Monday, January 11, 2010

Tunggu skrip ‘pecah kepala'

LAKONAN mantapnya sebagai Mat Rempit bernama Acai dalam filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam arahan Syamsul Yusof masih meninggalkan kesan mendalam kepada penonton sampai hari ini.

pix_middle


Sekalipun tidak membawa pulang sebarang trofi, Shaheizy tetap tidak berputus asa malah terus menampilkan kecemerlangan dalam lakonannya sepanjang tempoh tiga tahun kembali aktif menyemarakkan persada seni tanah air.


Malah, nama Shaheizy juga di sebut-sebut sebagai sebagai hero pelapis filem Melayu ketika ini.


Namun, Shaheizy yang juga adik pelakon berkaliber Zizie Izette, 31, ini lebih suka merendah diri dan tidak pernah mendabik dada dengan segala pujian diberikan kepadanya.


“Perjalanan karier seni masih jauh dan saya juga belum buat yang terbaik. Terus terang, saya memang tidak termakan pujian orang, tapi saya tetap menghargai semua pujian itu. Sebagai pelakon serius, saya juga lebih kenal diri sendiri dan tahu segala kelemahan dan kekurangan yang perlu dibaiki dalam lakonan.


“Apa yang dikecapi hari ini juga baru permulaan dalam karier lakonan saya. Saya juga baru tampilkan lakonan yang asas saja.


Sebenarnya, semua pelakon ada karakter masing-masing dan bagi saya semua orang hebat dalam menjiwai sesuatu watak itu.


“Apa yang saya perhatikan, lakonan rakan seperjuangan dalam industri seni seperti Adlin Aman Ramlie, Zulhuzaimy dan Que Haidar masingmasing ada peningkatan yang boleh dibanggakan peminat filem tempatan,” katanya.


Ketika sesi fotografi yang diatur Rap dengannya di Balai Berita baru-baru ini, Shaheizy mengakui dia seorang pelakon yang sangat mementingkan kesempurnaan dalam lakonannya.


“Setiap kali saya menonton lakonan sendiri, saya tetap tidak berasa puas hati dengan prestasi lakonan saya itu. Kalau boleh saya tidak mahu menonton lakonan sendiri.

“Sebenarnya, saya juga percaya pelakon kita tidak mempunyai masa mencukupi untuk buat yang terbaik dalam filem Melayu. Sebab itu, kalau boleh, saya ingin buat satu watak saja dalam tempoh setahun bagi membolehkan saya mempunyai masa untuk mengubah diri dan tidak terikut dengan karakter dilakonkan sebelum ini.


“Tapi ia tidak berlaku di persada seni kita. Justeru, setiap kali dapat sesuatu watak, saya berusaha memberikan kelainan dalam setiap lakonan,” katanya.


Apapun, kata anak bujang pelakon veteran Khaty Fauziah ini, dia masih menunggu skrip yang bagus yang boleh mencabar lakonannya pada masa depan.


“Bagi saya, semuanya bergantung pada skrip. Sebab itu, saya masih menunggu skrip yang betul-betul bagus dan boleh ‘pecah kepala’ dibuatnya.


“Saya juga mencari pengarah yang boleh membuat eksperimen dengan saya. Antara pengarah yang saya ingin bekerja pada masa depan ialah Osman Ali, Afdlin Shauki, Kabir Bhatia dan Aziz M Osman.


“Setakat ini, skrip yang saya dapat daripada pengarah juga semuanya boleh tahan juga. Pada masa sama, saya memang agak selektif dari segi watak dan perwatakan ditawarkan,” katanya.


Shaheizy berkata, sesuatu perwatakan yang diserahkan kepadanya juga selalunya dibentuk pada hari penggambaran dijalankan.


“Saya perlu membuat pergerakan dalaman untuk menjiwai sesuatu watak itu. Contohnya, dalam Bohsia, watak saya sebagai Mat Rempit dan tiba-tiba mendapat idea untuk menepuk kepala bagi menunjukkan saya sakit kepala ketika itu.


“Antara karakter diidamkan pada masa depan ialah cerita fiksyen atau watak dalam khayalan seperti Superman dan Batman. Selain itu watak lelaki pesakit mental, cacat fizikal dan psiko,” katanya.


Pada masa sama, Shaheizy juga percaya dirinya belum terlambat untuk menempa nama di persada seni tanah air.


“Saya tidak anggap usia 27 tahun ini sudah terlewat buat saya mengembangkan bakat lakonan sedia ada. Seperti di Hollywood, pelakon yang berusia lebih hebat lakonannya.


Pemikirannya juga semakin matang kerana banyak pengalaman sudah dilalui sepanjang berlakon.


“Pelakon tempatan yang sudah berusia di negara kita juga tidak kurang hebatnya seperti Nasir Bilal Khan, Datuk Rahim Razali dan Eman Manan,” katanya.


Mengenai perkembangan kerjaya lakonannya, Shaheizy juga terbabit dengan penggambaran drama bersiri 26 episod, Jangan Pandang Belakang (JPB) arahan Ahmad Idham yang dimulakan sejak pertengahan Oktober tahun lalu.


Filem terbaru lakonannya, Adnan Sempit arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri terbitan MIG Production Sdn Bhd ini akan menemui penonton di pawagam mulai 14 Januari ini.


Filem tempatan pertama yang mengisi panggung pada 2010 itu turut dibintangi Reanna, Cat Farish dan Julia Hana.


Kata Shaheizy lagi, Adnan Sempit adalah genre komedi yang bukan slapstik kerana ia komedi situasi.

“Sebenarnya, jiwa saya memang buat sitkom dan saya juga percaya seseorang pelakon itu tidak perlu menjadi pelawak untuk buat sitkom.


“Dari segi kepuasan dalam lakonan, kisah Mat Rempit memang memberikan kepuasan kepada saya. Ia juga lebih pada penceritaan kisah Adnan yang bekerja sebagai penghantar surat dan jatuh hati kepada majikannya Nadia lakonan Intan Ladyana,” katanya.


Dua lagi filem lakonannya ialah Puaka Ni Yang Rapik yang bakal menjengah pawagam tempatan pada Februari dan Evolusi KL Drift 2 pula pada Mac nanti.


Kesibukan berlakon menyebabkan Shaheizy tidak ada masa untuk berfikir soal untuk menamatkan zaman bujangnya.


“Terus terang, saya memang tidak fikir lagi soal kahwin. Maklumlah, kehidupan saya memang tidak sama dengan orang biasa kerana jadual penuh dengan kerja saja. Kerjaya sebagai pelakon ini tidak menentu.


Saya sampai di rumah kadangkadang sehingga jam 8 pagi dan terus masuk bilik untuk tidur saja.


“Kalau orang yang tidak faham mereka mungkin fikir saya menipu sedangkan saya memang habiskan masa di lokasi penggambaran,” katanya.


Kata Shaheizy lagi, jika tidak terbabit dengan sebarang penggambaran dia lebih selesa berehat di rumah.


“Saya memang suka habiskan masa bersendirian dengan menonton filem sekali gus mengembangkan minda. Aktiviti lain ialah ke pusat belibelah dan bersembang dengan kawan di laman sosial Facebook,” katanya.


Shaheizy yang pernah putus cinta dua kali juga mengakui belum bertemu pengganti untuk mengisi kekosongan hatinya itu.


Dia yang pernah putus cinta dengan pelakon baru, Tengku Putri Najwa (Wawa) yang popular menerusi drama Dari KL ke Queenstown (DKLKQ) juga mencari wanita yang memenuhi ciriciri yang diimpikan.


“Ciriciri wanita idaman saya mestilah suka tersenyum dan tidak cakap banyak. Selain itu, dia mestilah mempunyai ciriciri wanita sejati. Saya juga tidak kisah dia daripada golongan artis atau tidak,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: