari nasi, tetapi itulah hakikatnya. Tetapi, saya menikmati nasi dalam kuantiti yang kecil saja dan membanyakkan ikan serta sayuran.
"Paling dijauhi, hidangan daging kambing serta bawang kerana saya mempunyai alahan kepada dua makanan berkenaan di samping pengambilan pemakanan tambahan dan vitamin.
"Untuk menjaga kecergasan, saya tidak gemar berkunjung ke pusat kecergasan kerana bosan berlari mengadap dinding saja, tetapi memilih untuk menyertai permainan futsal bersama rakan bagi mengeluarkan peluh," katanya.
Menurut Tinie, untuk menjadi seorang model yang bagus, seseorang itu tidak boleh berharap kepada ketinggian semata-mata sebaliknya perlu mempunyai kombinasi antara disiplin tinggi serta usaha tanpa mengenal putus asa.
Biarpun pentas peragaan kini dibanjiri oleh model asing, model tempatan tidak seharusnya berasa rendah diri tetapi perlu berusaha lebih untuk membuktikan keupayaan masing-masing.
"Saya tidak berkompromi dengan ketepatan waktu. Disebabkan itu, saya sering mengingatkan diri sendiri dan model baru supaya menjaga disiplin kerana hanya dengan itulah seseorang akan diingati. "Selain itu, model baru juga perlu cepat belajar dan jangan sesekali cepat putus asa kerana kejayaan tidak akan datang dengan jalan mudah.
"Seperti model senior lain, saya juga bukanlah yang terbaik kerana mengambil masa untuk berada di kedudukan sekarang.
"Tetapi apa yang penting, kita perlu ada kesabaran, yakin dengan kebolehan diri sendiri dan jangan buat sesuatu hanya apabila disuruh saja," katanya yang menjadikan supermodel Noami Campbell dan Tengku Azura sebagai idola.
Disiplin dan komitmen wanita ini dalam karier berkenaan memang diakui ramai manakala penampilannya yang sentiasa serius di pentas peragaan menyebabkan banyak pihak yang menganggapnya sebagai seorang yang garang dan sombong.
Ketika bekerja, dia memberikan sepenuh tumpuan tidak kira sama ada ketika berada di atas pentas atau sewaktu mengajar barisan muka baru di agensinya.
"Ada model baru memanggil saya dengan panggilan Singa Betina. Hakikatnya, saya tidak begitu kerana ketegasan itu sebenarnya hanyalah untuk membantu mereka kerana setiap hari, ada saja model baru yang muncul di dalam industri ini.
"Jadi, hendak atau tidak, mereka perlu cepat belajar dan bersaing sesama sendiri untuk menjadi yang terbaik," katanya.
Dalam pada itu, Model Wanita Terbaik bagi 2006,2007 dan 2009 ini juga mempunyai kisah menarik untuk dikongsi bersama sepanjang terbabit dalam dunia peragaan itu.
Antara kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan sepanjang terbabit dalam bidang berkenaan ialah apabila dia terjatuh semasa menuruni tangga ketika menjayakan majlis peragaan fesyen di pusat beli-belah Pavilion, tahun lalu.
"Saya tersilap langkah ketika menuruni tangga dan jatuh di depan penonton. Memang malu dan kaki terasa sakit tetapi terpaksa tebalkan muka kerana majlis perlu diteruskan.
"Itu adalah pengalaman pertama saya terjatuh ketika berada di atas pentas dan saya jadikan itu sebagai pengajaran kerana kesilapan boleh berlaku kepada sesiapa jika tidak berhati-hati," katanya.
Biarpun hidup dalam kelompok golongan popular yang sering menjadi sasaran media, Tinie mengakui dia tidak pernah sesekali hanyut dengan populariti yang diraihnya hari ini.
Meskipun mengakui pernah menerima ajakan untuk berlakon, wanita kacukan Melayu dan Cina (di sebelah ibunya) ini berkata, tawaran itu terpaksa ditolak kerana cinta serta minatnya hanya kepada dunia peragaan.
Dia turut mengakui selesa dengan kerjayanya sekarang kerana berpeluang membahagikan masa sebaiknya dengan keluarga tersayang.
"Keluarga adalah insan paling penting dalam hidup kerana tanpa sokongan mereka, saya tidak mungkin dapat berada di tempat sekarang.
"Memang saya akui, pada awalnya memang mak dan ayah risau apabila saya menyuarakan hasrat untuk berkecimpung dalam bidang peragaan ini kerana persepsi mereka, gaya hidup model keterlaluan dan sering menggayakan pakaian seksi yang menyerlahkan tubuh badan.
"Tetapi, selepas saya membawa mereka berjumpa dengan Tan dan melihat sendiri cara kerja seorang model, barulah mereka memahami dan kini menjadi pendorong utama," katanya yang mengakui setiap minggu pulang ke Seremban untuk menjenguk keluarganya serta menghabiskan masa dengan melancong dan memancing bersama-sama.
Biarpun ramai di kalangan model hari ini yang memilih untuk bergerak secara sendirian tanpa terikat dengan mana-mana agensi, setakat ini dia selesa dan mahu terus berada di bawah pengurusan agensi berkenaan kerana berpuas hati dengan layanan serta cara kerja yang begitu profesional.
"Selama 10 tahun bernaung di bawah pengurusan agensi ini, saya memang berpuas hati dan sayang untuk meninggalkannya.
"Saya bersyukur dipertemukan dengan Tan dan berada sebumbung bersama barisan model terkenal lain seperti Kavita Kaur, Simone T dan Amber Chia.
"Tanpa agensi ini, saya tidak mungkin dapat berpeluang menimba pengalaman beraksi di pentas peragaan minggu fesyen antarabangsa seperti di Thailand, Russia, Korea, Paris, China, Singapura, Australia dan London, yang dijayakan dalam beberapa tahun ini.
"Apapun, saya berasa sangat gembira kerana berpeluang membawa nama negara ke pentas peragaan dunia dan berbangga kerana dapat membuktikan model Malaysia juga mampu berdiri sama tinggi dengan model antarabangsa," katanya.
Profil
NAMA: Hartini Mat Jasin
UMUR: 32 tahun
ASAL: Seremban, Negeri Sembilan
ADIK BERADIK: Anak kelima daripada enam beradik
AGENSI: Andrews Models
TINGGI: 5 kaki 10 inci
BERAT : 50 kilogram
PENCAPAIAN: Model Terbaik (Wanita) MIFA 2006,3007,2009
Anugerah Model Asia (Korea 2008)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: