
Majlis yang diadakan secara tertutup ini hanya dihadiri oleh ahli keluarga kedua belah pihak serta teman-teman rapat Vee dan suami.
Suaminya, Zekri berkata, beliau amat bersyukur dengan pernikahan ini kerana Vee mempunyai ciri-ciri wanita yang diimpikan selama ini.
“Saya suka cara dia. Vee ada sifat keibuan yang membuatkan saya tertarik padanya selain dia seorang yang cantik,” katanya yang pertama kali menatap wajah Vee sekitar 10 tahun dahulu di dalam sebuah majalah hiburan.
Ditanya mengenai awal perkenalan mereka, Zekri berkata mereka mula berkenalan sekitar lima tahun lepas tetapi mula serius bulan Mei tahun lalu.
“Kami serius pada bulan Mei lalu dan mula memikirkan masa depan dan mahu ia terus dipanjangkan sebagai suami isteri. Alhamdulillah semuanya berjalan sempurna hari ini (semalam),” katanya.
Ditanya mengenai destinasi bulan madu, Zekri berkata, tidak menetapkan tarikh kerana masih mencari-cari destinasi yang sesuai untuk mereka berdua.
“Buat masa ini belum ada perancangan lagi kerana kami sedang mencari. Apa yang penting sekarang ini adalah mengadakan majlis resepsi cuma tarikhnya belum ditetapkan lagi. Hari ini (semalam) pun masih ramai kawan-kawan yang tak dapat hadir. Jadi perancangan utama adalah majlis resepsi kami,” katanya yang juga duda beranak dua.
Vee bagaimanapun enggan ditemu bual demi menjaga hati banyak pihak terutama di atas permintaan keluarga suaminya.
“Saya minta maaf kerana tak dapat nak jawab segala pertanyaan mengenai pernikahan ini. Doakan yang terbaik untuk kami,” katanya.
Vee yang anggun dengan busana putih rekaan pereka Syaiful Baharim menerima wang hantaran sebanyak RM10,000 selain menerima lima dulang hantaran dan dibalas tujuh dulang.
Vee dan Zekri sebelum ini telah mengikat tali pertunangan pada 5 November tahun lalu. Menurut sumber terdekat, pasangan ini akan bernikah pada awal tahun, 1 Januari 2010 namun kerana ada masalah yang tidak dapat dielakkan, majlis terpaksa ditunda pada tarikh semalam.
Vee yang mula aktif dalam bidang lakonan seawal 1990-an menerusi beberapa filem di antaranya XX Ray dan Fenomena merupakan bekas isteri kepada pengarah dan pelakon Aziz M Osman.
Hasil perkahwinannya itu, mereka telah dikurniakan lima cahaya mata.
Walaupun sudah bercerai sekitar tiga tahun lalu tetapi Vee dan Aziz masih berhubung dan menjadi rakan baik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: