Pelajar Terbaik Leftenan Kolonel, Muhammad Ariff Soo Abdullah menerima ucapan tahiah daripada peserta luar negara Leftenan Kolonel, Perfecto M Rimando JR daripada Filipina (dua dari kiri) dan Kolonel Tran Xuan Quang daripada Vietnam (kiri) selepas majlis penyampaian diploma kursus Siri 29/2009 di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT)di Kuala Lumpur semalam. USIA bukan penghalang bagi Leftenan Kolonel Ariff Soo Abdullah dari Kor Kelengkapan Diraja Angkatan Tentera Darat Malaysia melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Bagi Ariff, masa dan tenaga yang dikorbankan sepanjang tempoh itu terbalas sebaik dia berjaya menamatkan pelajarannya biarpun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran sepanjang setahun yang lalu.
“Saya sangat berterima kasih kepada isteri saya yang begitu memahami. Sepanjang tempoh saya belajar dia lah yang menjadi ibu dan ayah kepada anak-anak kami.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertanyakan sesuatu kepada penuntut terbaik Kursus Siri 29/2009 Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT), Lt Kolonel Muhammad Ariff Soo Abdullah pada majlis penyampaian diploma di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dekat sini, semalam. Turut hadir Komandan MPAT Laksamana Pertama Datuk Tan Eng Seng (dua, kanan).“Saya bersyukur kerana dikurniakan isteri yang betul-betul memahami kerana dia sanggup berhenti kerja semata-mata untuk menjaga anak-anak kami sedangkan dia punya ijazah sarjana dalam bidang kewangan,” katanya kepada mStar Online selepas majlis penganugerahan Diploma Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) di sini hari ini.
Lebih manis bapa kepada empat cahaya mata ini diumumkan sebagai pelajar terbaik MPAT bagi sesi 29/2009 yang melayakkan beliau menerima sebuah plak dan baucer bernilai RM1,500.
Ditanya mengenai rahsia kejayaannya lelaki yang berasal dari Kuala Lumpur itu berkata, pengurusan masa yang cekap merupakan faktor yang banyak membantunya.
“Kita perlu mempunyai jadual waktu yang konsisten dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pelajar dan dalam masa yang sama kita dapat meluangkan masa dengan keluarga.
“Oleh kerana, subjek yang diambil berkaitan dengan isu semasa kita perlu banyak membuat kajian dan penyelidikan maka, pengurusan masa yang cekap perlu kerana jika tidak kita pasti akan terbeban dengan tugasan yang diberikan itu,” ujarnya.
Ariff, 48, akan mula bertugas di unit Kor Kelengkapan Diraja di Pulau Pinang pada 11 Januari ini turut berikrar untuk mencurahkan ilmu yang dipelajarinya dalam memastikan imej ATM dapat ditingkatkan agar ia setanding dengan pasukan keselamatan di negara-negara maju.
Sementara itu, Kolonel Kitti Kongsombat daripada Angkatan Tentera Diraja Thailand (RTAF) merasa sangat bertuah kerana diberi peluang untuk melanjutkan pengajian di MPAT.
Beliau yang juga pegawai tentera darat Thailand berkata, suasana dan sistem pembelajaran di sini sangat menarik kerana dalam masa yang sama dia berpeluang untuk melihat keunikan sosial dan budaya masyarakat di negara ini.
“Di Thailand kami tidak mempunyai maktab yang menggabungkan ketiga-tiga disiplin pertahanan, jadi saya lihat Malaysia pilihan terbaik pengajian dalam bidang pertahahanan . Saya sangat bertuah dapat belajar di sini,” ujarnya.
Menurut Kitti, 44, peserta yang mengikuti kursus di sini juga tidak lokek memberi tunjuk ajar kepadanya.
“Kawan dan peserta dalam program ini sangat peramah, dan banyak membantu. Saya seronok dapat mempunyai rakan seperti mereka,” ujarnya.
Jelasnya, program pertukaran pelajar yang dijalankan itu sangat baik kerana ia dapat memberi manfaat dan memudahkan kerjasama dengan pasukan keselamatan daripada negara Asia Tenggara pada masa akan datang.
“Ilmu yang saya pelajari di sini akan dapat saya aplikasikan bagi meningkatkan bidang pertahanan di negara saya,” katanya.
Biarpun terpaksa meninggalkan keluarganya, Kitti yang berasal daripada Bangkok berkata, semua perkara itu bukan penghalang untuk dia berjaya.
Bapa kepada dua orang anak ini berkata, isterinya telah banyak berkorban masa dan tenaga selama dia menuntut di Malaysia.
“Dia bertindak sebagai ketua keluarga selama saya di sini. Kami akan berhubung melalui telefon untuk bertanya khabar isteri dan anak-anak..
“Selepas saya kembali ke Thailand pada 11 Januari nanti kami akan dapat meluangkan lebih banyak masa bersama-sama,” katanya. Bagi Siri 29/2009, seramai 42 graduan berjaya menamatkan pengajian terdiri daripada 34 pegawai ATM; dua pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) ; seorang penjawat awam dan lima pegawai luar negara, masing-masing daripada angkatan tentera Brunei, Filipina, Thailand Singapura dan Vietnam.
MPAT telah ditubuhkan pada tahun 1 April 1980 merupakan salah satu cabang ATM untuk melahirkan pegawai berwibawa dan berdedikasi, selain sentiasa relevan dengan perkembangan semasa.
Setiap peserta perlu mengikuti pengajian ijazah sarjana dalam bidang sains sosial dalam bidang pertahanan bagi membolehkan mereka dikurniakan dianugerahkan Ijazah Sarjana Sains Sosial (Kajian Pertahanan) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Diploma MPAT.
Sehingga kini, MPAT berjaya melahirkan 948 pegawai elit terlatih, termasuk mereka yang bergraduat hari ini.
Program pengajian MPAT terdiri daripada 10 kursus utama yang dibahagikan kepada tiga semester, merangkumi Pengajian Strategik dan Hubungan Antarabangsa, Pengajian Ketenteraan dan Tesis Sarjana.
Peserta kursus yang menamatkan pengajian di MPAT dilatih supaya mampu menjadi penggubal serta penasihat dasar ketenteraan dan pertahanan, selain menjadi perancang strategik yang efektif
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: