
LONDON - Penyanyi terkenal, Amy Winehouse semalam mengaku bersalah menyerang seorang pengurus teater pada satu persembahan pantomim sempena sambutan hari Krismas.
Menurut agensi berita Press Association, pemenang anugerah Grammy yang berusia 26 tahun itu mengaku bersalah melakukan serangan di sebuah mahkamah majistret di Milton Keynes setelah didakwa melakukan serangan ringan dan mengganggu ketenteraman awam.
Penyanyi Back to Black itu ditangkap empat hari kemudian kerana menyerang pengurus teater Richard Pound, 27, dan mengganggu persembahan teater Cinderella di Teater Milton Keynes di sini pada 19 Disember lalu.
Menurut pendakwa raya Julian Vickery, Winehouse mabuk sebelum dia tiba dan bertindak meninggikan suara semasa persembahan berlangsung sekali gus menyebabkan seorang penonton menyuruhnya senyap.
Vickery berkata, selepas meninggalkan kerusinya, Winehouse mengajak Pound minum bersama tetapi dia bertengkar dengan pengurus teater itu apabila ajakannya itu ditolak.
Apabila Pound meminta penyanyi itu meninggalkan bangunan tersebut Winehouse berasa amat malu dan tanpa disangka dia telah bertindak memegang dan menarik rambut Pound.
Winehouse diberi pelepasan bersyarat selama dua tahun dan diarah membayar kos sebanyak 85 pound (RM470) dan ganti rugi sebanyak 100 pound (RM546) kepada Pound.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: